Wednesday, February 11, 2009

PERBUATAN DAN KACAU GANGGU YANG MENCALARKAN HATI SAUDARA SESAMA ISLAM

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Perbuatan dan kacau ganggu yang mencalarkan hati orang lain khususnya hati saudara sesama Islam iaitu diantaranya:

Solat di laluan masuk atau di pintu-pintu masjid di mana di dalamnya masih ada tampat yang kosong.

Melangkah kepala orang yang sedang sujud atau melintasi orang yang sedang solat dalam sitrah (tanda kawasan) solat seperti mengguna sesuatu untuk diletakkan di hadapannya atau dipacakkan tongkat atau garisan atau sejadah iaitu kain hamparan tempat sujudnya.

Membuka dan meletak hamparan atau sejadah untuk kegunaan sendiri di saf yang ramai jemaah bersolat. Sejadahnya itu menjadi sitrah kawasan peribadi. Tanpa izin orang yang memiliki sejadah itu haram bagi orang lain memijak atau bersolat di atas sejadah itu.

Berebut-rebut dan bertolak-tolak ketika ingin mengucup Hajar Al Asswad sehingga menyekat orang-orang yang sedang mengerjakan tawaf.

Bersolat atau berdoa terlalu lama berhampiran Ka’abah dalam kawasan tawaf yang mana menghalang orang sedang mengerjakan tawaf di Ka’abah.

Bertolak-tolak dan berhimpit-himpit dengan kekerasan ketika mengerjakan tawaf di Ka’abah, atau ketika mengerjakan sa’ie di bukit Safa dan bukit Marwah.

Membawa bersama dan meletakkan kanak-kanak di celah-celah barisan solat orang-orang dewasa ketika solat berjemaah.

Memakai pakaian yang ada gambar, lukisan, tulisan atau lain-lain yang mengganggu pandangan dan kekhusyu’kan ahli-ahli jemaah yang sedang solat bersama-samanya.

Mengacu-ngacukan senjata yang merbahaya ke muka orang.

Dengan sengaja mencederakan atau menyakitkan hati atau perasaan orang lain kemudian meminta ma’af.

Menyuruh orang lain anjak atau bangkit daripada tempat duduk atau tempat solat supaya ia dapat duduk di tempat itu.

Berbisik-bisik sesama sendiri atau bercakap dengan bahasa yang tidak boleh difahami orang atau membuat isyarat tertentu di hadapan orang lain atau di dalam majlis.

Membelek-belek atau memilih makanan dengan cara mengangkat dan meletak balik ketika orang lain sedang menunggu giliran untuk mengambil makanan di tempat yang sama.

Mengambil makanan berlebihan banyak bila ternampak di sana ada makanan yang digemarinya.

Mengunyah makanan dengan bunyi yang kuat macam suara anjing menjilat air ketika binatang itu minum.

Merebut-rebut makanan dengan tangan bersilang siur di atas hidangan bila makan berjemaah.

Berebut-rebut mengambil makanan ketika makan berjemaah macam ikan ’piranha’ meragut-ragut makanannya.

Makan atau minum di hadapan orang yang lapar dan dahaga atau di hadapan orang miskin yang memerlukan makanan dan minuman.

Berkumur dan meludah di hadapan orang lain selepas makan atau minum.

Meludah di hadapan orang secara sengaja.

Batuk dan mengeluarkan kahak dengan kuat semasa ada orang.

Mencungkil atau menculik sisa-sisa makanan di celah-celah gigi di hadapan orang lain.

Merenjis-renjis air selepas membasuh tangan berdekatan dengan orang lain.

Melepaskan ternakan milik sediri masuk ke kawasan kebun atau rumah orang.

Membakar sampah dan sebagainya ketika orang lain sedang menjemur basuhan di jemuran.

Membuang barangan atau mencurahkan air keluar dari jendela tingkat atas di mana di bawah ada orang.

Menghisap rokok di tempat dilarang merokok.

Menhembuskan asap rokok ke muka orang.

Membuang puntung rokok merata-rata di tempat orang ramai.

Memijak puntung rokok di atas hamparan atau lantai-lantai rumah atau tempat awam.

Mengusik-ngusik anak isteri orang.

Mengintai-ngintai ke dalam rumah atau jendela orang.

Meraba-raba atau menyentuh dengan sengaja kawasan badan orang ketika bersesak-sesak.

Membuang sampah sarap atau benda-benda yang merbahaya di atas jalan laluan orang atau di hadapan rumah orang.

Mengetuk-ngetuk pagar atau pintu dengan kuat dan tidak memberi salam bila pergi mengunjung ke rumah orang.

Bertanya-tanya mengenai hal peribadi orang yang bercakap dengannya samada di khayalak ramai atau tidak.

Duduk terlalu lama bila menziarahi orang sakit.

Meletakkan kenderaan di hadapan rumah orang atau sesuka hati yang boleh menghalang laluan dan kenderaan orang lain.

Mengubah alih harta benda dan barang-barang orang lain tanpa izin.

Merosakkan harta benda kepunyaan orang.

Bercakap atau berbual dengan suara yang kuat melalui alat komunikasi di hadapan orang lain yang berehat atau sedang bekerja atau sedang beribadat.

Membuka suara televisyen atau alat-alat audio semasa orang lain sedang tidur atau sedang belajar atau bekerja atau sedang beribadat.

Bercakap dengan suara yang kuat hingar bingar tengah-tengah orang ramai seperti binatang kongkang dalam rimba.

Bergelak ketawa dengan nyaring dan mengilai macam suara himar.

Menguap dengan membuka mulut yang luas di hadapan orang.

HADIS RASULULLAH SALLALLAHU ’ALAIHI WASALLAM

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah radhiallahu ’anhu katanya: ”Rasulullahi sallallahu ’alaihi wasallam bersabda( mafhumnya): ”ORANG ISLAM ITU IALAH ORANG YANG SEJAHTERA ORANG-ORANG ISLAM DARIPADA LIDAHNYA DAN TANGANNYA, DAN ORANG MUKMIN ITU IALAH ORANG YANG AMAN DENGANNYA OLEH ORANG-ORANG MUKMINIIN ATAS JIWA MEREKA DAN HARTA MEREKA” . (Ahmad, At-Tarmithi dan Al Hakim dan Sahih).


Catatan di Makkah Al Mukarramah
Hari Isnin
24 Dzil Hijjah 1429 Hijriyyah
22 Disember 2008

No comments: