Thursday, November 1, 2007

JEMPUTAN KENDURI KAHWIN


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM

Cucunda-cucunda yang dijagai Allah Subhanahu Wa Ta'ala.


Cucunda-cucunda haruslah berhati-hati bila menerima jemputan kenduri perkahwinan supaya jemputan-jemputan itu benar-benar boleh memberi pahala kepada orang-orang yang menjemput dan kepada orang-orang yang kena jemput.


Perkara yang biasa dan menjadi adat budaya, apabila diadakan kenduri atau jamuan perkahwinan dan lain-lainnya, orang yang mengadakan kenduri tersebut menjemput para jemputan untuk merai dan memeriahkan majlis berkenaan.


Mengadakan kenduri perkahwinan itu adalah sunat hukumnya. Besar atau kecil pekerjaan kenduri kahwin itu adalah harus mengikut kemampuan masing-masing.


Bagi orang-orang yang menerima jemputan itu pula hukumnya wajib memperkenankan jemputan itu. Hukum ini berubah-ubah mengikut rupa keadaan pekerjaan kenduri kahwin itu diadakan. Ia menjadi wajib bila kenduri kahwin itu memenuhi beberapa syarat seperti berikut :


Pertama - Orang yang menjemput dan orang yang dijemput itu Islam.

Kedua - Orang yang mengadakan kenduri kahwin itu menjemput semua jemputan tak kira para jemputan terdiri daripada orang yang ternama, orang yang kaya dan orang yang miskin pada hari dan waktu yang sama.

Ketiga - Tidak wajib jika orang yang menjemput itu kafir.

Keempat - Jemputan itu hendaklah mutlak tasrifnya yakni khusus (proper invitation).

Kelima - Jemputan itu hendaklah nyata kepada siapa yang dijemput.

Misalnya dijemput "Encik Ali bin Abdullah suami isteri"

atau "Encik Ali bin Abdullah sekeluarga."

Keenam - Jemputan itu hendaklah dibuat oleh orang yang mengadakan kenduri kahwin itu sendiri dan bukan disuruh orang lain mewakili dirinya untuk menjemput para jemputan.

Ketujuh - Jika orang-orang yang menerima jemputan kenduri kahwin itu tidak dapat hadir, maka menjadi tanggungjawab mereka memaklumkan kepada orang yang menjemput seberapa segera.



Hukum jika kenduri kahwin diadakan berperingkat-peringkat :


Pertama - Jika ada pengetahuan kenduri kahwin itu diadakan pada berlainan hari dan masa; hukumnya : jemputan pada hari pertama wajib pergi, hari kedua hukumnya sunat, hari ketiga hukumnya makruh sama juga jika kenduri dibuat pada satu hari tetapi tiga waktu yang berlainan.

Kedua - Jika ada pengetahuan jemputan kenduri kahwin dibuat mengikut status orang-orang yang dijemput misalannya yang kaya dan kenamaan pada satu waktu dan yang miskin itu pada waktu yang lain hukumnya ditegah memperkenankan jemputan tersebut.


Nasihat Tok Ayah kepada cucunda-cucunda supaya tidak menghadiri kenduri kahwin yang berperingkat-peringkat itu lebih selamat dan baik dari segi hukum kerana di sana ada unsur-unsur kasta dan penghinaan.


Adalah ditegah memperkenankan jemputan kenduri kahwin yang dijemput oleh orang-orang zalim, fasik, dan orang-orang jahat yang menuntut cari tanggungan kebesaran dan kemegahan iaitu orang-orang yang mencari nama dan menunjuk-nunjuk kemegahan dan kemewahannya.


Ditegahkan juga memperkenankan jemputan perkahwinan yang dibuat secara umum dan dihadapan khalayak ramai di tempat-tempat tertentu seperti di masjid, surau, balairaya dan sebagainya. Jemputan begini adalah jemputan tidak khusus (improper invitation) misalannya "Saya akan membuat kenduri kahwin anak saya dan sebagainya. Tuan/puan adalah dijemput." Jemputan seumpana ini tidak harus diperkenankan.


Ditegah perempuan-perempuan muda yang belum berkahwin menghadiri kenduri kahwin bersendirian tanpa mahram kerana dikhuatiri bergaul dengan lelaki ajnabi yakni bukan mahram.


Ditegah menghadiri kenduri kahwin jika ada pengetahuan akan berlaku fitnah seperti kata mengata, mengumpat dan sebagainya.

Haram memperkenankan jemputan kenduri kahwin yang ada di sana temasya-temasya yang mempunyai unsur-unsur yang diharamkan Islam.

Jika diketahui kenduri yang diadakan berpunca daripada hasil yang haram, maka haram memperkenankan jemputan tersebut. Tetapi orang yang menerima jemputan itu tidak mengetahui samada hasil perbelanjaan kenduri kahwin itu haram atau halal, maka hukumnya harus memperkenankannya.


Orang-orang yang makan kenduri kahwin jika tidak dijemput secara khusus hukumnya haram.



No comments: