Friday, April 2, 2010

PERUBAHAN LALUAN SA'IE




BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

HAJI TAMATTU’

Aku dan isteriku bertolak ke tanah suci Makkah Al-Mukarramah dari tanah air pada hari Rabu, 26 November, 2008 dan balik pada hari Selasa, 6 Januari, 2009.

Sesampainya kami di Makkah Al-Mukarramah, pada malam 27 November, 2008 kami dibawa menunaikan ibadah umrah wajib sebelum melakukan rukun dan wajib Haji kerana kami berniat mengerjakan Haji Tamattu’.

Mengerjakan haji secara Tamattu’ bermaksud berniat umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadah yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama ia akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadah yang berkaitan dengan haji.

Semasa kami menunaikan ibadah Haji tahun 2008 itu, kami tidak memikirkan apa-apa tentang perubahan-perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Saudi di sekeliling kota Makkah Al-Mukarramah.

Kami bertolak ke Arafah pada hari Sabtu 8 Dzilhijjah 1429 Hijriyah bersamaan 6 Disember, 2008. Pada 9 Dzilhijjah 1429 Hijriyah, selepas wuquf kami bertolak ke Muzdalifah dan bermalam di sana.

Mulai 10 Dzilhijjah 1429 Hijriyah, kami berada di Mina untuk megerjakan ibadah melontar ketiga-tiga jamrah sehingga habis hari Tasyrik iaitu pada 13 Dzilhijjah 1429.

Sebaik tiba di Makkah Al-Mukarramah dari Mina, kami menunaikan pula ibadah Tawaf haji dan Sa’ie haji bagi menyempurnakan rukun Haji kami.

PERUBAHAN-PERUBAHAN PADA TEMPAT-TEMPAT YANG MULIA

Sebelum kami bertolak ke Madinah pada 30 Dzilhijjah 1429 Hijriyah bersamaan 28 Disember 2008 iaitu selepas sempurna mengerjakan ibadat Haji, kami dibawa menziarahi tempat-tempat yang mulia yang ada kaitan dengan ibadah dan tempat-tempat bersejarah tinggalan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan keluarga serta sahabat-sahabatnya sekalian radhianllahu ‘anhum di sekitar kota Makkah Al-Mukarramah.

Kami dapati dan menyaksi dengan sendiri Bukit Abu Al-Qubais yang tingginya 420m di atas paras laut yang mengikut sejarah pernah disimpan Hajarul Aswad di situ selama empat puluh tahun sebelum Nabi Ibrahim ‘Alahissalam meletakkannya di dinding Ka’bah; kini telah dibangunkan sebuah istana Fahd.

Di atas tapak rumah Saiyidatina Khadijah didirikan sebuah tandas awam yang besar dan di atas tapak tempat kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pula telah lama dijadikan Maktabah. Di atas tapak rumah Saiyidina Abu Bakr radhiyanallahu 'anhu telah dibina kedai Kentucky Fried Chicken (KFC).

KERJA-KERJA PEMBESARAN MASJID AL-HARAM DAN PEMBINAAN LALUAN SA’IE

Semasa kami melakukan ziarah ke tempat-tempat tersebut di atas, baru kami dapat melihat dengan jelas sekali, kerja-kerja pembesaran Masjid Al-Haram bersebelahan Bukit Safa dan Marwah sedang giat dijalankan. Dapat dilihat dari gambar-gambar di atas yang menunjukkan kerja-kerja pembesaran sedang dilakukan ketika itu.

Kelihatan pintu “Babussalam” yang menghadapi Suqullail dan sebelah kanannya Bukit Abu Al-Qubais itu dipecahkan untuk tujuan pembesaran.

Dikatakan bahawa kerja-kerja pemecahan itu ialah untuk mengubah dan memperluaskan laluan Sa’ie. Laluan Sa’ie yang baru nanti dikatakan akan terkeluar daripada laluan Sa’ie asal yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ketika baginda mengerjakan ibadah Sa’ie semasa menunaikan Haji Wada’.

Oleh kerana pintu “Babussalam” ditutup disebabkan kerja-kerja mengubah laluan Sa’ie sedang dijalankan ketika itu, maka kami tidak dapat memasukki Masjid Al-Haram melalui pintu tersebut semasa kami berada di sana.

Lazimnya bagi setiap jemaah yang mengerjakan Haji atau Umrah memasukki Masjid Al-Haram melalui pintu “Babussalam” itu akan berdo’a dengan do’a yang khusus.

Do’a yang masyhur itu, ialah:

“Allahumma antassalam,

(Ya Allah! Engkaulah salam (sejahtera),

waminkassalam,

(dan daripada Engkaulah sejahtera),

fa haiyina bissalam,

(maka hidupkanlah kami dengan kesejahteraan),

wa adkhinnal jannata darassalam,

(dan masukkanlah kami ke dalam syurga perkampungan selamat sejahtera).

Rabbana wa Ta’alaita dzal Jalali wal Ikraam,

(Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi Engkau Yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan),

Allahummaftahli abwaba rahmatika,

(Ya Allah! Bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu),

wamaghfiratika,

(dan keampunanMu),

Wa adkhilni fiha Bismillahi,

(dan masukkanlah aku ke dalamnya dengan “Bismillah”),

walhamdulillahi,

(dan “Alhamdulillah”),

wassalatu wassalamu ‘ala rasulillahi sallallahu ‘alaihi wasallam.”

(dan selawat dan salam ke atas Rasulillah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.)

LALUAN BARU SA’IE

Kemungkinan sekarang laluan Sa’ie yang baru dibina itu telah pun siap dan akan digunakan oleh jemaah-jemaah haji musim 2010 ini.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB

Hari Jumaat

17 Rabi’ul Akhir 1431 Hijriyah

2 April 2010

No comments: