Friday, July 4, 2014

MENUNTUT ILMU AGAMA UNTUK BERBANGGA


Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Janganlah kamu belajar ilmu Agama untuk berbangga-banggakan diri ke atas ‘Ulama, jangan belajar untuk berbahas dengan orang-orang yang bodoh yakni untuk berhujah dengan orang awam yang kurang faham selok belok Agama dan jangan belajar untuk mendapatkan perhatian dalam majlis-majlis. Sesiapa yang melakukan sedemikian maka untuknya ialah neraka, neraka.”  Ibnu Majah


Terdapat sesetengah orang yang menuntut ilmu Agama Islam hanya semata-mata bertujuan untuk berbangga-banggakan diri dan menunjuk-nunjuk bahawa ia lebih bijak dan lebih hebat ilmunya daripada ‘Ulama-‘ulama yang telah mati dan ‘Ulama-‘ulama sekarang yang masih hidup.

Perbuatan itu dilakukan melalui laman-laman web atau tulisan-tulisan buku atau ceramah-ceramah kepada orang ramai atau syarahan-syarahan kepada pelajar-pelajar di sekolah, di kolej dan di universiti.

Mereka bertindak merendah-rendahkan ilmu yang ditinggalkan kepada umat Islam melalui kitab-kitab Agama Islam yang ditulis oleh ‘Ulama-ulama dahulu yang telah kembali ke rahmatullah.  Mereka tidak sepatutnya mempertikaikan apa yang telah ditulis dalam kitab-kitab tersebut kerana isi kandungan kitab-kitab tersebut adalah yang terbaik dan yang telah diiktirafkan oleh jumhur ‘Ulama dahulu. 

Adalah menjadi kesalahan besar bagi orang-orang sekarang ini, yang baru belajar pengetahuan Agama Islam dengan merujuk ilmu-ilmu yang telah ditinggalkan oleh ‘Ulama-‘ulama dahulu, mengutuk dan menghina ‘Ulama-‘ulama berkenaan yang telah mati dan tidak dapat memberi penjelasan selanjutnya kepada mereka yakni kepada orang-orang yang berbangga-banggakan diri itu lagi dungu.

Orang-orang yang sebegitu yakni dungu lagi lupa diri, bahawa apa sahaja ilmu Agama Islam yang mereka pelajari, mulai daripada membaca dan menulis huruf-huruf hijaiyah yakni huruf-huruf “ ‘Alif, Ba, Ta, Tha, Jim, Ha dan seterusnya”, serta  segala ilmu dan pengetahuan Agama Islam yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah diwarisi oleh ‘Ulama-‘ulama dahulu agar ilmu dan pengetahuan Agama Islam tersebut sampai kepada umat manusia hari ini.  Tanpa ‘Ulama-‘ulama tersebut, maka apalah yang ada pada umat Islam sekarang ini  kecuali hidup mereka dalam keadaan jahil seperti waktu zaman jahiliyah dahulu.  Na’uzubillahi Min Zalik.


‘Ulama-‘ulama Muktabar, di antaranya:

1    1.     Imam Asy-Syafie: Nama lengkapnya Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie bin Saib bin Ubaid bin Hisyam bin Abdul Muthalib bin Abdu Manaf bin Qushaiy.  Dilahirkan di Syam pada tahun 150 Hijriyah.

2    2.     Imam Al-Bukhari: Nama lengkapnya Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Mughirah bin Bardizbah.  Dilahirkan di Bukhara Khurasan pada tahun 194 Hijriyah.

3    3.     Abu Daud: Nama lengkapnya Sulaiman bin Asy’ats bin Bisyr bin Amru bin Amir Al-Azdi Al-Sijistani.  Dilahirkan di Sijistani pada tahun 202 Hijriyah.

4    4.     Imam Muslim: Nama lengkapnya Muslim bin Hajjaj bin Muslim bin Warad Al-Qusyairi An-Naisaburi.  Dilahirkan di Qusyair pada tahun 204 Hijriyah.

5    5.     Ibnu Majah: Nama lengkapnya Muhammad din Yazid Ar-Rib’i Al-Qazwini. Dilahirkan di Quzuwaini pada tahun 209 Hijriyah.

6    6.     Imam Al-Ghazali: Nama lengkapnya Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Ghazali Ath-Thusi.  Dilahirkan di Thabrani, Thusi Khurasan pada tahun 450 Hijriyah.

7    7.     Ibnu Kathir: Nama lengkapnya Ismail bin Umar bin Kathir bin Dhau bin Dar’in. Dilahirkan di Mujadal, Syam pada tahun 701 Hijriyah.



Hari Juma’at
6 Ramadhan 1435 Hijriyah
4 Julai 2014


No comments: