Friday, April 16, 2010

UMARAA TIDAK MENTAATI MUFTI, MUFTI MENGAMPU UMARAA

INDAH CAKAP DARI LAKU

Baru-baru ini ada di antara mufti-mufti menyatakan bahawa dirinya adalah pejuang untuk menegakkan segala fatwa-fatwa yang telah banyak dikeluarkan tetapi terus tidak dipatuhi dan ditaati pihak yang berkuasa.

Katanya lagi, bahawa ada terdapat sesetengah fatwa itu selepas dikeluarkan tidak ditaati dan dipatuhi oleh pihak berkuasa sehingga bertahun-tahun lamanya. Banyak perkara-perkara yang hukumnya syirik dijalankan oleh pihak berkuasa.

Namun begitu mufti itu terus menerus berkhidmat dan menerima gaji serta mendapat kedudukan yang baik dan menerima pangkat kebesaran daripada pihak berkuasa yang berkenaan. Masih ada beberapa lagi hukum-hukum yang diperintahkan Allah Ta’ala terus tidak dilaksanakan oleh mufti-mufti berkenaan.

SIAPAKAH YANG LAYAK MEMBERI FATWA?

Adakah di antara mufti-mufti di negara-negara orang-orang Islam “Muslim State” yang menghafal Al-Quran dan menghafal sekurang-kurangnya 100,000 (seratus ribu) Hadis dengan Sanadnya sekali sebagai seorang “Al-Hafidz”, dan menghafal sebanyak 300,000 (tiga ratus ribu) Hadis dengan Sanadnya sekali sebagai seorang “Al-Hujjah”, pada masa sekarang ini? Persoalan inilah yang menjadi tanda tanya yang tersembunyi di akhir zaman ini. Didapati ramai orang memiliki ijazah-ijazah berkaitan tetapi dangkal ilmunya bila dibandingan dengan Ulama-ulama Muktabar.

Imam Hambali rahimahumullah, ketika ditanya siapakah yang layak member fatwa, beliau menjawab bahawa seseorang yang layak memberi fatwa ialah orang yang menghafal sekurang-kurangnya 500,000 (lima ratus ribu) Hadis serta dengan Sanadnya sekali.

Dalam negara-negara orang-orang Islam “Muslim State” sekarang ini terdapat majlis-majlis fatwa atau lain-lain nama seumpamanya yang ditubuhkan, terdapat ahli anggotaannya tidak semua terdiri daripada mufti-mufti yang warak yang menghafal Al-Quran dan Hadis serta mengamalkannya dan yang sentiasa takutkan Allah Ta’ala.

Justeru itu, sekarang ini banyaklah fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti-mufti dari negara-negara Islam “Muslim State” bercanggah di antara satu sama lain tentang kedudukan hukum halal dan haram dalam satu masalah yang sama.

Percanggahan pendapat kerana kekurangan pengetahuan dan dangkal pemikiran mufti-mufti itu, sekarang ini tidak boleh sama sekali dijadikannya suatu kebaikan kepada ummah.

Nampaknya percanggahan yang ada sekarang ini ialah kerana mufti-mufti itu kurang arif serta cetek ilmunya. Maka ada di antara mereka itu hanya mempertahankan hujah-hujahnya dalam menentukan halal dan haram mengikut pengetahuan yang sedikit yang ada pada mereka. Di samping itu mereka bukan sahaja bergopoh gapah tetapi juga celupar dalam memberi fatwa bersendirian atau mengeluarkan fatwa secara berkumpulan yang terdiri daripada mereka yang kurang pengetahuan atau yang setaraf dengan mereka.

Dalam keadaan tertentu ada kalanya mufti-mufti itu dan orang-orang tertentu mengeluarkan fatwa untuk keselesaan dan kesesuaian kehendak-kehendak pihak berkuasa di mana mufti-mufti itu berkhidmat.

SEDIH

Apa yang amat menyedihkan sekarang ini ialah ada sesetengah mufti-mufti atau orang-orang yang memiliki ijazah-ijazah dalam bidang pengajian Islam atau Bahasa Arab dan lain-lain bidang yang berkaitan dengan Islam, mempertikaikan bukan sahaja hukum-hukum syarak yang sedia ada tetapi juga mempertikaikan serta memutarbelitkan pendapat-pendapat daripada Ulama-ulama Muktabar, sedangkan mereka sendiri mengutip, menceduk, memplagiatkan ilmu-ilmu Al-Quran dan Hadis dan lain-lain ilmu yang berkaitan daripada tulisan-tulisan Ulama-ulama Muktabar.

HARAPAN

Adalah menjadi harapan sepanjang masa agar mendapat orang-orang yang benar-benar berilmu dan beramal kerana Allah Ta’ala serta takut kepadaNYA, yang mana mereka dapat mendidik ummah mengikut apa yang dibawa oleh Ulama-ulama Muktabar dari segi hukum hakam yang telah teratur berpandukan Al-Quran dan Hadis, supaya ummah tidak berpecah belah dan menjadi celaru dalam mengamalkan Islam yang tauhid.

Hari Jumaat

1 Jamadil Awal 1431 Hijriyah

16 April 2010

No comments: