Friday, August 8, 2014

JAMPI PENGASIH


Melalui halaman-halaman web sekarang ini, terdapat banyak dan pelbagai petua-petua mengenai penggunaan jampi serapah, doa-doa dan zikir, ruqyah-ruqyah dan sebagainya disiarkan orang.

Di antara jampi serapah, doa-doa dan zikir serta ruqyah-ruqyah itu mendapat perhatian dan tarikan oleh sesetengah orang untuk menggunakannya atau mengamalkannya untuk tujuan-tujuan tertentu.


DOA, ZIKIR DAN RUQYAH

Mengenai dengan doa-doa dan zikir serta ruqyah-ruqyah dalam bahasa Al-Quran Al-Kariim, sebelum seseorang itu mengamalkannya, ia hendaklah tahu dan fasih dan betul bacaan serta sebutan huruf-huruf dan baris-baris kalimah yang dibacanya itu, jika tidak, maka makna doa dan zikir itu menjadi lain daripada apa yang sebenarnya.

Oleh itu seboleh-bolehnya seseorang itu mengambil doa-doa dan zikir yang hendak diamalkan itu daripada guru-guru yang mengamal dan bawaannya soleh.  Di samping itu seseorang itu hendaklah belajar membaca doa dan zikir yang hendak diamalkan itu mengikut sebutan guru-guru atau mendengar bacaan yang sahih serta tahu makna dan maksudnya.

Tanpa mendapat bimbingan dan ajaran yang betul, maka ditakuti bahawa segala petua, jampi serapah, doa-doa dan zikir serta ruqyah-ruqyah itu berkemungkinan  akan membawa padah kecelakaan kepada pengguna atau pengamalnya; seperti menjadi gila isim, angau, dungu, murung dan lain-lain gangguan jinn dan syaitan yang tidak kesudahan dalam hidupnya. 

Perlu diingatkan bahawa orang-orang yang mengajar dan memberi petua-petua melalui halaman-halaman web itu bukan sahaja mereka itu tidak dikenali atau pernah berjumpa tetapi juga mereka itu tidak akan bertanggung jawab atas segala akibat buruk dan atas apa-apa kecelakaan akibat amalan-amalan yang tersebut.


JAMPI SERAPAH

Adapun petua atau jampi serapah atau amalan-amalan jampi pengasih, jampi cepat mendapat jodoh, jampi pelembut hati, jampi bagi orang lain mengikut perintah,  jampi untuk mendapat kuasa, jampi untuk mendapat kekayaan, jampi untuk menjadi kuat dan kebal, jampi untuk mendapat anak, jampi untuk menjadikan anak pintar dan sebagainya, haruslah berwaspada supaya tidak tersalah guna atau tersilap amal yang mungkin mendatangkan kecelakaan dan buruk padahnya pada pengamalnya dan kepada yang dituju jampi serapahnya.

Apa-apa pun jampi serapah sama ada dalam bahasa Melayu atau Jawa atau Siam atau Minangkabau atau Arab atau Arab Badwi atau Bugis atau Banjar atau Minang atau Dayak atau Jakun atau Batak atau Tamil Hindu  dan lain-lain jika tidak betul penggunaannya dan tidak pada tempatnya, boleh menjadikan seseorang itu SYIRIK, maka perlu diambil berat penggunaan dan pengamalan jampi-jampi serapah tersebut.


Wallahu A’lamu Bissawab.



Hari Juma’at
12 Syawal 1435 Hijriyah
8 Ogos 2014



No comments: