Saturday, November 17, 2007

ADHIYAH DAN 'AQIQAH


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM


Bermula ibadat adhiyah (qorban) itu adalah sunat muakad bagi orang yang mengerjakan rukun Haji dan juga bagi orang-orang yang lainnya. Adhiyah (qorban) itu menjadi wajib bila dinazarkan seperti katanya "Bagi Allah atasku bahawa aku perbuatkan adhiyah (qorban) ini nazar.......(nyata apa yang dinazarkan)".


Adhiyah yang wajib (nazar) tersebut itu adalah haram bagi orang yang membuat adhiyah iaitu makan semua apa-apa bahagian daripada binatang adhiyah itu.


Orang yang membuat adhiyah hendaklah mengucap pada ketika menyembelih binatang itu dengan katanya "Bismillahi, Allahumma hazihi adhiyati wataqobbal minni". Ertinya "Dengan nama Allah, Ya Allah Tuhanku inilah adhiyahku maka Engkau terimalah daripadaku", dengan qosad (tujuan) untuk mendapat keberkatan.


Masuk waktu membuat adhiyah ialah apabila naik matahari hari Nahar (10 Dzilhijjah) dan berlalu masa dua rakaat solat Aidul 'Adha dan dua khutbah yang ringan kedua-duanya. Afdal ialah selepas masa yang tersebut tadi daripada naik matahari kadar segalah dan berkekalan waktu adhiyah itu hingga jatuh matahari hari Tasyrik yang ketiga iaitu 13 Dzilhijjah. Kemudian daripada waktu yang ditetapkan itu tidak boleh lagi membuat adhiyah.


Binatang-binatang yang sah dan afdal dibuat adhiyah ialah unta, kemudian lembu dan kerbau, kemudian kibas dan kambing. Tujuh ekor kibas lebih baik daripada seekor unta. Afdal binatang untuk dibuat 'aqiqah pula ialah kibas dan kambing kerana Rasulullah S.A.W. melakukannya. Boleh juga membuat 'aqiqah dengan unta, lembu dan kerbau.

Memadai pembahagian seekor unta atau lembu atau kerbau kepada tujuh orang sama banyak, walaupun masing-masing berlainan qosadnya (tujuan) seperti diantaranya qosad untuk dimakan, dan yang lain pula untuk dijualnya.


Syarat-syarat binatang :-


Pertama : Binatang-binatang yang dijadikan adhiyah atau 'aqiqah itu ialah unta cukup umurnya lima tahun masuk kepada enam tahun. Lembu dan kerbau dan kambing umurnya dua tahun masuk kepada tiga tahun. Kibas umurnya satu tahun atau bersalin gigi, dua gigi hadapannya. Jika dua giginya bersalin, umur kibas itu dikecualikan dengan syarat giginya bersalin selepas enam bulan umurnya.


Kedua : Semua binatang yang dijadikan adhiyah atau 'aqiqah itu hendaklah tidak 'aib iaitu cacat seperti tiada bertelinga yang terpotong jika sedikit sekalipun termasuklah juga binatang yang tiada mahu makan rumput, kurus, sakit, gila dan yang serupa dengannya.


Ketiga : NIAT pada ketika sembelihnya. Jika ia mewakilkan kepada orang lain menyembelihkannya maka hendaklah ia berniat tatkala memberi wakil dengan ucapan "aku mewakilkan dikau menyembelihkan......." dan diterima oleh orang yang menyembelih dengan ucapan "aku terima......".


Keempat : Daging adhiyah atau 'aqiqah boleh disedekahkan mentah atau dimasak hanya kepada orang-orang muslim sahaja dan tidak harus disedekahkan atau dihadiahkan kepada kafir atau orang-orang murtad. Daging 'aqiqah sunat dimasakkan sebelum disedekahkan. Jangan dipatah-patahkan atau dipecah-pecahkan tulang binatang yang dibuat 'aqiqah itu.

(Disini Ayahanda menasihatkan anakanda-anakanda berhati-hati bila melapah binatang-binatang yang dijadikan 'aqiqah. Seelok-eloknya anakanda-anakanda ambillah tulang-tulang binatang itu setelah diambil daging dan isinya untuk dimakan sendiri.)


Kelima : Haram bagi orang-orang yang membuat adhiyah atau 'aqiqah menjual sesuatu daripada dagingnya atau kulitnya atau bulunya. Dan haram menjadikan sebagai pengupah kepada tukang menyembelih tetapi tiada haram jika diberikan dia atas jalan sedekah bagi menyembelihkannya dan harus dihadiahkan dia.


Keenam : Tiada sah diperbuat adhiyah bagi orang lain yang hidup jika tiada dengan izinnya. Tetapi harus bagi walinya iaitu bapa dan nenek dengan hartanya.


Ketujuh : Tiada sah diperbuat adhiyah bagi orang yang telah mati jika ia tiada berwasiat. Adapun apabila berwasiat dengannya maka sah diperbuat adhiyah baginya.


'Aqiqah hukumnya adalah sunat muakad. Afdal dibuat 'aqiqah pada hari ketujuh dari hari diperanakkan (lahir) sehingga aqil baligh. Selepas aqil baligh, gugurlah ke atas walinya membuat 'aqiqah. Sunat bagi kanak-kanak itu membuat 'aqiqahnya sendiri selepas ia aqil baligh.


Bagi anak lelaki 'aqiqahnya dua ekor kibas dan anak perempuan seekor sahaja samada jantan atau betina. Boleh juga dibuat 'aqiqah dengan seekor kambing bagi seorang budak dan seekor unta atau lembu atau kerbau untuk tujuh orang budak.
Menurut Hadith Rasulullah S.A.W. Daripada 'Ali bin Abi Talib r.a. katanya : Telah ber'aqiqah Rasulullah S.A.W daripada Hasan dengan seekor kibas.


Perkara-perkara sunat yang perlu dilakukan ketika lahir kanak-kanak :


Pertama : Azan pada telinga kanannya dan qomat pada telinga kirinya.

Kedua : Baca surah Al-Qodar (Inna anzalnahu.......) pada telinga kanannya

Ketiga : Digosokkan tamar pada lelangit kanak-kanak selepas dimamahkan tamar tersebut.

Keempat : Cukur kepalanya pada hari ketujuh dari hari kelahirannya iaitu selepas sembelihan binatang 'aqiqahnya.

Kelima : Timbangkan rambutnya yang telah dicukur itu dengan emas atau perak kemudian bersedekah dengannya. Rambutnya ditanam.

Keenam : Sunat dinamakan atau diumumkan namanya pada hari ketujuh itu iaitu pada hari 'aqiqah/cukur kepala.

Ketujuh : Sunat dinamakan kanak-kanak itu dengan nama-nama yang baik lagi elok. Tidak harus dinamakan kanak-kanak dengan nama-nama malaikat. Haram dinamakan dengan nama-nama diantaranya 'Abdul Ali, Abdul Hassan, Abdul Ka'bah, Abdul Nabi, Abil Qosim, Jarullah, Malikul Muluk' dan sebagainya. Nama-nama yang hodoh hendaklah dielakkan seperti 'Wati, Laili Wati, Zaniah, Razilah' dan sebagainya.


Wallahu A'lamu Bissawab.







No comments: