Friday, November 29, 2013

SEKALI AIR BAH SEKALI PASIR BERUBAH


JOHOR KEMBALI KEPADA JUMA’AT

Negeri Johor Darul Takzim mengisytiharkan hari Juma’at dan hari Sabtu menggantikan hari Sabtu dan hari Ahad sebagai hari cuti hujung minggu agar rakyat Islam dapat mengerjakan solat Juma’at dengan selesa dan beribadat kepada ALLAH TA’ALA dalam keadaan tenang, bermula dari 1 Januari 2014.

Negeri Johor, telah menjadikan hari Juma’at sebagai hari cuti mingguan sejak sebelum Tanah Melayu mendapat kemerdekaan sehingga tahun 1994 apabila pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad mengubahnya kepada hari Ahad.


WAKTU MASUK SEKOLAH DAN PEJABAT

Di samping hari Juma’at dijadikan hari cuti mingguan, orang-orang Islam di Malaysia khususnya harus juga memikirkan waktu jam yang diubah pada 1 Januari 1982, dalam masa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia, telah dipercepatkan 30 minit lebih awal daripada waktu jam yang pernah diguna semenjak sebelum dan selepas Merdeka itu, dapat diubah kembali kepada waktu jam yang asal.

Perkara tersebut adalah perlu bagi umat Islam kerana waktu jam itu telah diawalkan 30 minit, sedangkan waktu sekolah dan pentadbiran Kerajaan tidak pula diubah supaya sesuai dengan perubahan itu.

Dengan perubahan waktu jam yang ada sekarang ini dan masa masuk sekolah dan waktu pejabat Kerajaan, maka mahu tidak mahu terdapat murid-murid, guru-guru dan pekerja-pekerja awam yang tinggal jauh dari sekolah dan pejabat terpaksa bergegas  mengejar masa sehingga ada yang berkemungkinan tidak sempat menunaikan kewajiban Solat Subuh terutamanya penduduk di Semenanjung Tanah Melayu.


WAKTU BEKERJA BERPERINGKAT
(Waktu Peringkat [WP])

Mulai pada 1 Mei 1998, sistem Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) dilaksanakan.  Didapati sistem WBB, walaupun memberi kelegaan masa pada pekerja-pekerja awam, terdapat juga kesuntukan waktu pada masa yang sama, sepertimana dapat dilihat daripada waktu-waktu pejabat dalam jadual-jadual berikut :

                  Hari                  Waktu Bekerja      Waktu Rehat         Waktu Bekerja

WP1     Isnin - Khamis   7.30 pg – 1.00 ptg      1.00 ptg - 2.00 ptg    2.00 ptg - 4.30 ptg
              Jumaat                7.30 pg – 12.15 tgh  12.15 tgh - 2.45 ptg    2.45 ptg - 4.30 ptg

WP2     Isnin – Khamis  8.00 pg – 1.00 ptg      1.00 ptg - 2.00 ptg     2.00 ptg - 5.00 ptg
              Jumaat               8.00 pg – 12.15 tgh   12.15 tgh - 2.45 ptg     2.45 ptg - 5.00 ptg

WP3     Isnin – Khamis  8.30 pg –  1.00 ptg     1.00 ptg - 2.00 ptg     2.00 ptg - 5.30 ptg
              Jumaat               8.30 pg – 12.15 tgh   12.15 tgh - 2.45 ptg     2.45 ptg - 5.30 ptg
  

WAKTU SEKOLAH

Sekarang waktu sekolah bagi sesi pagi ialah:

Isnin – Rabu           7.40 pagi   -    1.00  petang
Khamis                   7.40 pagi   -    1.30  petang
Juma’at                   7.40 pagi   -  12.30 petang
  
Apabila diperhatikan jadual waktu bekerja dan jadual waktu sekolah rendah sesi pagi, terdapat tidak ada keseragaman waktu-waktu tersebut.

Oleh kerana waktu-waktu tersebut tidak seragam, maka kecekapan perkhidmatan dalam semua bidang profesion yang berkaitan dengannya menjadi kurang cemerlang dan membuat kepayahan kepada mereka yang berkaitan dalam perkhidmatan.

Berdasarkan jadual masuk bekerja dan jadual masuk sekolah yang telah ditetapkan seperti di atas, maka persoalannya dapatkah rakyat beragama Islam di Semenanjung Malaysia ini, menunaikan Solat Subuh dalam keadaan yang khusyu’ dan selesa tanpa memikirkan atau merasa gusar mengejarkan waktu untuk ke pejabat atau ke sekolah.

Sama-samalah kita renungkan.

  
Hari Juma’at
25 Muharram 1435 Hijriyah
29 November 2013 



No comments: