Friday, October 18, 2013

MENGHARAMKAN TUNAI HAJI SELAMA 10 TAHUN



15 RIBU ORANG BAKAL HAJI DITAHAN

Orang-orang Islam datang ke Baitullah AlHaram, dari jauh dan dekat kerana menyambut seruan Allah Subhanahu Wa Ta’ala bagi menunaikan Fardhu Haji yang diwajibkan ke atas orang-orang berkuasa dan berkemampuan, sekali dalam hayat mereka.

Mereka itu datang dengan berjalan kaki atau berkenderaan secara senang dan susah payah semata-semata kerana Allah Ta’ala.

Mereka itu tidak membawa sebarang senjata yang berbahaya dan membahayakan orang ramai atau kerajaan dan bakal-bakal Haji lelaki pula memakai pakaian Ihram yakni pakaian yang tidak berjahit dan tidak berseluar.  Lebih-lebih lagi ibadat Haji adalah di dalam bulan DzilHijjah, salah satu dari empat bulan haram yakni bulan-bulan pengharaman peperangan.

Terdapat berita yang disiarkan oleh akhbar di Jeddah pada 10hb September 2013, menyatakan bahawa terdapat seramai 15,000 orang bakal-bakal Haji dari luar dan dalam negeri  (domestik) bagi tahun 1434 Hijriyah/2013 Masihi, tidak mempunyai permit Haji dan telah ditahan Kerajaan Wahhabi Arab Saudi. 

Bakal-bakal Haji yang ditahan itu telah sampai dan telah pun berada di Makkah AlMukarramah dan sudah bersiap sedia untuk berwuquf di Arafah pada hari Selasa, 9 DzilHijjah 1434 Hijriyah/14 Oktober 2013.

Kerajaan Wahhabi Arab Saudi telah menahan bakal-bakal Haji tersebut daripada mengerjakan ibadat Haji tahun ini dan mengharamkan mereka daripada menunaikan Fardhu Haji selama tempoh 10 tahun akan datang, yakni 10 kali musim Haji, berkuatkuasa mulai dari tarikh mereka ditahan dan diusir keluar dari Tanah Haram oleh Kerajaan Wahhabi Arab Saudi.

10 tahun pada hakikatnya adalah suatu masa yang tidak seorang pun manusia yang boleh menentukan hayat masing-masing samada masih bernyawa lagi dalam tempoh masa tersebut, kerana belum tentu seseorang itu masih dapat menarik nafasnya sesaat kemudian, mahupun keesokan harinya. 

Kerajaan Wahhabi Arab Saudi telah mengadakan berbagai-bagai alasan yang mewajarkan dan membolehkan kerajaannya mengambil tindakan menahan dan menghukum bakal-bakal Haji tersebut dengan cara begitu.   

Antara alasan-alasan yang diambilnya ialah bagi menjaga keselamatan jema’ah Haji dan lain-lain lagi untuk menyakinkan mata dunia yang sekongkol dengannya.

Hakikatnya, Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Pelindung.



Hari Jumaat
13 DzilHijjah 1434 Hijriyah
18 Oktober 2013


No comments: