Tuesday, November 18, 2008

MEMBUANG ANAK

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Sesungguhnya perbuatan membuang anak oleh ibu bapa atau salah seorang daripadanya adalah berlaku semenjak dari zaman jahiliyah lagi hingga sekarang ini, mengikut cara dan sebab-sebab yang tertentu. Dan, bagi orang-orang Islam, dengan perbuatan membuang anak itu, maka kedua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka akan berpisah dengan anak mereka di akhirat nanti kerana dosa-dosa yang dilakukan. Di antara cara dan sebab berlakunya pembuangan anak itu adalah seperti tersebut di bawah ini:-

Membuang anak dengan membunuh atau menanam hidup-hidup anak itu kerana malu dan aib dalam masyarakat jahiliyah.

Membuang anak dengan menghantar anak ke sekolah yang sistem pendidikannya mengikut cara kafir semata-mata.

Membuang anak dengan memberi kepada orang lain menjaganya kerana mahu melepaskan tanggungjawabnya.

Membuang anak dengan mengajar sendiri anak dengan perkara-perkara yang keji dan maksiat yang dilarang oleh Allah s.w.t. kerana mengikut gaya hidup sekeliling yang bermaksiat.

Membuang anak dengan menyerahkan anak kepada bekas suami atau bekas isteri yang murtad atau balik kepada keluarga kafir kerana emosi marah dan bebal atas sebab-sebab yang tertentu.

Membuang anak dengan memberi makan dan minum daripada hasil-hasil yang haram di sisi Islam kerana kononnya dirasai hasil yang haram itu lebih lumayan.

Membuang anak dengan memberi makan, minum serta mengasuh dan membesarnya oleh ibu yang ada pelajaran tinggi tetapi tiada pendidikkan Islam dan tidak beramal soleh.

Membuang anak dengan hanya memberi makan, minum serta membesarkannya seperti makhluk-makhluk haiwan tanpa memberi pendidikan akhlak Islam kerana ibu bapanya melihat manusia-manusia kafir yang makan, minum, berkahwin beranak silih ganti berganti dan boleh terus hidup tanpa mengamalkan Islam.

Membuang anak kerana tidak mengajar anak solat atau membiarkan anak tidak menunaikan solat kerana ibu bapanya sibuk dengan urusan kehidupan.

Membuang anak oleh ibu tunggal ( single mother ) dengan berbagai-bagai cara di mana-mana kerana takut terbuka rahsia melahirkan anak zina.

Istilah dalam kitab fiqh menyebut: 1. Teruna ialah lelaki yang belum berkahwin; 2. Dara ialah perempuan yang belum berkahwin; 3. Bujang lelaki atau perempuan yang sudah bercerai mengikut syari'at, sama ada mempunyai anak atau tidak ada anak dengan bekas isterinya; 4. Janda ialah perempuan yang sudah bercerai mengikut syari'at, sama ada ia ada mempunyai anak atau tidak ada anak dengan bekas suaminya.

Allah s.w.t. berfirman: “Katakanlah: Marilah supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kerana kepapaan, Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan jangan kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syara’). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya”. Surah Al-An’Aam, Ayat 151.

Allah s.w.t. berfirman: “ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. Surah At-Tahriim Ayat 6.

(Ayat ini diperingatkan kepada sekalian umat Islam, supaya menyelamatkan diri mereka dan keluarga masing-masing dari bahaya melanggar perintah-perintah agama Islam, iaitu tiap-tiap seorang wajib mengetahui serta mengajar anak isteri dan keluarganya dengan ajaran-ajaran dan adab-adab serta akhlak-akhlak Islam, supaya ia dan keluarganya terselamat dari kemurkaan Allah dan azabNya).


Hari Rabu
21 Dzil Qaedah 1429 Hijriyyah
19 November 2008

No comments: