Friday, February 27, 2009

KECANGGIHAN ALAT KOMUNIKASI

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

BURUNG MERPATI

Sebelum keluarnya telefon bimbit (Hand Phone) manusia telah menggunakan beberapa cara dan alat untuk berhubung dan berkomunikasi di antara satu sama lain. Diantaranya ialah menggunakan kepulan asap daripada unggun api, burung merpati, tanda-tanda lukisan. Kemudian diikuti dengan menggunakan tanda-tanda isyarat seperti “Morse Code”, telegraf, kabel telefon, telefon tanpa wire (wireless), radio dan television dan lain-lain lagi. Dikatakan kemajuan-kemajuan dalam bidang alat-alat komunikasi itu terlalu cepat untuk diguna pakai bagi jangka masa lama.

ALAT-ALAT KOMUNIKASI

Di zaman ini alat-alat komunikasi amat berguna kepada sesetengah manusia dalam urusan sehariannya. Khususnya di sini ialah penggunaan “hand phone” untuk berhubung dan berkomunikasi di antara satu sama lain melalui perkhidmatan signal-signal (network) yang disediakan.

Selain daripada penggunaan untuk berhubung dan berkomunikasi, "hand phone" juga boleh digunakan untuk menyimpan data-data, mengambil gambar dan melayari internet dan lain-lain lagi.

MAKSIAT DAN JENAYAH

Jika dilihat daripada penggunaan 'hand phone" yang meleluasa sekarang ini, ia juga tidak terlepas daripada disalahgunakan untuk tujuan-tujuan yang menjuruskan kepada kemaksiatan, kejahatan, jenayah dan sebagainya.

RUANG KOMUNIKASI TANPA SEMPADAN

Pada musim haji tahun 1429 Hijriyyah, kebanyakan jemaah haji yang datang dari seluruh dunia membawa alat-alat komunikasi elektronik dan nampaknya sudah menjadi satu “trend” pula. Yang boleh berlaku sedemikian ialah kerana pihak berkuasa di tanah suci Makkah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawarah tidak menyekat penggunaan alat-alat tersebut.

Pada musim-musim haji dan umrah sebelum tahun 2000 Masihi, alat-alat komunikasi elektronik dan kamera tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam Masjid Al Haram, lebih-lebih lagi membawa kamera untuk mengambil gambar di persekitarannya.

Dengan terbuka pintu kebebasan itu, ramai di antara jemaah mengambil peluang dan menyalahgunakan kesempatan itu sehingga ternampak seolah-olah menjadi satu keghairahan penggunaan alat-alat komunikasi dan kamera di tanah suci.

GHAIRAH DENGAN TELEFON BIMBIT (HAND PHONE)

Di musim haji tahun 1429 Hijriyyah, ramai di antara jemaah haji menggunakan "hand phone" di mana-mana sahaja seperti di hotel, dalam bas, di dalam masjid, ketika tawaf, semasa sa'ie, di klinik dan sebagainya. Kadang-kadang penggunaan itu amat mengganggu jemaah-jemaah lain yang ada berdekatan dengan orang yang bercakap itu.

Jangan terkejut apabila terdengar suara orang memberi salam di belakang atau di sisi padahal sebenarnya salam itu ditujukan kepada orang yang bercakap di “hand phone”nya. Selain daripada ucapan salam itu yang dapat difahami semua, perbualan-perbualan melalui “hand phone” meliputi berbagai-bagai bahasa yang hanya boleh difahami oleh mereka yang tahu bahasa-bahasa tersebut sahaja.

649 BAHASA

Pada musim haji tahun 1429 Hijriyyah dianggarkan seramai kurang lebih tiga juta orang dari seluruh dunia yang berlainan bangsa dan puak serta berlainan bahasa berkumpul pada satu tempat dan dalam satu masa yang pendek di Kota Makkah Al Mukarramah. Daripada jumlah tiga juta jemaah haji itu, seramai 25,000 jemaah haji dari Malaysia yang bertutur dalam bahasa Melayu iaitu bersamaan 0.83 peratus daripada jumlah jemaah haji tersebut.

Mengikut perangkaan kependudukkan dan bahasa dunia yang dibuat dalam tahun 2005, terdapat kurang lebih 649 bahasa tuturan yang dapat diketahui. Di antara bahasa-bahasa yang diguna dan ditutur oleh jumlah penduduk dunia ialah:

1. China-Mandarin 1,080 Juta Orang
2. English 1,050
3. Hindi 984
4. Francais 500
5. Spain-Espanol 350
6. Russia 255
7. Al'Arabiyah (Arab) 235
8. Portugues 223
9. Bahasa Indonesia 165
10. Japan 130
11. Urdu 104
12. Panjabi 104
13. Turki-Turkce 75
14. Jawa 75
15. Iran-Persia 71
16. Thai 61
17. Bahasa Melayu 21

Susunan bahasa tersebut di atas dari bilangan 1 hingga bilangan 10 adalah bahasa-bahasa yang teramai dituturkan orang. Bilangan 16- Thai dan 17-Bahasa Melayu itu bukan terletak pada turutan sebenar kerana ada banyak lagi bahasa-bahasa lain yang ramai dituturkan orang di antara bilangan 15, 16 dan 17 yang mana sengaja tidak dimasukkan ke dalam senarai ini.

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALAA

Allah Subhanahu Wa Ta'alaa berfirman: (maksudnya) “Wahai umat manusia! Sesungguhnya KAMI telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan KAMI telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan .....” Surah Al Hujuraat, Ayat 13.

Dan Allah Subhanahu Wa Ta'alaa berfirman: (maksudnya) “ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNYA dan kebijaksanaanNYA ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warana kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berilmu”. Surah Ar Ruum, Ayat 22.

GANGGUAN KETIKA BERIBADAT

Di celah-celah orang ramai kedengaran deringan-deringan di sana sini dan perbualan dalam berbagai bahasa, ada yang boleh difahami dan banyak yang tidak dapat difahami tuturan mereka itu. Di samping itu “hand phone” juga digunakan untuk mengambil gambar; maka kelihatanlah jemaah haji bergambar dengan berbagai-bagai gaya di mana-mana sahaja, di dalam masjid, di tempat tawaf, di tempat sa'ie atau ketika menunggu solat. Selain daripada mereka mengambil gambar dan bergambar, terdapat juga mereka yang menaip atau membaca SMS (perkhidmatan pesanan ringkas).

Bahkan ada juga “hand phone” digunakan lebih-lebih lagi di sekitar BaitullahilHaraam (Istana Allah Al Haraam). Perbuatan sedemikian bukan sahaja mengganggu saudara-saudara Islam yang lain tetapi perbuatan itu juga boleh terjatuh kepada tahap hukum haram ke atas orang-orang yang melakukannya kerana mengganggu jemaah-jemaah yang sedang bersolat dan beribadat. Dalam Istana Allah ini, terdapat di antaranya ramai jemaah-jemaah haji yang bertawaf, bersolat, membaca Al Quran Al Majiid, berdo'a dan sebagainya setiap masa.

TEMPAT-TEMPAT KEGEMARAN BERGAMBAR

Tempat-tempat yang menjadi kegemaran orang-orang mengambil gambar dan bergambar di Makkah Al Mukarramah di antaranya ialah:
1. Berlatar belakangkan sewaktu bersama-sama orang-orang sedang mengerjakan tawaf.
2. Berlatar belakangkan sewaktu bersama-sama orang bersa'ie, di bukit Sofa dan di bukit Marwah.
3. Berlatar belakangkan Ka'abah.
4. Berlatar belakangkan Masjid Al Haram.
5. Berlatar belakangkan jemaah haji ketika wuquf di 'Arafah.
6. Di Muzdalifah bergambar ketika mengutip batu.
7. Berlatar belakangkan sewaktu bersama-sama jemaah haji bersesak berjalan ke Jumrah di Mina.
8. Berlatar belakangkan Jumrah di mana ada di antara mereka yang “berposing” memegang batu untuk dilontar ke dalam Jumrah.
9. Bergambar berkumpulan di dalam khemah di Mina.

CATATAN MALAIKAT

Ingatlah bahawasanya catatan-catatan, rekod-rekod dan data-data yang ditulis dan divideokan oleh malaikat-malaikat adalah terlebih baik dan telah disimpan kekal hingga ke hari qiamat untuk dibaca serta dipertontonkan dan dihakimkan Allah Subhanahu Wa Ta'alaa.

MALAIKAT KIRAAMAN KATIBIIN

Allah Subhanahu Wa Ta'alaa, dalam Surah Al Infitaar, Ayat-ayat 10,11, dan 12, berfirman: (maksudnya) “ Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu.” Ayat 10.

“(Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu)”. Ayat 11.

“Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan”. Ayat 11.

Dicatat di Makkah Al Mukarramah
Hari Selasa
25 Dzil Hijjah 1429 Hijriyyah
23 Disember 2008

No comments: