Friday, September 4, 2015

MINTA SELAMAT TATKALA MENGANDUNG


Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-A’raaf, Ayat 189 dan Ayat 190, maksudnya:

“Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan Dia (Allah) mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri),  untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya,mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan (maksudnya masih dalam peringkat permulaan, belum terasa sakitnya atau beratnya), serta teruslah ia dengan keadaan itu (kesuatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):  “Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik (maksudnya anak yang cukup sifatnya [tidak cacat] lagi layak berusaha dan beribadat dan juga maksudnya selamat bersalin), tentulah kami menjadi dari orang-orang yang bersyukur.”   Ayat 189

Kemudian ketika Allah mengurniakan kepada keduanya nikmat yang baik (sebagaimana yang mereka pohonkan), mereka berdua menjadikan sekutu bagi Allah dalam urusan wujudnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka.  Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.”  Ayat 190


Lumrahnya setiap ibu yang mengandung samada ia seorang Islam atau kafir akan berdoa agar ia mendapat anak yang sihat dan sempurna.  Kerisauan ibu yang mengandung itu akan mendorongnya untuk berdoa meminta supaya anak yang dikandungnya itu sempurna kelahirannya.    

Bagi orang kafir dan orang-orang yang serupa pemikirannya dengan kafir akan berusaha dengan berbagai macam cara untuk memastikan anak dalam kandungan mereka selamat samada melalu doktor, makan ubat-ubatan, meminta pertolongan dukun, kahin, singse, menjaga makanan, menjaga segala pantang larang tahayul-tahayul dan sebagainya.  Misalannya, suami tidak dibenarkan memburu binatang, tidak memancing ikan dan apa sahaja yang mereka sangka boleh memberi kesan buruk kepada anak dalam kandungan isteri mereka.

Sesudah ibu-ibu itu melahirkan anak yang sihat dan sempurna, maka bagi orang-orang kafir dan orang-orang yang serupa dengan mereka akan bertambah-tambah kafirnya dan sombongnya terhadap Allah Ta’ala kerana mereka menganggap bahawa kelahiran anak mereka yang sihat dan sempurna itu adalah hasil daripada usaha-usaha dan pertolongan orang-orang yang pernah mereka meminta pertolongan atau hasil daripada pemakanan yang mereka makan.

Begitu juga bagi orang-orang Islam Peranakan yang lebih banyak bergantung kepada tahayul-tahayul, juga akan berkata demikian sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang kafir tersebut, maka mereka telah menyekutukan Allah Ta’ala dengan yang lain dan tidak bersyukur di atas nikmat yang Allah Ta’ala telah kurniakan kepada mereka.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB.



Hari Juma’at
20 Dzulkaedah 1436 Hijriyah
4 September 2015


No comments: