Wednesday, September 10, 2008

HIKMAH ALLAH 'AZZA WA JALLA DALAM PERUBATAN

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Islam menggalakkan setiap orang muslim berubat apabila ada penyakit yang dihidapinya.

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mengisyaratkan bagi setiap penyakit pasti ada ubatnya. Sedang ubat tersebut hanya dapat diketahui sebahagian orang, sedang orang lainnya tidak mengetahui. Dan apabila ubat itu sesuai dengan penyakit maka sembuhlah penyakit dengan izin Allah ‘Azza Wa Jalla.

Rasulullah s.a.w. bersabda dikhabarkan dalam sebuah Hadis; “Dari Usamah bin Syuraith, katanya: Rasulullah s.a.w. berada di samping saya, tiba-tiba seorang badwi datang, lalu berkata; “Ya, Rasulullah, apakah kami boleh berubat?” Rasulullah menjawab: “Ya. Wahai para hamba Allah, berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Allahu ‘Azza Wa Jalla tidak menurunkan penyakit kecuali Dia turunkan ubatnya. Ubat tersebut dapat diketahui oleh orang-orang yang ‘alim (berpengetahuan), dan tidak diketahui oleh orang-orang jahil (tiada berpengetahuan). ( Dan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila ubat sesuai dengan penyakit , sembuhlah penyakit dengan izin Allah ‘Azza Wa Jalla”.)

Bagi muslimin yang diberi Allah ‘Azza Wa Jalla, pengetahuan dan kebolehan dalam sains perubatan, tidak kira dalam bidang mana sekalipun, bangun dan maju untuk membina dan menjaga kesihatan umat Muhammad s.a.w.

Adalah diperhatikan pada masa kini ada di antara pengamal perubatan samada yang diiktiraf atau yang tidak diiktiraf memakai nama “Perubatan Islam” sebagai daya tarikan, sedang perkhidmatan yang diberi di antaranya amat memalukan dari sudut pandangan Islam.

Dalam konteks “Perubatan Islam” yang difahami sekarang ini oleh sesetengah orang, amat terhad kepada suatu sudut yang teramat sempit dan menyempitkan orang lain. Biasanya terdapat apa yang dinamakan “Perubatan Islam” itu khusus kepada jampi serapah samada menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya yang bercampur aduk dengan mentera-mentera lain yang tidak ada nas-nas yang sahih daripada Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Ada juga terdapat pengamal perubatan itu menggunakan akar-akar kayu, herba-herba dan sebagainya yang pemperosesannya tidak teratur, kotor dan bahan-bahan itu telah menjadi rosak yang mana tidak ada nilai-nilai khasiatnya lagi.

Ada setengah daripada pengamal kononnya “Perubatan Islam” yang mendakwa bahawa mereka mampu memberi khabar baik buruk seseorang pesakit serta tahu rahsia-rahsia ghaib dan kejadian-kejadian yang akan berlaku di hari muka, melalui tenung, ramal,sihir, dan sebagainya lagi. Tersebut dalam kitab “Al-Sunan ”, orang-orang seperti ini diketahui sebagai Kahin dan ‘Araf. Perbuatan mereka itu adalah merupakan syirik belaka.

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:” Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?” Surah Asy-Syu’araa’ Ayat 221.
(Yakni sebenarnya Syaitan-syaitan itu turun kepada golongan pendusta yang berdosa – pawang-pawang dan ahli sihir yang mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib ; bukan kepada Nabi-nabi atau orang-orang yang mewarisinya).

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman : “Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,” Surah Asy-Syu’araa’ Ayat 222.

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: “ Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta”.
Surah Asy-Syu’araa’, Ayat 223.

Sebagaimana disebutkan pada awalan tadi bahawa dalam Islam, semua bidang perubatan sekalian alam ini semuanya adalah daripada hikmah Allah ‘Azza Wa Jalla.

Perkara yang wajib dijaga ialah tentang pengurusan perubatan itu mengikut ciri-ciri keIslaman, seperti pengurusan tempat tinggal pesakit lelaki dan perempuan, tempat dan proses penyediaan makanan dan minuman dan perkara-perkara yang ada hubungkait dengannya. Ianya hendaklah mengikut dan sesuai dengan batasan-batasan hukum; Wajib, Haram, Sunat, Makruh dan Harus, perlu diletakkan pada tempatnya yang benar lagi betul.

Perubatan Islam itu bukan kata-kata, saduran-saduran, pameran-pameran, iklan-iklan yang cantik di luaran semata-mata. Perubatan Islam hendaklah diamalkan dengan ilmu dan pengetahuan, mengikut prosedur-prosedur yang telah sedia ada dan ditetapkan dalam Islam yang mana nilainya tinggi di dunia dan akhirat.

Hari Khamis
4 Ramadhan 1429 Hijriyah
4 September 2008

No comments: