Friday, November 6, 2009

SARANG BURUNG YANG KOSONG "THE EMPTY NEST"


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

HIDUP TANPA BELAIAN

Pada 1 haribulan Mac, cuaca di hari itu sejuk sedikit berbanding hari-hari sebelumnya kerana rahmat hujan pada malamnya. Hari terus mendung sehingga waktu Zuhur. Setelah selesai solat, aku keluar ke halaman rumah sambil menghirup udara yang nyaman itu, aku membelek-belek pokok-pokok tanaman di sekeliling rumahku.

Di hadapan rumahku ada serumpun bunga melor atau disebut juga bunga jasmine. Sudah lama aku tanam sehingga terlupa bila masa sebenarnya aku tanam pokok itu. Ingat-ingatku mungkin sepuluh atau lima belas tahun yang lalu.

Semenjak menanamnya, aku biarkan ia hidup tanpa belaian. Aku tidak menjirusnya kecuali pada mula-mula aku menanamnya dahulu. Walaupun aku tidak mempedulikannya, ia terus hidup segar dengan jirusan air hujan dari langit dan khasiat makanan dari dalam bumi.
Pokok-pokok bunga melor itu, aku lihat selalu mengeluarkan bunga putih bersih berseri. Baunya wangi bila aku melintasi kawasan itu.

Aku pernah terbaca tentang beberapa khasiat bunga melor ini dalam sebuah buku yang dihadiahkan oleh Cik Junidza menantuku. Buku itu bertajuk “The Encyclopedia of Herbal Medicine” oleh Thomas Bartram, yang mencatitkan bahawa bunga melor atau Jasminum Grandiflorum boleh dijadikan penawar penenangan saraf “nerve relaxant”. Caranya ialah menjadikan bunga melor itu sebagai teh dan diminum tiga kali sehari. Aku pernah minum “Jasmine Tea” yang dibeli oleh anakku Profesor Madya Dr. Ahmad Rohi. Aku meminumnya hanyalah semata-mata untuk merasa teh itu sahaja. Sudah tentu ianya tidak memberi apa-apa kesan yang boleh aku ceritakan kerana aku tidak ikut jadual peraturan meminumnya.

MAKANAN POKOK

Dikata orang bahawa pokok dan tumbuh-tumbuhan mendapat makanan yang mengandungi bahan-bahan organik di dalam bumi yang mana di antaranya disebut N.P.K.

“N” ialah nitrogen. Kandungan bahan ini digunakan oleh pokok untuk mengeluarkan daun, juga untuk membesarkan dan menghijaukan daun-daun.

“P” ialah phosphorus. Kandungan bahan ini digunakan oleh pokok untuk menggalakkan pengeluaran buah dan juga untuk menambahkan serta menguatkan akar-akarnya.

“K” ialah potassium (potash, kalium). Kandungan bahan ini digunakan oleh pokok untuk pembungaan, warna dan saiz dan juga untuk menguatkan batang pokok.

Pokok-pokok melor itu terus hidup mengikut tabi’inya di celah-celah pepohon-pepohon lain yang tumbuh sama-sama segar di sekelilingnya. Di situ di celah ranting-ranting dan dedaun-dedaun pokok melor itu kulihat sepasang burung merbah membuat sarang yang indah susunan jalinannya dan amat seni dibuat daripada rumput-rumput dan daun-daun kering.

Bentuk sarang itu nampak seperti mangkuk yang sederhana besarnya. Mungkin hanya boleh memuatkan seekor burung sahaja. Sarang itu bukan untuk burung-burung itu tidur berpasangan di dalamnya .

Biasanya aku lihat burung tidur bertenggek di atas dahan-dahan pokok bukan dalam sarang yang dibuatnya. Sarangnya dibuat untuk persediaan bertelur dan untuk mengeram sehingga menetas telur-telurnya.

Selepas itu induk burung itu akan terus tinggal di dalam sarang itu dan di waktu malam tidur bersama-sama dengan anak-anaknya yang masih kecil.

KEMAHIRAN MEMBUAT SARANG

Bila aku renung, memerhatikan sarang burung di atas pokok melor itu, terlintas di dalam kepalaku betapa pandainya burung-burung itu membina sarangnya.

Dari manakah burung-burung itu mendapat latihan kemahiran dan kepandaian membuatnya?

Bagaimanakah burung-burung itu tahu bahan-bahan dan cara susunan serta jalinan bahan-bahan tersebut agar menjadi kukuh dan rapi, tidak terjatuh bila dipukul ribut atau ditimpa hujan?

TUKANG RUMAH

Dalam kehidupan manusia hari ini, sesebuah rumah atau bangunan dibina oleh orang-orang yang pandai dan mahir atau oleh orang-orang yang ada pengetahuan seni bina dan lain-lain lagi yang berkaitan dengannya. Bukan semua orang boleh membina rumah atau bangunan sendiri.
Bagi menyiapkan sebuah rumah atau bangunan manusia perlu mendapat kerjasama bantuan daripada beberapa orang lain seperti: arkitek, engineer dan lain-lain lagi. Tetapi burung-burung boleh membina sarangnya sendiri tanpa memasuki mana-mana institusi pelajaran tinggi atau mempelajari pertukangan pembinaan dan sebagainya.

DUA BIJI TELUR

Pada suatu pagi, aku menjenguk ke dalam sarang burung merbah di atas pokok bunga melor itu ada terdapat dua biji telur. Telur-telur itu berwarna keputih-putihan dan berbintik-bintik kelabu dan coklat hampir-hampir sama warna dengan bahan-bahan yang dijadikan sarang burung itu.

Semasa aku berdiri dekat dengan pokok melor tersebut, dua ekor burung nampak sibuk terbang ke sana ke sini hampir denganku. Aku agak ia memberi amaran supaya jangan mendekati dan jangan membahayakan anaknya.

Selepas aku beredar dari situ, aku nampak kedua-dua ekor burung itu pula terbang berkejar-kejaran satu sama lain sambil bersiul-siulan. Aku mengandaikan kelakuan seperti itu disebabkan burung-burung itu amat gembira dan bahagia sekali. Entahlah samaada andaianku itu betul atau tidak, aku bukanlah faham bahasa burung.

DUA BENDA HITAM

Pada pagi 9 haribulan Mac, aku pergi melihat sarang burung itu dan aku dapati ada dua benda hitam yang lembut di dalam sarang burung tersebut.

Aku terus memerhatikan dua benda hitam itu dan kelihatan benda itu berdenyut-denyut, maka tahulah aku bahawa dua benda hitam itu ialah anak-anak burung yang baru menetas.

Ketika itu badan anak-anak burung itu belum berbulu lagi. Apa yang boleh dilihat di atas kulitnya itu ialah bintik-bintik tajam seperti duri buah durian yang muda.

BERBEZA ANAK BURUNG DENGAN ANAK AYAM DAN ANAK ITIK

Aku perhatikan anak-anak burung itu semasa baru menetas berbeza dengan anak-anak ayam atau anak-anak itik yang pernahku pelihara suatu masa dulu.

Anak ayam yang baru menetas diselaputi bulu-bulu yang halus dan basah dengan lendir dari telur.

Selepas beberapa minit bulu-bulu itu bertukar menjadi gebu semacam baldu yang licin dan halus. Badan anak ayam itu bulat, cantik dan menarik.

Ia terus mengeluarkan suara dan keluar masuk di celah ketiak kepak induknya.

Bulu-bulu anak ayam itu terus berada pada badan anak-anak ayam itu dan bertukar ganti dengan bulu-bulu yang lebih keras di kepak dan sayapnya apabila ia membesar bagaikan pakaian yang diciptakan semulajadi baginya.

Bulu-bulu itu menutupi ketul-ketul daging dan kulitnya daripada dilihat orang di samping terlindung daripada terkena panas dan hujan dan mengelakkan daripada gigitan serangga dan sebagainya.

MENYUAP ANAK

Selepas aku dapati anak-anak burung itu telah menetas, aku kerapkali pergi mengintip gerak geri dua ekor anak burung itu bila aku kelapangan.

Anak-anak burung itu disuap makanan oleh kedua-dua induknya secara bergilir-gilir beberapa kali sehari. Aku nampak makanan yang dibawa itu serangga atau cebisan-cebisan buah-buahan dan entah apa-apa lagi tidaklah aku dapat pastikan.

Aku tidak dapat pastikan bilangan kekerapannya kerana itu adalah di luar kemampuanku. Apa yang dapat aku pastikan ialah burung-burung itu tidak ada simpanan makanan seperti manusia.

Anak-anak burung tersebut cepat membesar, gerak gerinya cergas dan sihat pula.
Aku dapat lihat bulu badannya daripada tiada kepada ada dan sudah hampir penuh tetapi masih pendek begitu juga dengan ekornya. Matanya hitam kilat bercelak dan paruhnya nampak semacam keras dan besar sedikit jika dinisbahkan dengan ukuran badannya.

VITAMIN A, B, C, D DAN E…

Apabila aku melihat kepada anak-anak burung itu begitu kuat dan sihat serta bulu-bulunya berkilat-kilat, aku mula menanya diriku sendiri. Apakah makanan yang disuapkan oleh induk-induk burung itu? Adakah ia mengandungi vitamin-vitamin yang istimewa dan sempurna yang ada mengandungi vitamin-vitamin A, B, C, D, E dan lain-lain lagi sepertimana aku pernah mendengar para-para doktor menasihati pesakit-pesakit mereka supaya memakan makanan yang bervitamin.

Aku sendiri juga pernah membaca artikel-artikel mengenai vitamin-vitamin yang ditulis oleh pakar-pakar perubatan dan pakar pemakanan.

Untuk menjadikan badan sihat, pakar-pakar pemakanan sentiasa menasihatkan orang ramai supaya mengambil makanan yang berkhasiat dan mengandungi vitamin-vitamin yang cukup seperti daging, susu, ikan, telur, sayur-sayuran dan sebagainya.

Sedangkan burung-burung itu tidak makan makanan-makanan seperti yang tersebut tetapi masih sihat ; tulang-tulangnya kuat, matanya terang dan tubuh badannya didapati sempurna.

SARANG YANG KOSONG “THE EMPTY NEST”

Pada pagi 17 haribulan Mac, aku nampak anak-anak burung tersebut mempunyai bulu dan bulu sayapnya sudah penuh. Warna badannya kekuningan dan bulu sekeliling matanya putih serta kelopak matanya hitam bercelak.

Lebih kurang jam pukul 5.00 petang hari itu, perasaanku terharu, menjadi kosong dan sepi apabila aku pergi melihat dan mendapati sarang burung itu sudah menjadi kosong, senyap dan sunyi. Di situ tiada lagi suara kicauan burung-burung dan anak-anaknya.

Anak-anak burung itu sudah terbang meninggalkan sarangnya.


Hari Jumaat
19 Dzil Qa’edah 1430 Hijriyah
6 November 2009

No comments: