Sunday, September 28, 2008

BULAN-BULAN DI SISI ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.

Hilalun anak bulan
Qamarun bulan
Badrun bulan purnama penuh bulan
Bulan di sisi Allah s.w.t. hendaklah dijadikan ingatan

Muharram, Safar, Rabi'ul Awal, Rabi'ul Akhir
Jamadil Awal, Jamadil Akhir
Rejab, Sya'aban, Ramadhan, Syawal
Dzul Qaedah dan Dzul Hijjah genap dua belas bulan

Muharram tiga puluh hari
Safar dua puluh sembilan hari
Rabi'ul Awal tiga puluh hari
Rabi'ul Akhir dua puluh sembilan hari
Jamadil Awal tiga puluh hari
Jamadil Akhir dua puluh sembilan hari
Rejab tiga puluh hari
Sya'aban dua puluh sembilan hari
Ramadhan tiga puluh hari
Syawal dua puluh sembilan hari
Dzul Qaedah tiga puluh hari
Dzul Hijjah dua puluh sembilan hari

Orang Islam di akhir zaman
Sedikit yang tahu sebut bilangan bulan
Bulan-bulan mulia di sisi Allah s.w.t. dilupakan
Milik Allah s.w.t. dibuat ringan, rekaan kafir jadi gunaan

Segan mengguna bulan-bulan Allah dalam sistem pengurusan
Rasa rendah diri tidak bertepatan
Di antara orang Islam ada yang tinggal Allah mencari kemuliaan
Menukar gantikan hidayah Allah dengan kehinaan


Daripada bulan-bulan itu empat dinamakan bulan haram
Rejab, Dzil Qaedah, Dzil Hijjah dan Muharram
Dzil Qaedah, Dzil Hijjah dan Muharram tiga bulan berturutan
Rejab satu bulan berasingan MUDHARUN sebutan

Bulan haram lantaran dinamakan
Iaitu bulan-bulan kebesaran dan kehormatan
Sebesar-besar dosa jika dilakukan di dalamnya kemaksiatan
Amalan soleh pula diberi pahala berganda-ganda besar ganjaran

Bulan Dzul Qaedah bakal haji ke Makkah mula perjalanan
Bulan Dzul Hijjah amalan ibadat haji dilakukan
Bulan Muharram jema'ah haji pulang selesai kewajipan
Bulan Rejab untuk beribadat umrah setengah tahunan

Peperangan dalam bulan-bulan tersebut diharamkan
Jika orang-orang Islam diganggu ceroboh, peperangan diwajibkan
Bunuhlah musyrikin sekalian sebagaimana mereka membunuh kamu tanpa belas kasihan
Sehingga orang-orang Islam terjamin keselamatan hidup dalam keamanan

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:” Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Ketetapan Ad-din yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu di dalamnya, dan perangilah kaum musyrikin itu seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” Surah At-Taubah, Ayat 36.

Daripada Abu Bakrah berkata sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, mafhumnya:” Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturutan-turutan iaitu Dzul Qaedah, Dzul Hijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadi dan Sya'aban”.

Hari Ahad
28 Ramadhan 1429 Hijriyyah
28 September, 2008

No comments: