Friday, July 12, 2013

JAGA ADAB MENGAJI AL-QURAN AL-KARIIM



TADIKA CINA

Bagi ibu bapa yang menghantar atau yang pernah menghantar anak-anak mereka ke TADIKA Cina, mereka tahu bahawa di sana anak-anak mereka diajar bahasa Cina melalui nyanyian yang diikuti dengan muzik atau lakonan atau mengikut rentak bunyian “ketuk-ketuk” di atas alat-alat ketuk tertentu. 

Kanak-kanak ini akan menyebut perkataan-perkataan yang disusun mengikut rentak muzik atau rentak bunyian “ketuk-ketuk” itu.

Kanak-kanak ini juga bergerak menggaya dengan tangan, bertepuk-tepuk sambil menggoyang-goyangkan tangan, kaki dan badan mereka.   Dikatakan bahawa tujuan membuat sedemikian rupa ialah supaya kanak-kanak tersebut menjadi cergas dan minat untuk belajar.


BELAJAR BACA MELALUI “KETUK-KETUK”

Kebelakangan ini terdapat kaedah-kaedah sesetengah orang yang mengajar bacaan Al-Quran Al-Kariim yang disiarkan melalui saluran-saluran televisyen, yang dibawa oleh guru-guru lelaki atau perempuan adalah  tidak jauh bezanya dengan cara mendidik dan mengajar di TADIKA-TADIKA Cina, Inggeris atau lain-lain bangsa bukan Islam. 

Di samping mengajar Al-Quran Al-Kariim, guru-guru akan bercakap serta membuat gurau-gurauan dengan membawa cerita-cerita.  Ianya dilakukan semasa Mus-haf Al-Quran Al-Kariim sedang terbuka padahal cerita-cerita atau perbuatan tersebut boleh dibuat di luar masa mengaji Al-Quran Al-Kariim.

Jika kanak-kanak di TADIKA Cina, Inggeris dan lain-lain bangsa bukan Islam mengadakan muzik  dan alat “ketuk-ketuk” untuk dijadikan rentak bagi kanak-kanak tersebut menyebut perkataan yang diajar, maka sekarang ini terdapat suatu kaedah yang diketengahkan oleh segolongan guru-guru yang mengajar Al-Quran Al-Kariim menggunakan rentak bunyi “ketuk-ketuk”. Ianya diatur dan disusun supaya kanak-kanak belajar dan menyebut Kalimah-kalimah atau Huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim  selari dengan bunyi “ketuk-ketuk” itu. 

Adalah dilihat disini, kelas-kelas belajar Al-Quran Al-Kariim seolah-olah kelas-kelas  muzik, kelas lakonan lawak atau kelas-kelas bercerita di hadapan Al-Quran Al-Kariim yang mulia, walaupun cerita-cerita itu mungkin ada kaitan dengan kisah-kisah benar dalam sejarah Islam.

Jika kaedah dan cara mengajar  Al-Quran Al-Kariim itu sudah dimulakan orang dengan bercerita atau menggunakan alat “ketuk-ketuk”, maka tidak mustahil pada suatu masa nanti, ada guru-guru yang terpedaya dengan hasutan syaitan, melihat baik dan berkesan dengan menggunakan alat-alat “key-board”, piano, gitar, dan lain-lain alat muzik yang dibunyikan untuk kanak-kanak mengikuti rentaknya bila menyebut huruf-huruf atau makhraj atau idh-gham atau ikhfaa’ atau mad dan lain-lain hukum-hukum Tajwid.

Perbuatan-perbuatan seumpama itu adalah jelas menunjukkan bahawa guru-guru tersebut telah diperdaya dan ditipu syaitan melakukan perbuatan-perbuatan yang hodoh dan biadap serta tidak sopan terhadap Kalimah-kalimah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tidak menghormati kesucian Al-Quran Al-Kariim yang mulia itu.

Perubahan kaedah dan cara belajar bukanlah tidak boleh dilakukan, akan tetapi apa-apa perubahan kaedah dan cara mengajar Al-Quran Al-Kariim hendaklah sesuai dan sejajar dengan kaedah-kaedah yang dibawa dan diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, para sahabat-sahabat Baginda radhiallahu ‘anhum dan para-para ’Ulamaa’ yang mu’tabar.


BELAJAR MENGAJI

Bila disebut “belajar mengaji”, kebanyakkan orang-orang Melayu khususnya di Tanah Melayu ini faham bahawa kanak-kanak atau orang dewasa mengikuti pelajaran membaca Al-Quran Al-Kariim di masjid, surau atau dengan orang-orang perseorangan di rumah masing-masing.

Cara mengajar Al-Quran Al-Kariim itu mengikut kebolehan kanak-kanak yang  membacanya dan mereka ditempatkan dalam satu ruang atau tempat yang sama walaupun mereka itu berbeza umur atau berbeza bacaan surahnya.

Mana-mana kanak-kanak yang cepat membaca Al-Quran Al-Kariim dengan lancar, mereka akan diubah bacaannya ke surah yang baru.  Adapun bagi kanak-kanak yang kurang lancar bacaannya, mereka  akan diubah ke surah yang baru selepas mereka benar-benar lancar dan fasih bacaan mereka.

Cara atau kaedah tersebut adalah sesuai dengan fitrah dan tabi’e pertumbuhan minda dan fizikal manusia yang ditakdirkan Allah Ta’ala Yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana ke atas hambaNya mengikut kemampuan masing-masing.

Guru-guru Al-Quran itu pula senantiasa menjaga akhlak dan adab-adab ketika sedang mengajar atau mengadap Al-Quran Al-Kariim bagi menghormati Kalimah-kalimah Allah Tuhan Yang Maha Agong dan Maha Tinggi, Tuhan sekalian ‘alam (jinn dan manusia).


MENJAGA KEMULIAAN AL-QURAN AL-KARIIM


BERSIH SUCI

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 77 hingga Ayat 80, maksudnya:

“Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),”  Ayat 77

“Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,”  Ayat 78

“Yang tidak disentuh melainkan oleh  makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;”  Ayat 79

“Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.”  Ayat 80


MEMOHON PERLINDUNGAN KEPADA ALLAH

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nahl, Ayat 98, maksudnya:

“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam.”  Ayat 98


BACAAN AL-QURAN DENGAN TARTIIL

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Furqaan, Ayat 32, maksudnya:

“Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad - semuanya sekali (dengan sekali gus)?”  Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami (Allah) hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami (Allah) nyatakan bacaannya kepadamu dengan “Tartiil” (yakni dengan bacaan yang sempurna dan lengkap menurut hukum Tajwid).”  Ayat 32

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Muzzammil, Ayat 4, maksudnya:

“Dan bacalah Al-Quran dengan “Tartiil”.  Ayat 4


MEMAHAMI AL-QURAN DENGAN TELITI

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Saad, Ayat 29, maksudnya:

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami (Allah) turunkan kepadamu (dan umatmu, wahai Muhammad), - Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfa’atnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil i’tibar.”  Ayat 29


MENGGANGGU DENGAN NYANYIAN DAN TEPUK SORAK

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Fussilat, Ayat 26, maksudnya:

“Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya).”  Ayat 26


Wallahu A’lamu Bissawaab.



Hari Jumaat
3 Ramadhan 1434 Hijriyah
12 Julai 2013

No comments: