Friday, August 21, 2015

ALQURAN PEMBELA


Daripada Abu Malik Asy’ari radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Wuduk itu separuh daripada iman.

Ucapan “Alhamdulillah” menyebabkan timbangan amalan penuh dengan pahala.

Ucapan “SubhanAllah” dan “Alhamdulillah” menyebabkan  ruang antara langit dan bumi penuh dengan pahala.

Solat ialah nur.

Sedekah ialah bukti,

dan sabar ialah cahaya,

dan AlQuran ialah pembela kamu ataupun pendakwa bagi kamu (yakni sekiranya kamu membacanya dan beramal dengannya maka AlQuran itu akan menjadi sebab keselamatan untuk kamu dan sekiranya tidak, maka AlQuran itu akan menjadi sebab azab untuk kamu.)”  (Muslim)


Keterangan:

Hadis ini menyatakan bahawa wuduk ialah separuh daripada iman kerana iman merangkumi pembersihan batin dan pembersihan zahir.  Yakin membersihkan batin daripada kekotoran kufur dan syirik daripada hati manakala wuduk pula membersihkan anggota daripada kekotoran hadas dan najis.  Salah satu maksud daripada kenyataan bahawa solat itu nur ialah solat mencegah daripada perbuatan dosa dan keji sebagaimana cahaya menjauhkan kegelapan. 

Maksud yang lain ialah pada hari kiamat wajah orang bersolat akan bercahaya dan demikian juga di dunia ini wajah orang yang bersolat kelihatan segar dan ceria.

Maksud ketiga ialah solat akan menjadi nur menerangi kegelapan kubur dan hari kiamat.

Maksud daripada kenyataan bahawa sedekah merupakan bukti ialah harta biasanya sangat dikasihi oleh manusia, apabila seseorang itu sanggup membelanjakan hartanya di jalan ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA dan memberi sedekah, maka perbuatannya memberi sedekah itu menjadi tanda dan bukti  tentang kebenaran imannya kepada ALLAH TA’ALA.

Maksud daripada kenyataan bahawa sabar itu cahaya ialah seseorang yang bersabar iaitu seseorang yang rela menanggung kesusahan mentaati perintah ALLAH TA’ALA dan rela menanggung kesusahan meninggalkan larangan ALLAH TA’ALA serta rela menanggung kesusahan-kesusahan yang lain, maka dia ialah seorang yang memiliki cahaya hidayah dalam hatinya.  (Nawawi: Mirqat)


  
Hari Juma’at
6 Dzulkaedah 1436 Hijriyah
21 Ogos 2015


No comments: