Saturday, February 14, 2009

SEJADAH JANGAN PANDANG MUDAH


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

PENGERTIAN SEJADAH

Sejadah ialah:

1. Tempat sujud ketika mengerjakan solat
2. Hamparan yang diperbuat daripada bulu, kulit binatang, kapas dan sebagainya untuk dijadikan lapik ketika menunaikan solat

Ukuran sejadah itu berbeza-beza; ada yang besar dan kecil serta tebal nipisnya dan corak warnanya juga berlainan diantara satu sama lain.

SITRAH

Adalah dilarang seseorang itu melintasi di hadapan orang yang sedang bersolat. Seseorang yang hendak mengerjakan solat hendaklah terlebih dahulu mengadakan sitrah iaitu hadangan atau sesuatu tanda atau garisan yang memisahkan dirinya dari laluan orang seperti mengadapkan ke dinding atau tiang atau memacak tongkat atau mengadakan garisan seperti menggunakan hamparan atau sejadah.

Jika sitrah itu daripada benda yang boleh diubah atau dipindah-pindahkan, maka ia hendaklah jangan diletak di hadapan bertentangan dengan mukanya (tempat sujud). Benda itu hendaklah diletak atau dipacak sedikit ke kanan atau ke kiri daripada tempat sujudnya.

Biasanya sitrah-sitrah yang dibuat dalam masjid-masjid ialah garisan-garisan saf di atas hamparan atau lantai kayu atau marmar dan sebagainya. Jarak diantara garisan-garisan saf itu pula kurang lebih tiga hasta yakni tiga hasta dari hujung kaki atau tumit ke hujung garisan ke arah qiblat. Jika sejadah perseorangan, ukurannya ialah tiga hasta dari hujung kaki atau tumit panjang (akhir) sejadah. Sitrah-sitrah itu hendaklah dibuat berdasarkan kepada Hadis Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, dari Abi Daud:

HADIS NABI SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM

Mafhumnya: “Bila seseorang dari kamu melakukan solat hendaklah ia meletakkan sesuatu benda di hadapan, maka kalau ia tidak dapati sesuatu hendaklah ia pacakkan tongkatnya, maka kalau tidak ada tongkat, hendaklah ia gariskan satu garisan di hadapannya itu”.

MEREMPUH LINTAS

Seseorang yang merempuh lintas orang yang sedang mengerjakan solat di belakang garisan sitrah orang yang sedang bersolat itu adalah ditegah syara' dengan dalil Hadis Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, yang dikeluarkan oleh AtTarmidzi:

HADIS NABI SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM

Daripada Basr bin Said bahawasanya Zaid bin Khalid Al Jahaniya mengutus ia kepada Abi Jahim menanyai akan dia apakah suatu yang telah didengarnya daripada Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pada orang yang merempuh lintas di hadapan orang yang bersolat? Maka kata Abi Jahim: “Telah bersabda Rasullullahu Sallallahu 'Alaihi Wasallam: “Jikalau mengetahuilah orang merempuh lintas di hadapan orang yang bersolat akan apa atasnya nescaya adalah berdiri ia empat puluh lebih baik baginya daripada bahawa merempuh lintas ia di hadapannya”. Kata Abu Nadhr: “Tiada aku tahu katanya empat puluh hari atau empat puluh bulan atau empat puluh tahun”. - Hasan Sahih.

MASJID

Binaan atau apa-apa tempat di mana ada orang mengerjakan solat adalah disebut masjid, surau, musalla dan sebagainya. Binaan dan tempat itu diwakafkan untuk kegunaan umum bagi kepentingan dan kebajikan orang-orang Islam. Oleh itu menjadi tanggungan dan kewajiban ke atas setiap orang Islam yang menggunakan tempat itu menghormati hak-hak saudaranya yang lain yang sama-sama menggunakan tempat itu.

MENJAGA SAF

Semasa bersolat di masjid atau di mana-mana tempat secara berjemaah, setiap orang wajib menjaga saf solat supaya lurus rapat dan penuh dalam barisan saf yang ada. Saf-saf yang renggang menjadi tempat syaitan mencelahinya, dan jika saf itu pula renggang terlalu luas, maka dikira terputus saf solat. Dalam saf solat itu, seseorang hanya boleh berdiri qiam seluas mana ukuran badannya sahaja.

Terdapat orang-orang yang membawa hamparan atau sejadah untuk kegunaannya sendiri walaupun masjid-masjid dan surau-surau telah disediakan dengan hamparan atau lantai-lantai yang bersih dan suci. Hamparan atau sejadah yang dibawanya itu pula ada yang besar dan lebar melebihi ukuran saiz badannya dan melebihi tiga hasta panjang. Hamparan atau sejadah itu dikira sitrah bagi seseorang yang mengerjakan solat. Dengan berbuat sedemikian, ia telah merampas ruang tempat duduk orang lain di atas tempat yang diwakafkan kepada umum.

DITEGAH MENGGUNA SEJADAH ORANG LAIN TANPA IZIN

Adalah ditegah syara' menggunakan atau bersolat di atas hamparan atau sejadah orang lain tanpa izin dari tuan empunya sejadah tersebut. Izin di sini bolehlah diambil kira samada izinnya itu secara lisan, isyarat atau sebagainya.

MENGUIS DENGAN KAKI

Bagi mengelakkan daripada memijak guna di atas sejadah orang tanpa izin, maka seseorang yang hendak bersolat bolehlah memindahkan sedikit sejadah orang lain itu, misalnya dengan menguis dengan kakinya dan kemudian ia bersolat di tempat yang kosong itu. Sekiranya seseorang itu khuatir akan memudharatkan kesempurnaan pahala atau hilang kekhusyu'kan dalam solatnya itu atau perasaannya amat terganggu dengan situasi tersebut, maka lebih elok baginya berpindah ke tempat lain yang lebih baik.

MEMAKSA HUKUMNYA HARAM

Adalah haram di sisi syara', seseorang itu menyuruh atau memaksa orang lain berdiri atau berpindah dari tempatnya tanpa keredhaan hati orang yang telah sedia ada menduduki tempat tersebut dengan tujuan supaya orang yang menyuruh itu dapat duduk dan bersolat di tempat berkenaan.

TEMPAT YANG LEBIH BAIK

Sebaliknya pula makruh bagi seseorang mengutamakan orang lain menduduki di tempatnya melainkan bila ia mahu berpindah ke tempat lain di saf yang sama ataupun di saf yang lebih baik yakni lebih dekat lagi dengan tempat imam. Memberikan tempat duduk solat pada saf yang ia mula duduk kepada orang lain; dengan perbuatan itu, memaksa ia sendiri ke saf atau tempat solat di belakang yang lebih jauh daripada imam, maka itu adalah makruh hukumnya. Demikianlah hukumnya makruh mengutamakan orang lain dari diri sendiri dalam mengerjakan ibadat yang mendampingkan diri (taqarrub) dengan Allah Subhanahu Wa Ta'alaa.

Catatan di Madinah Al Munawarrah
Hari Isnin
1 Muharram 1430 Hijriyyah
29 Disember 2008

No comments: