Friday, July 19, 2013

BERMAIN DADU ATAS HURUF AL-QURAN AL-KARIIM



Pada masa akhir zaman ini, terdapat berbagai-bagai cara atau kaedah-kaedah mengajar mengaji Al-Quran Al-Kariim direka orang.

Salah satu daripada cara atau kaedah yang diajar ialah belajar sambil bermain-main dengan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim yang mulia.

Satu cara yang pernah ditayangkan ialah kanak-kanak melambung buah dadu yang menyerupai sejenis alat mainan judi, ke atas kepingan-kepingan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim.

Permainan ini dimulakan dengan guru membahagikan kanak-kanak itu kepada dua kumpulan iaitu kumpulan “A” kanak-kanak lelaki dan kumpulan “B” pula kanak-kanak perempuan.

Guru akan menentukan kumpulan mana yang terlebih dahulu melambung buah dadu dan seterusnya permainan itu dimainkan secara bergilir-gilir.

Guru akan meminta salah seorang daripada kanak-kanak tersebut melambung buah dadu di atas susunan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim yang telah diatur di atas lantai kemudian meletakkan tanda atau sekeping bulatan kecil di atas huruf Al-Quran Al-Kariim mengikut kiraan nombor buah dadu tersebut ala permainan “snake and ladder”.

Kanak-kanak itu akan memberitahu apa huruf Al-Quran tersebut dan kumpulannya akan menyebut huruf Al-Quran itu sambil bertepuk tangan.

Begitulah seterusnya, dan jika huruf Al-Quran Al-Kariim itu berada ditengah susunan tersebut, maka kanak-kanak tersebut terpaksa merangkak di atas susunan-susunan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim itu untuk mengambil buah dadu atau meletakkan tanda atau kepingan bulatan kecil tersebut.

Sayugia diingatkan bahawa semua huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim mengandungi  maknanya sendiri, tidak ada sesiapapun yang mengetahuinya hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala. 

Sebagai contoh, pada awal Surah Al-Baqarah, dimulakan dengan huruf “Alif” huruf “Laam” dan huruf “Miim” dan begitu juga lain-lain Surah tertentu yang dimulakan dengan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim yang mulia.

Justeru itu, walaupun ianya terletak bukan di dalam mus-haf, namun huruf-huruf itu adalah sebahagian daripada Al-Quran Al-Kariim yang harus dijaga, dimulia dan dihormati setiap masa dan di mana sahaja.

Allah Ta’ala berfirman bahawa orang-orang kafir menjadikan perkara-perkara Agama sebagai hiburan dan mainan, sepertimana firmanNya dalam Surah Al-A’raaf, Ayat 51, maksudnya:

“(Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terperdaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).” Ayat 51



Hari Juma’at
10 Ramadhan 1434 Hijriyah
19 Julai 2013

No comments: