Friday, August 12, 2011

PEMILIHAN JODOH MUKMIN DAN MUKMINAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

BERCINTA DAHULU KEMUDIAN NIKAH

INTIM

Dalam menggalakkan pernikahan, Islam tidak mengizinkan teruna dan dara, atau lelaki dan wanita yang bukan mahram berjumpa rapat sebelum bernikah untuk membuat perhubungan cinta sama cinta, suka sama suka, bercinta dahulu kemudian nikah, sehingga ada di antara mereka terbabas dengan perlakuan maksiat yang hina.

Islam juga tidak membenarkan pasangan lelaki dan wanita yang sudah bertunang keluar tanpa mahram, bersiar-siar atau menjalankan urusan-urusan bersama-sama kerana pertunangan itu bukanlah kelulusan atau paspot yang membolehkan pasangan tersebut bebas bergerak sebagai suami isteri.

ASMARA DANA

Bila syaitan menguasai jiwa raga pasangan yang berasmara dana dan bercinta sebelum nikah itu, maka tiada lagi batasan-batasan halal dan haram di sana. Walaupun pasangan itu “’abid” iaitu orang yang kuat beribadat, atau orang-orang yang berkuasa dalam pentadbiran agama Islam, mereka juga tidak terlepas dari “talbis syaitan” yakni tidak terlepas dari jerat syaitan la’natullah.

Islam tidak mensyaratkan bahawa “bercinta dahulu kemudian nikah”, atau “bercinta sebelum nikah” yang mana kononnya cara itu membolehkan seseorang itu mengenali peribadi lelaki dan wanita pasangan masing-masing secara khusus.

BAGAIKAN SAMPAH

Budaya “bercinta dahulu kemudian nikah”, atau “bercinta sebelum nikah” itu adalah budaya kafir semata-mata. Ada di antara mereka yang “bercinta sebelum nikah” bertahun-tahun lama, akhirnya ada di antaranya jadi bernikah dan ada juga pasangan yang tidak jadi bernikah. Dan tidak kurang pula terdapat wanita-wanita itu yang telah terlanjur dan terpaksa mendaftar pernikahan kerana mengandung.

Ada juga di antaranya yang melahirkan anak di luar nikah setelah ditinggalkan lelaki pasangannya bagaikan sampah yang amat hina, kerana telah habis nafsu syahwat bercinta, putus kasih mesra, hilang cinta sama cinta “I love you no more, you love me no more”.

“SINGLE PARENT”

Bagi orang kafir, wanita-wanita yang melahirkan anak di luar nikah itu dipanggil “single mother” atau “ibu tunggal” yakni ibu yang ditinggalkan pasangannya dan melahirkan anak tanpa bapa yang sah.

Untuk membezakan panggilan “single mother” atau “ibu tunggal” dengan ibu yang melahirkan anak melalui pernikahan yang sah, maka wanita-wanita ini pula dipanggil “single parent” atau “single parent family”, dan mengikut istilah dalam Bahasa Melayu dipanggil “janda” atau “duda” yang menjaga anak-anaknya bersendirian.

Konsep panggilan “single mother” atau “ibu tunggal” walau bagaimanpun adalah bertujuan untuk menutup status ibu kepada anak luar nikah, maka panggilan tersebut digunakan juga secara meluas dan menyeluruh terhadap ibu-ibu yang melahirkan anak melalui pernikahan yang sah oleh orang-orang kafir dan orang-orang Melayu, dan panggilan tersebut sudah tidak menjadi janggal lagi.

Penggunaan perkataan “ibu tunggal” diguna pakai oleh semua media dan janda-janda yang menjaga anak yang lahir melalui pernikahan yang sah juga suka, berbangga dan ghairah dengan panggilan diri mereka “single mother” dan “ibu tunggal”.

PEMILIHAN JODOH

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’alaa dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 221, maksudnya:

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman; dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan mukminah) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNYA. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNYA kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran.” Ayat 221

Dalam bab pernikahan “munakahaat”, Islam tidak melarang lelaki bakal suami melihat wanita bakal isterinya dalam batas-batas dan keadaan yang diizinkan syara’.

Dalam memilih jodoh, Islam adakan empat garis panduan yang perlu diikuti; dan tidak ada panduan atau istilah “bercinta sebelum kahwin” atau “bercinta dahulu kemudian kahwin”.

Empat garis panduan itu adalah sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“(Alasan) wanita itu dinikahi adalah empat hal: kerana harta, keturunan, kecantikan, dan agamanya. Maka pilihlah wanita yang beragama, nescaya engkau beruntung.” Bukhari dan Muslim

Adalah diriwayatkan dari Ibnu ‘Amr, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Dunia ini adalah harta benda, dan sebaik-baik harta benda dunia adalah wanita solehah.” Muslim

Bagaimana pula dengan wanita, dengan siapakah dia harus bernikah? Sebagai panduan kepada persoalan itu ikutilah sabda Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, mafhumnya:

“Apabila datang kepada kamu orang yang kamu sukai agamanya dan budi pekertinya, maka nikahkanlah dia. Kalau tidak, nescaya akan timbullah fitnah dan kerosakan yang besar.” At-Tarmidzi

Dr.HAMKA, telah menulis dalam “Tafsir Al-Azhar, Juzu’ 26, muka surat 245 dan 246”, berhubung dengan hadis tersebut di atas, seperti berikut:

“Dengan Hadis ini jelaslah bahawasanya yang pokok pada ajaran Allah dan pembawaan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada mendirikan kafa-ah, atau mencari jodoh, bukanlah keturunan, melainkan agama dan budi, dan inilah yang cocok dengan hikmat agama. Kerana agama dan budi timbul dari sebab taqwa kepada Allah, maka taqwa itulah yang meninggikan gengsi dan martabat manusia. Tetapi setengah manusia tidak memperdulikan agama itu.”

Wallahu 'Alamu Bissawab


Hari Jumaat
12 Ramadhan 1432 Hijriyah
12 Ogos 2011

No comments: