Friday, January 18, 2013

HARIMAU JADIAN


 

BUKAN ORANGNYA

Pernah dengar orang menyebut perkataan “harimau jadian”.  Harimau jadian yang dimaksudkan ialah gelaran yang diberi kepada manusia yang bertukar rupa dan sifat menjadi harimau.

Kisah harimau jadian itu bukan daripada cerita-cerita lagenda.  Ia terdiri daripada cerita-cerita khayalan dan dongeng semata-mata.

Namun begitu, cerita harimau jadian itu boleh dijadikan iktibar sepanjang zaman kepada sesetengah orang-orang Melayu yang mana sesetengahnya mudah terpesona dengan cerita-cerita serupa itu sehingga mereka percaya dan yakin.

Cerita harimau jadian itu pernah dijadikan filem dan ditayangkan kepada umum.

Jika diikuti cerita harimau jadian itu, maka didapati bahawa manusia yang menjadi harimau itu berlaku sekali sekala atau bermusim; dan di masa yang lain ia adalah manusia biasa.

Cerita harimau jadian itu bolehlah dibuat kiasan bagi orang-orang yang kurang ilmu pengetahuan atau bukan ahli dalam satu-satu profesion.  Mereka ini menggaya dan berlagak melakukan kerja-kerja orang-orang yang berpengetahuan dalam satu-satu profesion hanya mengikut masa-masa atau musim-musim tertentu sahaja.

Sebagai contoh:

Orang-orang yang tidak pernah memegang jawatan imam, yang hanya mendapat pengetahuan melalui ujian-ujian yang telah diatur dan disusun tajuk-tajuk dan topiknya untuk dibuat kajian “research” awal oleh pihak-pihak tertentu dalam  pertandingan mencari “Imam”, apabila mereka berjaya melalui ujian-ujian tersebut, mereka diberi gelaran IMAM.


IMAM DAN USTAZAH KOMERSIAL

Sekarang ini, terdapat orang-orang yang diberi gelaran  “Imam” itu bukan terdiri daripada kalangan Imam-imam Solat atau orang-orang yang menjadi ikutan ramai kerana ilmu Agama Islam yang ada padanya serta tekun dan warak mengerjakan amal-amal soleh.  

Taraf kedudukan mereka yang diberi gelaran “Imam” itu, jika dibandingkan dari segi ilmu, iman, warak dan taqwa dengan Imam-imam Muktabar seperti Imam Asy-Syafi’I, Imam Maliki, Imam Ahmad dan Imam Hambali rahimallahu ‘anhum, jauh berbeza dan tempat mereka amat rendah sekali.

Ringkasnya mereka itu sebenarnya bukanlah Imam dan tidak layak mereka itu diberi gelaran “Imam” yang mana gelaran itu boleh mengelirukan orang ramai akan maksudnya.

Semoga perkataan “Imam” dan lain-lain perkataan khusus yang digunapakai untuk tujuan keagamaan dalam Islam tidak dipermain-mainkan bagi tujuan komersial atau menggunakannya atas agenda-agenda tertentu.

Ada banyak lagi cerita-cerita “jadian” ini seperti seseorang yang bukan doktor  menyamar sebagai seorang doktor merawat pesakit-pesakit. 

Orang-orang yang bukan ustaz atau ustazah diberi gelaran ustaz dan ustazah sedangkan mereka itu tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan Agama Islam yang  mendalam dan pembawaan soleh dan solehah yang membolehkan mereka digelar ustaz dan ustazah.

Imam-imam jadian dan ustazah-ustazah jadian adalah gelaran dan kejadian bermusim.  Apabila habis musim jadian, maka mereka kembali kepada  gaya hidup mereka yang asal iaitu bukan imam dan bukan ustazah.

Begitulah juga yang berlaku kepada harimau jadian.


Hari Jumaat
6 Rabi’ulawwal 1434 Hijriyah
18 Januari 2013

No comments: