Friday, August 26, 2011

SALAWAT ADALAH IBADAT

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Ucapan Salawat dan Salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah satu ibadat yang sangat dituntut dari setiap orang Islam dalam setiap masa.

Orang yang mencuaikan ibadat ini adalah dicapkan sebagai bakhil menurut pandangan syara’ kerana menurut perintah Allah Ta’ala, sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Ahzaab, Ayat 56, maksudnya:

“Sesungguh Allah dan Malaikat-MalaikatNYA bersalawat kepada Nabi (Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam); Wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Ayat 56

Berdasarkan firman-firman Allah Ta’ala dan Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka ‘Alim ‘Ulama Muktabar, Ahlissunnah Wal-Jamaah telah sekata bahawa bersalawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah dituntut dan masa-masa bersalawat itu di antaranya:

1. Bersalawat dalam masa mengerjakan Solat

2. Bersalawat dalam masa membaca tasyahhud

3. Bersalawat setelah habis menjawab azan

4. Bersalawat pada masa berdoa iaitu pada permulaannya, pertengahannya dan pada penghabisannya.

5. Bersalawat setelah selesai mengambil wudhu’

6. Bersalawat pada ketika telinga berdering

7. Bersalawat pada malam Jumaat

8. Bersalawat pada hari Jumaat

9. Bersalawat pada mana-mana perhimpunan baik dan pada masa meninggalkan perhimpunan itu

10. Bersalawat pada masa masuk ke masjid dan pada masa keluarnya.

Di antara lain, dituntut juga bersalawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, atau ganti namanya, ataupun pangkat kenabiannya, atau pangkat kerasulannya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Adalah perlu ingatkan bahawa meringkaskan susunan kata “Sallallahu ‘Alaihi Wasallam” dengan huruf Hijaiyah ‘Arab iaitu “Sod” atau huruf-huruf “SOD-LAAM-‘AIN-MIIM” dicantumkan menjadi “SOL’AM”; Atau dalam tulisan rumi “SAW” atau “S.A.W.” atau dalam tulisan Inggeris “P.U.H. (PEACE UPON HIM)”, adalah CARA PERBUATAN ORANG BAKHIL.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB

Hari Jumaat
26 Ramadhan 1432 Hijriyah
26 Ogos 2011

No comments: