Friday, August 29, 2014

MUFTI BISU


TIDAK TEGUR

Apabila berbangkit sesuatu isu semasa yang berkaitan dengan hal-hal agama Islam,  yang mana kebanyakan orang Islam tidak mengetahui sama ada ianya salah atau betul mengikut hukum Islam dan apabila sekalian mufti-mufti dan ulama-ulama tidak menegurnya mengikut hukum-hukum yang sahih, maka ramai orang-orang Islam berpendapat bahawa apa-apa amalan yang mereka lakukan itu betul sejajar dengan hukum syar’ie.


TIDAK SEPAKAT

Dalam sesetengah isu tertentu berkaitan dengan hukum-hukum Islam, terdapat  sesetengah mufti-mufti tidak sepakat mengeluarkan penjelasan dan pandangan atau fatwa-fatwa yang dikeluarkan berbeza-beza atau berlainan di antara satu sama lain, maka bertambahlah lagi kecelaruan di kalangan orang-orang Islam di Malaysia ini. 

Justeru itu, maka ramailah pula orang-orang jahil di dalam berbagai bidang pekerjaan mengeluarkan fatwa-fatwa sesat dan songsang mengikut pandangan masing-masing dalam laman sesawang, akhbar-akhbar dan ceramah-ceramah mereka.  


MUSUH DALAM SELIMUT ISLAM

Ada di antara fatwa-fatwa tersebut dikeluarkan oleh musuh-musuh Islam yang berada dalam selimut Islam yakni orang-orang yang menggunakan  Ayat-ayat Al-Quran Al-Karim dan Hadis-hadis yang telah disusun serta menggunakan nama-nama kitab yang mana semuanya itu bertujuan untuk menyesatkan orang ramai. 

Di samping itu, musuh-musuh Islam dalam selimut membawa nama-nama kitab dan menyebut nama-nama orang-orang yang kononnya alim ulama, yang tidak dikenali  ramai untuk menegakkan fatwa-fatwa mereka.

Musuh-musuh Islam itu tahu bahawa mustahil bagi kebanyakan orang-orang Islam dapat mencari dan merujuk nama-nama kitab dan nama-nama orang-orang yang disebutkan itu.  Maka dengan itu, secara tidak langsung, ramai orang Islam akan melihat mereka yakni musuh-musuh Islam ini sebagai tokoh agama.


MEROSAKKAN AKIDAH ISLAM

Disebabkan kekurangan ilmu dan pengetahuan Islam, orang-orang Islam mudah tertipu oleh musuh-musuh dalam selimut Islam itu dengan menggunakan peluang-peluang tersebut untuk terus merosak akidah mereka.

Oleh yang demikian, maka terdapat percanggahan demi percanggahan “fatwa-fatwa”, pandangan dan pendapat atas sesuatu isu hukum-hukum Islam yang berbangkit khususnya di Malaysia ini.  



Hari Juma’at
3 Dzulkaedah 1435 Hijriyah
29 Ogos 2014


No comments: