Friday, July 25, 2014

PEMBERIAN ZAKAT


Dr. Bin Abdul Talib telah menulis kritikan mengenai pengurusan zakat di Malaysia.

Melihat kepada tulisannya yang panjang lebar, jelas bahawa ia adalah seorang yang penuh dengan egosentrik yang ada dalam dirinya dan menampakkan ia sebagai seorang yang tidak membuat kesalahan yakni “the most righteous person”.

Di antara lain, ia menyalahkan pihak berkuasa zakat setiap negeri di Malaysia menyalahgunakan wang zakat untuk gaji penjawat-penjawat dan kenderaan-kenderaan lebih daripada pembahagian kepada asnaf-asnaf.

Dan, tambahnya lagi, orang-orang miskin lebih mudah mendapat bantuan daripada gereja daripada mendapat bantuan daripada pihak berkuasa zakat:

“Tiba-tiba ada si miskin kita terpaksa merintih simpati dari pihak lain termasuk gereja?”
Nampaknya Dr. Bin Abdul Talib telah kemamar di antara zakat dan bantuan-bantuan dari gereja dan lain-lain, kerana zakat adalah salah satu dari rukun Islam dan sebaliknya bantuan bukan rukun Islam, maka bantuan boleh diberi kepada sesiapa dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja.
Dan, katanya lagi:
“Ada pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.” 
Sebagaimana yang diketahui, biasanya pihak-pihak pengurusan zakat tidak meminta orang-orang yang hadir mendapat bantuan zakat itu menulis borang-borang sepertimana yang disebut oleh Dr. Bin Abdul Talib itu.  Mana-mana orang yang hadir ditemu duga oleh pegawai-pegawai yang bertugas di sana.

Di samping itu adalah dilihat bahawa Dr. Bin Abdul Talib nyata menolak hukum-hukum, syarat-syarat dan kriteria-kriteria kelayakan yang ditetapkan syarak bagi setiap asnaf yang boleh menerima wang zakat.
  
Pada logik akalnya, semua orang yang fakir dan miskin tanpa mengambil kira ianya Islam atau bukan Islam boleh diberi zakat, sepertimana katanya:

“Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim juga akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!”
Adalah dilihat bahawa Dr. Bin Abdul Talbi itu telah salah dan tersasar jauh apabila ia mengandaikan bahawa seseorang Islam akan keluar Islam kerana masalah zakat, sebagaimana katanya:
“Jika ia (zakat) tidak berfungsi, (orang) yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam.”
Dengan penulisannya yang mengelirukan hukum-hukum, syarat-syarat dan kriteria-kriteria dalam Islam yang membolehkan seseorang fakir miskin menerima wang zakat, maka ia dilihat oleh sesetengah orang  dan orang-orang yang jahil bawaan  dalam agama, maka “fatwa” dari Dr. Bin Abdul Talib itu masuk akal.



Hari Juma'at
27 Ramadhan 1435 Hijriyah
25 Julai 2014



Nota:

Penulis artikel ini pernah berkhidmat di salah sebuah Baitul Mal, tidak menafikan bahawa terdapat sedikit sebanyak kekurangan dalam pengurusan Baitul Mal, namun begitu menolak mengatakan bahawa pengurusan Baitul Mal keseluruhannya mengenai pembahagian zakat tidak teratur.


No comments: