Friday, December 28, 2012

AKHLAK KETIKA MAKAN



MUSLIM’S TABLE ETIQUETTE


MAKAN SAMBIL BERAK ATAU KENCING

Manusia dan haiwan memerlukan makanan dan minuman untuk hidup.   Walaupun makanan dan minuman bagi manusia dan haiwan berbeza,  namun cara makan dan minum manusia kafir sama seperti binatang, sebagaimana tersebut dalam firman Allah Ta’ala, dalam Surah Muhammad, Ayat 12, maksudnya:

“Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan (di dunia) serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedangkan nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.”  Ayat 12

“While those who disbelieve enjoy themselves and eat as cattle eat; and the Fire will be their abode.”  (V47: 12)

Kerana orang-orang kafir dan orang-orang yang serupa dengan mereka mendapat nikmat di dunia sahaja.  Mereka makan dan minum sesuka hati,  tidak kira di mana tempat.

Mereka makan dan minum sambil berdiri, bersandar atau berbaring, atau sambil berak atau kencing.


DILARANG MAKAN DENGAN TANGAN MERAYAU-RAYAU

Orang-orang kafir juga makan dengan tangannya merayau-rayau atau menjangkau-jangkau dan merebut-rebut memilih lauk atau makanan yang mereka suka tanpa mengambil peduli hak-hak orang lain. 

Perbuatan seumpama itu adalah dilarang bagi orang-orang mukmin kecuali mereka makan buah-buahan yang mana mereka boleh memilih mana-mana buah-buahan yang mereka suka, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Isa At-Tirmidzi:

“Daripada ‘Ikrasy bin Dzuaib katanya: “Mengutus akan daku Banu Murrah bin Ubaid dengan sedekah-sedekah harta mereka itu kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka datang aku atasnya (Baginda) di Madinah, maka aku dapati Baginda duduk antara Muhajirin dan Ansar.  Kata ‘Ikrasy (lagi): “Kemudian memegang Baginda dengan tanganku maka pergi Baginda denganku  ke rumah Umm Salmah, maka sabda Baginda:  “Adakah daripada makanan?  Maka didatangkan kami dengan satu pasu yang banyak roti berkuah dan kerat-kerat daging, dan berhadap kami makan daripadanya, maka aku gasak ambil dengan tanganku daripada segenap penjurunya dan makan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam daripada antara dua tangannya, maka memegang Baginda dengan tangan Baginda yang kiri atas tanganku yang kanan, kemudian Baginda bersabda:  “Hai, ‘Ikrasy! Makan daripada tempat satu, maka bahawasanya makanan satu. 

Kemudian didatangkan kami dengan talam dalamnya macam-macam rupa ratab (tamar masak) atau daripada macam-macam warna ratab. 

‘Ikrasy berkata:  “Maka selepas itu, jadi aku makan daripada hadapanku, dan (sedangkan) merayau tangan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam talam, sabdanya:  “Hai, ‘Ikrasy! Makanlah daripada mana engkau suka maka bahawasanya tidak warna satu (banyak warna buah, ada  yang masak dan yang belum masak), kemudian didatangkan kami dengan air, maka membasuh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan tangannya dan disapunya basah tangannya mukanya dan lengannya dan kepalanya dan sabdanya:  “Hai, ‘Ikrasy! Ini wudhu’ daripada barang yang diubah (disentuh) api.”  Gharib.


SYAITAN MAKAN DAN MINUM DENGAN TANGAN KIRI

Orang-orang kafir dan orang-orang yang serupa dengan mereka tidak mengambil kira sama ada mereka menggunakan tangan kanan atau tangan kiri untuk menyuap makanan atau minuman ke mulut. 

Bagi orang-orang mukmin perlakuan seumpama itu dilarang dan dipandang keji jika mereka mengguna tangan kiri untuk makan dan minum kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kiri.

Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud:

“Dari Ibnu ‘Umar r.a. katanya:  “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Jika seseorang di antara kamu sedang makan, maka hendaknya dia makan dengan tangan kanannya.  Jika minum maka hendaknya juga dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.”  Sahih Muslim.


AMBIL MAKANAN YANG DEKAT

Orang-orang mukmin mempunyai akhlak yang mulia;  apabila mereka makan berjemaah mereka akan mengambil makanan yang ada dekat dengan mereka terlebih dahulu dan dari bawah jika pinggan itu besar, walaupun makanan yang digemarinya berada di hadapan orang lain.

Mereka juga tidak makan secara bersandar atau berbaring di atas rusuk kanan atau rusuk kiri semasa mereka makan dan minum, sebagaimana tersebut dalam sebuah Hadis berikut:

“Dari ‘Umar bin Abu Salamah, katanya: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, bersabda:  “Wahai anakku!  Mendekatlah kemari, sebutlah  nama Allah dan makanlah dengan menggunakan tangan kananmu serta makanlah makanan yang ada di dekatmu.”  Sahih: Muttafaq ‘Alaih.
  
“Dari Ibnu Abbas, katanya:  “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:  “Jika seseorang di antara kamu makan, maka jangan mengambil makanan dari bahagian atas (tengah) piring besar, tapi ambillah dari bahagian bawahnya (tepi dalam piring) , kerana berkat itu turun dari  bahagian atasnya.”  Sahih.
  
“Dari Juhaifah, katanya:  “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:  “Aku tidak makan dengan cara bersandar (belakang atau atas rusuk kanan atau atas rusuk kiri).”  Sahih: Bukhari. 



Hari Jumaat
14 Safar 1434 Hijriyah
28 Disember 2012



No comments: