Friday, June 28, 2013

BAHAYA PEMERINTAH YANG ZALIM DAN HILANG BERKAT



Kata Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik:

“Sesungguhnya rakyat akan binasa dengan binasanya pemerintah dan mereka akan baik dengan baiknya pemerintah.”

Kata Wahab bin Munabah:

“Apabila seseorang pemerintah bercita-cita dengan kezaliman (yakni tidak menjalankan hukum-hukum Allah) atau mengerjakan sesuatu dengan kezaliman (yang tidak berperikemanusiaan), maka Allah akan memasukkan kekurangan pada ahli (rakyat) negeri di bawah pemerintahannya, pada pekannya (pasarnya), pada tanamannya (pertaniannya), pada perniagaannya dan pada lain-lainnya.

Dan apabila pemerintah bercita-cita dengan kebajikan dan keadilan (yakni melaksanakan hukum-hukum Allah) atau gemarkannya, maka dimasukkan berkat pada semua rakyat negeri di bawah pemerintahannya segala yang tersebut itu."


PERAHAN SUSU SEEKOR LEMBU BERSAMAAN 30 EKOR LEMBU

Kata setengah ahli sejarah, salah seorang pemerintah telah keluar berjalan-jalan dalam wilayah pemerintahannya dengan cara sulit.  Beliau turun menemui seorang lelaki yang memiliki seekor lembu susu, diperahi susu sehabisnya dan mendapat susu seperti sebanyak tiga puluh ekor lembu yang lain.

Pemerintah itu merasa hairan dengan keadaan yang demikian dan bercita-cita hendak mengambil lembu itu.  Maka pemerintah itu datang pagi-pagi lagi lalu diperahkan baginya tetapi hasil perahan susunya separuh sahaja dari hari sebelumnya, maka bertanyalah pemerintah itu kepada lelaki tersebut:

Pemerintah bertanya: “Apa hal telah berlaku pada perahanmu kali ini dari perahan pada hari terdahulu.  Adakah kamu telah memeliharanya bukan pada tempatnya yang dahulu?”

Lelaki itu menjawab: “Tidak! Tetapi aku mengagak bahawasanya pemerintah kami bercita-cita dengan kezaliman, maka jadi kurang susunya.  Maka apabila pemerintah itu zalim atau bercita-cita dengan kezaliman, hilanglah berkatnya.”

Setelah mendengar jawaban lelaki tersebut, maka pemerintah itu pun bertaubat dan hatinya berjanji pada Tuhan yang dia tidak akan mengambil lembu lelaki tersebut.

Kemudian pemerintah itu pergi pula ke tempat lelaki tersebut pada pagi-pagi lagi, maka didapatinya hasil perahan seperti kebiasaannya (yakni sebanyak perahan tiga puluh ekor lembu).


SEPOKOK TAMAR BERBUAH 24 GANTANG

Menurut hikayat daripada Saidi Abu Bakr Al-Tartusi dalam kitab Sirajul Muluk, katanya, telah diceritakan kepadanya daripada kalangan Sheikh orang-orang yang terdahulu bahawa pada negeri Sa’idi di Mesir, ada sebatang pokok tamar berbuah hingga sepuluh ardab (satu ardab menyamai 24 gantang) buah tamar. 

Pada zaman itu tiada mana-mana pohon tamar yang berbuah separuh daripada yang tersebut itu, lalu sultan merampasnya, maka pada tahun itu pokok tamar tersebut tidak berbuah walaupun sebiji tamar.

Diambil daripada Kitab MuniatulMusalli oleh Syeikh Daud ‘Abdullah Al-Fatani.



Hari Juma’at
19 Sya’aban 1434 Hijriyah
28 Jun 2013


No comments: