Tuesday, November 18, 2008

ANJING TIDAK SEINDAH RUPANYA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

PENGENALAN

Binatang anjing telah digunakan manusia daripada zaman dahulu lagi sehingga ke masa ini. Anjing digunakan bukan sahaja sebagai teman buruan, penjaga ternakan dan penjaga harta benda, tetapi juga anjing dipelihara sebagai binatang “pet” iaitu binatang hiasan mainan.

TABI'AT ANJING

Binatang anjing ini boleh diajar mengikut kehendak dan keperluan tuannya. Tuannya atau juru latihnya akan memberi latihan bertubi-tubi dan menjamunya dengan makanan sebagai upah atau rasuah yang dilakukan ke atas anjing itu untuk menjadikan anjing patuh dengan perintah-perintah tuannya.

SIFAT-SIFAT SEMULA JADI ANJING ADALAH DI ANTARANYA:

Pemangsa dan pemakan daging “carnivorous” yang ganas
Hidup berkumpulan, kecil atau besar
Habitatnya berlainan bagi satu kumpulan dengan kumpulan yang lain
Spesis dan namanya serta bentuk badannya juga berlainan di antara satu sama lain dan sebagainya

KISAH ANJING YANG TERSEBUT DALAM AL-QURAN

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: " Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan KAMI balik-balikkan mereka dalam masa tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka". Surah Al-Kahfi(18), Ayat 18.

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: " Dan kalau KAMI kehendaki nescaya KAMI tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya (parable) adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menjelirkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menjelirkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan (parable) orang-orang yang mendustakan ayat-ayat KAMI. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir". Surah Al-A'raaf(7), Ayat 176.

CERITA-CERITA ANJING YANG DIRIWAYATKAN DALAM HADIS

Dari 'Abdullah Ibnu 'Abbas r.a. katanya Maimunah menceritakan kepadanya bahawa pada suatu pagi Rasulullah s.a.w., kelihatan diam kerana susah dan sedih. Kata Maimunah: “ Ya Rasulullah! Aku heran melihat sikap Anda sehari ini. Apa yang telah terjadi?. Jawab Rasulullah s.a.w. mafhumnya:” Jibrail berjanji akan datang menemuiku malam tadi, ternyata dia tidak datang. Ketahuilah, dia pasti tidak menyalahi janji denganku”. Rasulullah s.a.w. senantiasa kelihatan susah dan sedih sehari itu. Kemudian baginda melihat seekor anak anjing di bawah tempat tidur kami, lalu baginda suruh keluarkan anak anjing itu. Kemudian diambilnya air lalu dibersihkan bekas-bekas tempat anak anjing itu. Ketika hari sudah petang, Jibrail datang menemui baginda. Kata baginda kepada Jibrail: “ Anda berjanji akan datang pagi-pagi.” Jawab Jibrail:” Benar! Tetapi kami tidak dapat masuk ke rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar-gambar (haiwan)”. . . ilaakh.

Ada dikhabarkan dalam sebuah kisah Israeliyah yakni kisah sebelum datangnya Islam, bahawa terdapat seorang perempuan Yahudi yang telah memberi minum dengan menggunakan kasutnya kepada seekor anjing yang amat kehausan air. Dengan keikhlasan hatinya, Allah s.w.t. mengampunkan dosa-dosa perempuan itu. Kisah ini telah diriwayatkan dalam sebuah Hadis:
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bercerita: “ Pada suatu ketika ada seekor anjing mengelilingi sebuah telaga. Anjing itu hampir mati kehausan. Tiba-tiba ia terlihat oleh seorang perempuan pelacur bangsa Yahudi. Maka dibukanya sepatu botnya, kemudian dicedoknya air dengan sepatunya, lalu diberinya minum anjing yang hampir mati itu. Maka Allah s.w.t. mengampuni dosa-dosa perempuan itu”.

Rasulullah s.a.w. dalam sebuah Hadis membuat perbandingan (parable). Baginda bersabda, mafhumnya: “Dunia itu adalah bangkai yang busuk, dan yang busuk itu anjing yang menuntutnya”.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya: “ Lagi akan datang suatu masa atas umatku raja-raja iaitu pemerintah-pemerintah mereka itu seperti harimau besar, dan orang-orang besar iaitu menteri-menteri dan penjawat-penjawat awam mereka itu harimau akar(kecil), dan kadi-kadi (hakim-hakim) mereka itu seperti anjing , dan manusia rakyat jelata mereka itu seperti kambing. (Bayangkanlah) bagaimana dan betapa kehidupan kambing-kambing itu di antara harimau-harimau besar dan harimau akar dan anjing-anjing?”.

ANJING YANG DISEBUT DALAM PEPATAH-PEPATAH

Bagai menolong anjing tersepit di pagar.

Bagai anjing dengan bayang-bayangnya.

Anjing meskipun dipakai dengan rantai emas, nescaya berulang-ulang juga ke tempat najis.

KEDUDUKAN ANJING DALAM ISLAM

Anjing walaupun ia cantik dan amat menarik rupanya, samada anjing hutan, anjing liar, atau anjing peliharaan atau anjing untuk buruan dan sebagainya, jilatan yang terkena air liurnya tetap menjadi najis mughallazah. Cara menyucinya ialah dengan membuang benda yang dijilat dan benjana iaitu bekas simpanan benda di dalamnya itu wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya dengan air tanah yang bersih.

ANJING DI SISI ORANG-ORANG KAFIR

Bagi orang-orang kafir anjing adalah binatang yang amat berguna dan disayangi sehingga mereka boleh membawa duduk dan tidur di tempat-tempat istimewa seperti di dalam rumah dan di dalam kamar.

Orang-orang kafir juga menjadikan anjing sebagai rakan mainan. Mereka sanggup menjaga anjing lebih daripada menjaga dirinya sendiri; seperti menunggu anjing berak dan sanggup mengutip najis anjing itu.

BERWASPADALAH WAHAI MUSLIMIN DAN MUSLIMAH DENGAN ANJING

Dalam pergaulan dan perhubungan di atara bangsa dan kaum-kaum di dunia ini, orang-orang Islam wajib berwaspada dan mengelak daripada anjing, supaya pakaian dan badannya tidak menjadi najis kerana disentuh atau terkena anjing dan jilatannya.

Terdapat setengah-setengah daripada golongan orang-orang Islam bukan sahaja tidak mengambil berat mengenai hukum najis anjing itu, bahkan mereka rela melanggar hukum Allah s.w.t., hanya kerana hendak menjaga hati dan perhubungan dengan orang-orang kafir yang memiliki anjing.

Hari Rabu
21 Dzil Qaedah1429 Hijriyyah
19 November 2008

No comments: