Sunday, November 14, 2010

SEPUCUK SURAT DARIPADA SAYANG BAIDURI


50, Jalan Bayu Mas
Wadi Hanna
KEDAH
DARUL AMAN.
7 November 2010

Bismillahirrahmaanirrahiim


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Abang Amiir Walii yang disayangi.

Abang,

Semenjak abang balik ke kampung menziarahi mak dan ayah, sejak itu sayang terasa sesuatu yang hilang di sisi sayang iaitu abang. Walaupun abang kurang bercakap ketika berada di rumah kerana sibuk dengan kerja masing-masing tetapi hati sayang merasa penuh tenteram dan tenang.

Sayang menulis surat ini untuk memberitahu abang tentang keadaan sayang dan anak-anak di rumah.

Abang,

Untuk makluman abang, sayang dan anak-anak di rumah semuanya dalam keadaan sihat. Nisaa’, anak kita yang bongsu itu selalu memanggil abang,” ayah, ayah”. Kadang-kadang bila paksunya Arsyad dating, dia berlari-lari menerpa keluar menjenguk. Dia sangka abang yang balik.

Sayang amat sedih melihat dia. Tentang sayang sendiri, perasaan rindu kepada abang, sayang cuba seboleh-bolehnya menyembunyinya daripada dirasai oleh anak-anak kita, walaupun hati sayang ini hampir hancur remuk, rasa pedih dan rindukan abang, walaupun abang baru sahaja balik ke kampung.

Setiap kali perasaan itu menjelma dalam ingatan, sayang menjadi hanyut dan hampa. Hampa kerana abang yang sayang rindui, jauh dari sisi sayang.

Abang,

Dalam masa sayang duduk berseorangan bila anak-anak sudah tidur, fikiran sayang mengelamun, mengimbau kenangan-kenangan semasa kita diakadnikahkan sebelum ke universiti dulu dan semasa kita di universiti pula, kita selalu bersama dalam bilik kuliah dan di perpustakaan hingga ke tengah malam. Kita selalu bersama ke mana sahaja, jarang sekali kita berenggang. Bila abang ke fakulti lain untuk mengikuti kuliah abang, hati sayang menjadi gelisah rindukan abang bila terpaksa berpisah walau sesaat pun.

Abang,

Kita berkahwin bukan atas dasar cinta sebelum kahwin. Kita berkahwin sebelum berkenalan dan bercinta. Selepas kita berkahwin baru sama-sama kita menerokai tentang latarbelakang, perasaan dan kegemaran masing-masing.

Sayang pun rasa pelik juga perjalanan perkahwinan kita itu berbeza dengan “trend” sekarang ini. Di zaman siber ini, dunia menjadi tanpa sempadan dalam semua hal kehidupan dan sosial. Pergaulan di antara remaja, tua muda, di mana-mana sahaja, berlaku tanpa had dan batas, masa dan waktu.

Bagi kita, selepas berkahwin barulah bermula tumbuhnya benih cinta sayang terhadap abang. Cinta sayang dari hari ke hari bertambah-tambah erat. Semakin kenal, semakin bertambah sayang dan cinta.

Sayang masih ingat kata abang bahawa cinta itu akan kekal hingga ke akhirat, sekiranya cinta itu kerana Allah Ta’ala dan begitu juga kalau kita benci, maka benci itu kerana Allah Ta’ala. Cinta dan benci bukan kerana Allah Ta’ala itu adalah palsu, lahir dari nafsu. Kita cinta atas apa yang Allah Ta’ala suka dan kita benci akan barang yang Allah Ta’ala larang.

Sayang juga membuat catatan sebuah Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang abang bacakan kepada sayang.

Daripada Anas Al-Hujanii berkata bahawa Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda mafhumnya:

“Siapa memberi ia kerana Allah, dan menahan ia kerana Allah, dan cinta ia kerana Allah, dan berkahwin ia kerana Allah, maka sesungguhnya ia menyempurnakan akan IMAN.” - Abu Isa AT-Tarmidzi,( Hasan dan Sahih.)

Abang,

Sekarang di bandar dan di kawasan rumah kita banjir semenjak dua hari yang lepas. Rumah kita dimasukki air. Sayang dan anak-anak bertungkus lumus mengangkat apa-apa jua barang yang terdaya bawa naik ke tingkat atas. Peti ais, tv, sofa, meja makan dan dapur semuanya ditenggelami air. Air naik dengan cepat sekali sedangkan hujan tidak seberapa lebat.

Sayang masih ingat pesanan abang bahawa segala musibah, bencana banjir dan sebagainya, bagi orang-orang mukminin adalah suatu dugaan dan mereka menerimanya dengan rela. Mengingati sabda baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam itu, sayang rasa tenang dan mendapat suntikkan tenaga yang luar biasa yang tidak pernah sayang rasai. Hadis itu juga sayang catitkan, tetapi semasa berlakunya banjir itu sayang hanya ingat-ingat lupa matannya, tak mengapakan, abang.

Setelah berehat dari penat, sayang membaca balik Hadis tersebut seperti berikut:

Dari Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah, radhiallahu ‘anhuma, berkata bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Muslim sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan, kedukaan, sesuatu yang menyedihkan, atau kesusahan yang telah berlaku, sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya, melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya sebahagian dari dosa-dosanya.” -Bukhari dan Muslim.

Abang,

Selepas mengangkat barang-barang itu, badan sayang rasa lemah dan amat lesu sekali. Kaki tangan sayang menjadi sejuk dan kebas-kebas kerana terendamlama dalam air banjir semasa mengangkut barang-barang tersebut.

Ketika ini sayang bertambah sedar dan yakin bahawa Allah Ta’ala menjaga dan memberi kita sihat dan Allah Ta’ala juga boleh mengambilnya balik bila-bila masa. Manusia tidak dapat menahan dan menolak segala kehendakNya itu walaupun mereka merasai bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja kerana mereka banyak harta dan boleh menggunakan apa-apa perkhidmatan daripada orang lain dengan hartanya itu.

Abang,

Sayang tidak pergi kerja dan anak-anak juga tidak ke sekolah kerana semua jalan raya ditutup kepada semua kenderaan. Mana-mana sekolah dan universiti yang ada peperiksaan telah dikhabarkan bahawa peperiksaan pada hari-hari banjir itu ditunda ke suatu tarikh lain.

Air tidak surut-surut lagi sampai ke hari ini, yakni hari sayang menulis surat ini. Pihak berkuasa negara melalui berbagai-bagai agensinya tidak dapat menahan air banjir yang melimpah-limpah itu.

Kadang-kadang terlintas di hati, sayang tidak mahu bekerja lagi. Sayang rasa lebih baik sayang menjadi suri rumah sepenuh masa supaya sayang dapat menjalani kewajiban sayang sebagai isteri kepada abang dan ibu yang dapat mendidik anak-anak agar mendapat keredhaan Allah Ta’ala.

Sekali sekala fikiran sayang ini menjadi konflik di antara tanggungjawab sebagai seorang isteri yang solehah dengan gaya kehidupan perempuan-perempuan sekarang yang amat mementingkan hal-hal yang tidak kekal dan lupa hari-hari muka yang berat iaitu hari-hari yang tidak ada guna lagi segala kenikmatan yang ada pada seseorang di atas dunia ini. Berbagai andaian dan persepsi diperkatakan orang, di antaranya ialah:

· perempuan perlu bekerja walaupun pendapatan suaminya mencukupi supaya perempuan tidak menjadi susah sekiranya suaminya mati atau menceraikannya

· perempuan yang telah mendapat kelulusan tinggi tidak perlu membuat kerja-kerja rumah kerana dari gajinya ia boleh menggajikan orang lain untuk membuat kerja-kerja rumah tersebut

· perempuan yang bekerja boleh membantu ekonomi keluarga dan dapat membantu ibu bapa dan saudara maranya

· adalah amat rugi belajar hingga ke universiti jika kemudiannya menjadi suri rumah sepenuh masa

· menghampakan harapan ibu bapa yang mengharapkan anak perempuan mereka bekerja dan mendapat gaji yang besar setelah ibu bapa ituberkorban menghantar anak perempuan mereka belajar hingga ke universiti, jika akhirnya anak perempuan mereka berkahwin dan tidak mahu bekerja

Lebih-lebih lagi sekarang ini ada kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan kesetaraan gender “Action Groups for Gender Equality” yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada perempuan-perempuan semua kaum. Mereka itu sangat aktif dan amat lantang suaranya, mendesak perempuan-perempuan supaya mereka dapat berganding bahu” berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dalam segala profesion dan “trade” yang dilakukan oleh kaum lelaki di atas dunia ini dan perempuan-perempuan perlu mengatasi kaum lelaki.

Mereka itu mahukan supaya segala urusan rumah tangga, menjaga, mengasuh anak-anak, jika boleh hendaklah dikendalikan oleh suami, atas perbelanjaan si isteri. Si isteri boleh bergerak bebas ke mana-mana sahaja, tidak kira masa siang atau malam untuk menjalankan urusan profesion dan ” trade” yang sandangnya, dan jika perlu meninggalkan suami dan anak-anak berminggu-minggu dan berbulan-bulan lamanya mengikut keadaan.

Perkara tersebut, walaupun sayang telah dididik oleh abang untuk menjadi seorang isteri yang solehah, fikiran sayang adakala terbawa-bawa juga dengan kata-kata desakkan dari kumpulan-kumpulan tersebut dan membuatkan sayang hanyut seketika, maafkan sayang, abang.

Sayang harap bahawa perkara ini, kita dapat bermesyuarat dan membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya agar mendapat keredhaan Allah Ta’ala. Terserahlah kepada abang membuat keputusan, sayang redha kerana Allah Ta’ala.

Abang,

Dalam rumah kita sekarang ini, makanan masih ada lagi. Air pili dan letrik ketika ini terputus. Alhamdulillah, air dalam tangki di tingkat bawah dan tingkat atas masih penuh, dan pelita-pelita minyak tanah yang telah digunakan pada malam hari raya dulu masih boleh dipakai. Walaupun cemas, sayang tidak lupa berzikir mengingati kuasa Allah Ta’ala di atas perkara-perkara yang berlaku ini.

Terlintas di hati sayang bahawa apa yang berlaku dalam masa dua tiga hari ini adalah amat kecil, jika dibandingkan dengan sepanjang masa sepuluh tahun yang lalu rumah kita tidak pernah kena banjir dan kita suami isteri serta anak-anak diberi Allah Ta’ala sihat. Alhamdulillah.

Abang,

Akhir sekali, sayang berdoa agar abang khususnya dapat menziarah dan berbakti kepada mak dan ayah ketika mana mereka dan kita masih ada.

Sayang bercadang akan ikut abang bersama anak-anak balik ke rumah mak dan ayah sepanjang cuti sekolah nanti mulai daripada hari Ahad, 21 November 2010 ini, InsyaAllah.

Abang,

Hanya setakat ini dulu berita dari sayang dan sampaikan ucapan “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh” untuk mak dan ayah, yang sayang sayangi dan ta’ati.

Isterimu
Sayang Baiduri

Hari Ahad
30 Z’Qaedah 1431 Hijriyah
7 November 2010.

No comments: