Friday, June 21, 2013

ANAK DAN MENANTU



Dalam pemerhatian secara peribadi ke atas pergaulan kebanyakan anak-anak lelaki yang mempunyai isteri dan anak-anak perempuan yang bersuami dalam kalangan  masyarakat Melayu di Tanah Melayu ini, pemerhatian ini tidak dipengaruhi dan tidak berdasarkan cerita-cerita dongeng dahulu kala atau mitos masyarakat Melayu.

Di antara kes-kes yang diperhatikan, terdapat dua kes yang ketara dan boleh dikongsikan, yakni

  •  Kelihatan anak lelaki setelah berkahwin, biasanya kasih sayangnya lebih kepada isteri dan anak-anaknya daripada kasih dan sayangnya terhadap kedua ibu bapanya atau ibunya atau bapanya sendiri.
  •  Kelihatan juga di antara anak-anak perempuan yang sudah berkahwin lebih menitikberat keluarganya iaitu ibu bapanya atau bapanya atau ibunya sendiri daripada ibu bapa suaminya atau ibu suaminya atau bapa suaminya yakni mertuanya.


Sungguhpun perasaan kasih sayang tidak dapat diukur dengan sebarang alatan skala, namun begitu perkara tersebut tidak mustahil dapat dilihat dan diukur melalui pemerhatian terhadap budi pekerti, kekerapan masa anak-anak lelaki serta isteri-isteri mereka  mengunjungi dan menziarahi ibu bapa mereka atau ibu mereka atau bapa mereka dan tempoh masa tinggal bersama-sama dalam jangka hayat masing-masing yang masih ada.  

Lazimnya berlaku, sesetengah anak-anak lelaki balik menziarahi ibu bapanya atau ibunya atau bapanya, 1 atau 2 hari pada Hari Raya ‘AidulFitri yakni berjumlah 2 hari atau singgah sebentar dalam tempoh 365 hari setahun atau pada masa ibu bapanya atau ibunya atau bapanya jatuh sakit atau pada hari kematian dan ada juga yang tidak pernah balik langsung. 

Perkara begini terjadi kerana berkemungkinan mereka menganggap bahawa ibu bapa mereka atau ibu mereka atau bapa mereka hidup masih lama lagi dan mereka boleh balik berjumpa ibu bapa mereka atau ibu mereka atau bapa mereka pada bila-bila masa sahaja.

Mereka lalai dan terlupa bahawa nafas yang keluar masuk setiap saat  boleh berhenti pada bila-bila masa yang tidak ada makhluk jinn atau manusia, yang dapat mengetahui saat terhentinya nafas itu.


ISTERI TIDAK SUKA IBU MERTUA

Sungguhpun begitu, ada sebilangan kecil di antara ibu bapa pihak lelaki atau ibu  pihak lelaki yang tidak sukakan menantunya atas sebab-sebab tertentu.  Selain daripada itu, ada di antara menantu perempuan yang tidak dapat ikut rentak dan cara ibu mertuanya.

Terdapat juga sesetengah menantu perempuan yang berkarier “career women” yang egosentrik yang senantiasa merasa dirinya lebih daripada mereka yang sekelilingnya, merasakan perlu ibu mertuanya dan orang sekeliling keluarga suaminya memberi perhatian yang lebih kepadanya.

Maka, inilah di antara alasan-alasan yang menyebabkan menantu perempuan yang mendorongkan suaminya agar tidak balik atau jarang-jarang balik menziarahi ibu bapa suaminya atau ibu suaminya atau bapa suaminya.


RENGGANG DENGAN KELUARGA LELAKI

Justeru itu, terdapat ramai anak-anak lelaki yang tidak membawa anak-anak mereka  berjumpa dan mengenali keluarga mereka dengan lebih dekat lagi, yang ada hubungan silaturrahiim dengan mereka serta anak-anak saudara mereka, yakni pupu poyang anak-anak mereka.

Anak lelaki itu sendiri lebih rapat dengan ipar-iparnya serta biras-birasnya dan lebih mesra dan mengenali anak-anak saudara isterinya berbanding dengan keluarganya sendiri, sedangkan keluarga isterinya itu hanyalah keluarga semenda kepadanya sahaja.

Bermula dari sini, maka ramai di antara keluarga anak-anak lelaki menjadi renggang ikatan kekeluargaan silaturrahiim mereka yakni dengan keluarga anak-anak lelaki tersebut iaitu ibu bapa mereka atau ibu mereka atau bapa mereka serta saudara-saudara seibu sebapa mereka sendiri.

Sayugia diingatkan bahawa adalah menjadi kewajiban dan tanggungan setiap anak lelaki untuk berbakti dan berkhidmat kepada kedua ibu bapanya atau ibunya atau bapanya lebih daripada segala-galanya selagi kedua ibu bapanya atau ibunya atau bapanya masih hidup.

Dalam Hadis, Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Baginda bersabda:

“Sangat hina, sangat hina dan sangat hina, orang yang sempat bertemu dengan salah seorang atau kedua orang tuanya di saat mereka telah tua, namun ia tidak masuk Syurga (kerana tidak berbakti kepada mereka).”  Muslim.


Wallahu a’lamu bissawaab.



Hari Jumaat
12 Sya’aban 1434 Hijriyah
21 Jun 2013

No comments: