Friday, November 16, 2012

BUAH LABU




(CUCURBITA PEPO)

Buah labu dikenali dan disukai ramai.  Buah labu tidak boleh dimakan mentah seperti ulam-ulaman, salad dan sebagainya.

Buah labu isinya lembut bila dimasak dan terdapat banyak buku-buku resipi masakan labu di jual di kedai-kedai buku dan majalah.

Di antara masakan orang Melayu di Malaysia ini ialah labu masak lemak cili api, masak lemak putih campur bayam dan dibuat kuih-muih seperti pengat, serawa, lepat, juga dikukus makan dengan kelapa dan gula, dan lain-lain cara masakan lagi. 

Jarang orang Melayu menggunakan labu untuk dibuat kek atau pudding atau sup atau “pie”.

Terbaca dalam sebuah kitab yang menyatakan di antara khasiat dan manafaat makan labu ialah:

·           1.   Menyejukkan bahang dalam perut
·           2.   Menghilangkan dahaga
·           3.   Menghilangkan panas badan
·          4.   Bagus untuk hempedu
·          5.   Mencergaskan minda (otak)
·          6.   Baik untuk mata
·          7.  Melembutkan urat perut

Tersebut bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam makan labu, sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tirmidzi:

“Daripada Abi Tolut, katanya: “Aku telah berjumpa Anas Bin Malik semasa ia sedang menikmati masakan labu, dan ia (Anas bin Malik) berkata: “Amboi!  Hai pohon, betapa eloknya engkau, betapa sukanya aku kepada engkau kerana suka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan dikau.”  Ghariib

Tersebut dalam Hadis yang lain, meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam amat suka makan labu, sebagaimana tersebut dalam  Hadis yang dikeluarkan juga oleh Abu ‘Isa At-Tirmidzi:

“Daripada Anas bin Malik r.a. katanya: “Telah aku lihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mencari-cari labu dalam pinggan, kerana gemarnya Baginda akan labu itu, hingga jika ada daging bersama-samanya (labu) di hadapan Baginda, ditinggalkannya daging itu.”

Maka sentiasalah pula gemar aku (Anas bin Malik) makannya semenjak aku lihat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sukakan dia.”  Hasan dan Sahih


“Daripada Saiyidatina ‘Aisyah r.anha: “Bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda Baginda kepadaku (Saiyidatina ‘Aisyah r.anha): “Apabila engkau membuat masakan, maka banyakkanlah olehmu di dalamnya labu merah itu kerana bahawasanya ia (labu merah) itu menguatkan hati orang-orang yang berdukacita.” 



Hari Jumaat
2 Muharram 1434 Hijriyah
16 November 2012





No comments: