Tuesday, November 18, 2008

SEBUAH KISAH NAKHODA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

PELAYARAN

Seorang nakhoda kapal biasanya menempuh berbagai-bagai cabaran bila kapalnya berada di lautan. Cabaran-cabaran menghadapi cuaca, ombak gelombang, badai, batu karang, terumbu dan sebagainya. Semuanya itu menjadi keresahan kepada setiap nakhoda seperti apa yang diceritakan dalam buku-buku pengalaman pelayar kapal dari zaman berzaman. Di antaranya seperti Pelayaran Bahtera Nabi Nuh a.s. dan lain-lain.

NAKHODA YANG AGUNG

Nabi Nuh a.s. Rasul Allah menjadi nakhoda yang agung mengendalikan sebuah Bahtera yang membawa muatan yang terdiri daripada manusia, binatang-binatang, dan tumbuhan-tumbuhan dari berbagai spesis dan jenis, mengharungi banjir terbesar dunia.

Dalam pada itu Nabi Nuh a.s. menghadapi iblis dan syaitan yang telah bolos menyeludup masuk ke dalam Bahtera tersebut dengan tujuan bukan sahaja untuk mengkhianati penghuni-penghuni Bahtera bahkan bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan fitnah menfitnah di kalangan orang-orang beriman yang ada di dalam Bahtera itu. Perbuatan syaitan itu menepati janjinya seperti Firman Allah s.w.t. dalam Surah Saad, Ayat 82, 83, 84 dan 85 :

Iblis berkata : ”Demi kuatkuasaMU (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya – ” (82)

”Kecuali hamba-hambaMU - di antara zuriat-zuriat Adam itu - yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan”. (83)

Allah berfirman: “Maka Akulah Tuhan yang sebenar-benarnya, dan hanya perkara yang benar Aku firmankan - ” (84)

“Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenis mu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya”. (85)

GANGGU GUGAT

Dalam Bahtera Nabi Nuh a.s. terdapat tikus-tikus di bawah kawalan syaitan la’natullahi alaih. Tikus-tikus itu kerjanya menebuk dan menggerit papan-papan Bahtera supaya dimasuki air dan merosakkan segala barang-barangan. Tujuannya ialah untuk menganggu gugat hati-hati orang-orang yang beriman dengan ketakutan dan waswas serta menjadikan orang-orang beriman itu celaru seraya menimbulkan suasana fitnah memfitnah di antara satu sama lain atas perkara kerosakan-kerosakan Bahtera itu. Mereka merasa kurang yakin akan keselamatan mereka di dalam Bahtera tersebut.

SYAITAN MENGAJAK MENJADI AHLI NERAKA

Syaitan tidak memperdulikan samada akibat dari kerosakan-kerosakan dan kebocoran Bahtera Nabi Nuh a.s. akan hancur atau karam bersama-samanya yang pada masa itu ia pun berada di dalam Bahtera tersebut. Inilah kemuncak hasrat dan hasad dengki syaitan yang akan memuaskan hatinya iaitu untuk menghapuskan semua zuriat-zuriat Adam a.s. di atas muka bumi ini dan membawa mereka bersama-samanya ke neraka, seperti firman Allah s.w.t., maksudnya :

”Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya (pengikutnya) supaya menjadi dari penduduk neraka”.
Surah Faatir, Ayat 6.

KUCING DAN TIKUS

Dengan izin Allah s.w.t. atas permohonan do’a Nabi Nuh a.s. untuk mendamaikan hati-hati orang-orang yang beriman dan meredakan keadaan huru hara di dalam Bahtera itu, diciptakan kucing-kucing untuk mengintip, menghidu, mencari dan membunuh semua tikus-tikus itu.

Lalu Nabi Nuh a.s. berkata kepada Iblis la’natullahi alaihi :” Apa jua kesalahanku kepadamu, maka engkau berbuat dengki kepadaku dan kepada sekalian anak cucu Adam a.s. dan berseteru dengan Nabi Adam a.s.?”.

Iblis la’natullahi alaih, menjawab:” Sanya aku tiada dapat derhaka padamu dan tiada lulus tipu dayaku akan dikau. Sebab yang aku dengki dan hasadkan Adam a.s. kerana bagindalah aku kena la’nat Allah s.w.t. Selepas itu aku memohon kehadrat Allah s.w.t. empat perkara dan dimakbulkanNYA untuk aku kerjakan iaitu:

1. Berhasad dengki sesama sendiri
2. Haloba dan berbimbang dengan harta dan mengambil harta sesama manusia secara batil
3. Membesarkan diri, takabbur, sombong serta mementingkan diri sendiri (Egoistic)
4. Kikir untuk membelanjakan harta ke jalan Allah s.w.t.

SIAP SIAGA

Di samping itu ada lagi perkara yang membuatkan seorang nakhoda perlu siap siaga, berjaga-berjaga dan berwaspada ialah menghadapi anak-anak kapal ”the sailors” yang mana tindak tanduknya tidak kurang bahayanya daripada perkara-perkara yang tersebut di atas. Anak-anak kapal adalah manusia seperti nakhoda juga, manusia mengawal manusia bukanlah perkara mudah seperti yang difikirkan. Dengan itu seorang nakhoda harus memiliki beberapa keistimewaan dan kelebihan daripada anak-anak kapal.

Ada kalanya nakhoda terpaksa mengalir air mata menangis makan hati sendirian dalam kapal apabila ia menghadapi masalah-masalah yang rumit. Perkara seperti ini berlaku ke atas nakhoda apabila kapal itu menghadapi bahaya yang mencemaskan. Dan ada kalanya nakhoda menghadapi tentangan-tentangan daripada anak-anak kapal sendiri kerana tidak dapat memahami kehendak-kehendak nakhoda, walaupun kehendak-kehendak nakhoda itu untuk kebaikan dan keselamatan semua yang ada dalam kapal itu. Selain daripada itu ada anak-anak kapal sengaja tidak mahu mengikut perintah nakhoda atas sebab mereka mempunyai agenda-agenda rahsia tersendiri bagi faedah masing-masing.

Dalam keadaan sebegitu, perkara-perkara yang tidak diingini boleh berlaku di atas kapal yang sedang berada di tengah-tengah lautan. Bila seorang nakhoda menghadapi ramai anak-anak kapal dalam keadaan cemas atau dalam keadaan bercelaru fikiran itu, hanya nakhoda yang bijaksana dan tegas sahaja boleh mengatasi keadaan dan mengawal suasana seperti itu.

MUTINY

Ada disebut dalam pepatah Arab yang berbunyi:
” Dalam sebuah kapal tak boleh ada dua nakhoda”.

Pepatah Arab itu nampaknya lebih tinggi dan lebih dalam maknanya daripada ”proverb” bahasa Inggeris yang mengkiaskan seperti :” Two lions cannot live together in one cave”, kerana “lions” itu haiwan tak berakal.

Bila dua nakhoda mengemudikan sebuah kapal, nilai-nilai pemikiran sudah tidak sama dalam mengendalikan kapal tersebut. Dari sudut inilah maka konspirasi cubaan merebut kuasa di antara nakhoda-nakhoda dan anak-anak kapal boleh berlaku secara rahsia. Tujuannya ialah untuk menguasai kapal tersebut. Akhirnya berlaku perampasan (mutiny) dalam kapal . Kalau di dalam sesebuah negara disebut ”Coup d’etat”, rampasan kuasa, guling kerajaan dan apa-apa sebutan lagi.

Dalam rumahtangga pula, ada di antaranya berlaku perebutan kuasa oleh isteri yang hendak menjadi ketua keluarga sama ada memerintah secara langsung (directly) atau sebaliknya (indirectly). Samada mengikuti hukum Islam atau setengah-setengah adat-adat tabi’i sejagat, suamilah yang menjadi ketua keluarga yang memerintah dan memimpin keluarga.

AD-DAIYUTH

Mengikut Al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w., tindak tanduk perebutan kuasa ini selalunya menjadikan isteri-isteri menderhaka kepada suami mereka secara sedar atau tidak sedar. Lebih-lebih lagi bagi isteri yang kedudukan taraf lebih tinggi atau lebih pendapatannya daripada suaminya. Suami yang lemah jiwa biasanya terkongkong dan mengikut telunjuk isteri. Sehingga ada di antaranya menjadi dayus (Ad-daiyuth) yang diharamkan masuk syurga Allah s.w.t.

Dayus ialah suami yang tidak menegah akan isterinya dari mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang ditegah syara’ dan tidak cemburu akan isterinya yang melakukan maksiat dan tidak takutkan Allah subhanahu wa ta’ala.

Di antara sebab-sebab yang boleh menjadikan suami lemah dan takutkan isteri ialah:

1. Mengenangkan nasib anak-anak pada masa akan datang akan menjadi susah
2. Takut hilang kasih sayang anak
3. Khuatir kehilangan harta benda
4. Mengenangkan liku-liku cinta asmara dana yang dipupuk pada awalan perkenalan yang silam
5. Takutkan isteri kerana hidupnya lebih menumpang hasil mata pencarian isterinya
6. Ada ikatan dengan pihak mertuanya sama ada ikatan kewangan atau terhutang budi
7. Sentimen-sentimen yang diada-adakan sendiri mengikut kehendak emosi tanpa akal yang waras dan lain-lain lagi
8. Hidup dalam binaan kepompong imaginasi yang menghantukan takut ”FEAR” buatannya sendiri. Ia mempenjarakan dirinya melalui fantasi-fantasi hiasan syaitan la’natullahi alaih yang senantiasa berada dalam hati dan mindanya. Selagi mana suami itu tidak balik kepada bertaubat dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. selama itulah ia menjadi abdi bodoh yang terbelenggu di situ sehingga ke akhir hayatnya, walaupun ia dihina dan dicerca. Maka jatuhlah ia dalam golongan orang-orang yang menzalimi diri sendiri.

TALBIS SYAITAN

Tidak ada apa yang menakut-nakutkan semuanya itu melainkan oleh syaitan la’natullahi ’alaih sehingga hal itu menjadikan seseorang suami yang bijak, berpendidikan tinggi dan berakal (tidak gila) yang memimpin ramai orang lain di luar, menjadi lemah dan terjerat dalam jebak (talbis) syaitan. Kejadian-kejadian yang salah itu berlaku atas sebab suami itu mengikut perasaan emosi sentimen semata-mata tanpa mengikut petunjuk-petunjuk jalan Allah s.w.t. yang memberi kelapangan dan keampunan kepada mereka yang mengikut jalanNYA yang lurus (Siratul Mustaqiim).

TAKUT KEMISKINAN

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya :”Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu keampunan daripadaNYA serta kelebihan kurniaNYA. Dan (ingatlah) Allah maha luas limpah rahmatNYA, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNYA”.
Surah Al-Baqorah, Ayat 268.

TAMTHIL

Kisah nakhoda yang dibawa di sini sebagai tamthil perbandingan tanggungjawab seorang suami yang menjadi ketua keluarga yang boleh disamakan dengan kepayahan seorang nakhoda kapal mengurus dan mentadbir orang-orang yang terletak di bawah tanggungjawabnya supaya aman dan selamat. Kisah ini perlu diamati selalu dan dijadikan i’tibar.

Hari Rabu
21 Dzil Qaedah 1429 Hijriyyah
19 November 2008

No comments: