Friday, August 14, 2009

A'UDZUBILLAHI MINASY-SYAITAANIRRAJIIM


sSIS (4)

ANAK LUAR

AWAL PERMULAAN ZINA

Dengan kejayaan syaitan melucutkan pakaian syurga daripada Adam dan Hawa seperti tersebut dalam post sSIS (3) yang lalu, maka sSIS terus menerus melucut dan membuka pakaian anak cucu Adam bagi mendedahkan ‘aurat mereka untuk ditonton ramai.

Justeru dari situlah, bermula rangsangan hawa nafsu lelaki dan perempuan melalui mata, mulut dan hati bagi melakukan kejahatan, maksiat dan zina, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda (mafhumnya):

“Sesungguhnya Allah Ta’alaa telah menetapkan bahagian anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.”

A’WAR PESURUHJAYA ZINA

A’war, adalah salah satu daripada anak-anak iblis laknatullah, yang mana ia juga pesuruhjaya iblis bagi menjalankan kerja pembawa zina, yang menyuruh manusia kepada zina dan menganggapnya bagus lagi baik.

Dengan kehendak dan nafsu manusia itu sendiri mengikut ajakan-ajakan syaitan yang menampakkan zina itu baik dan bagus, manusia cenderung melakukan zina terang-terangan atau bersembunyi-sembunyian.

Dengan itu istilah “Fahsyaa’” zina dan dosa besar tidak ada dalam kamus dan minda orang-orang kafir dan sSIS. Mereka itu hidup dengan mempunyai gaya hidup, makan, minum dan sebagainya seperti binatang. Mereka tidak mengambil kira tentang hukum halal atau haram, dosa atau pahala.


Allah Ta’alaa berfirman dalam Surah Muhammad, Ayat 12 (maksudnya):

“Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan (di dunia) serta mereka makan minum sebagai mana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” Ayat 12

MERIT KEPADA KES

Mengikut hukum syara’ , orang-orang yang melakukan zina dikenakan rejam, sebat, penjara, buang negeri mengikut kategori “Muhsan” dan “Bukan Muhsan” , dan merit kepada kes masing-masing. Hukum zina adalah jelas seperti firman Allah Ta’alaa dalam Surah An-Nur, Ayat 2 (maksudnya):

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” Ayat 2

Dalam sebuah Hadis, dari ‘Ubadah bin Shamit r.a. katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda (mafhumnya):

“Laksanakanlah hukumku! Laksanakanlah hukumku! Sesungguhnya Allah telah menetapkan hukum bagi mereka yang berzina. Apabila bujang dan gadis (sama-sama belum kahwin), hukumannya dera seratus kali dan penjara satu tahun. Apabila janda dan duda (sama-sama sudah kahwin) yang berzina, hukumannya dera seratus kali dan rejam sampai mati.” Sahih Muslim.

KHALWAT

sSIS membantah hukum Allah dan RasulNya seperti yang tersebut di atas dengan alasan hukuman itu tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia. Sehingga banyak kes-kes zina telah diubah kepada kes ber”khalwat”. Istilah “khalwat” ini hanya digunakan di negara tertentu sahaja dan bukan semua negara orang-orang Islam yang lain. Istilah “khalwat” itu diguna pakai sebagai pengelakan daripada penzina dikenakan hukum yang ditetapkan dalam Al-Quran dan Hadis yang tersebut di atas walaupun ada saksi yang cukup.


Pernah berlaku kes-kes penzinaan di beberapa negara di Timur Tengah, Afrika dan lain-lain tempat di mana penzina sendiri mengaku atau membuktikan yang ia hamil hasil daripada perzinaannya yang tidak dipaksa , tidak digagahi dan tidak “Syubhah”, pun pihak berkuasa negeri tidak juga menjalankan hukum Allah ke atas penzina itu kerana takut orang-orang kafir dan sSIS membantah.

Di negara-negara kafir pula didapati kebanyakan kes ialah kes-kes rogol, gangguan seksual “Sexual Harassment”, dan “molesting”, tetapi tidak ada hukum ke atas kes-kes zina.

Dengan sebab itulah dilihat bahawa lebih banyak hukuman-hukuman ke atas kes-kes khalwat dan rogol dijalankan daripada hukuman-hukuman ke atas kes zina di negara-negara orang Islam. Seolah-olahnya tidak ada kes zina pernah berlaku.

FAHSYAA’ (PERBUATAN KEJI atau ZINA)

Zina adalah suatu perbuatan yang amat keji dan bahayanya bukan sahaja kepada diri orang yang melakukannya tetapi juga kepada rumahtangga dan nasab keturunan penzina itu sendiri dan seterusnya kepada masyarakat keseluruhannya.

Oleh yang demikian orang-orang yang dilahir Islam yang bernafsu syaitan, cenderung hendak melakukan zina perlu ingat bahawa perbuatan yang amat keji dan berdosa besar itu membawa kesan-kesan yang amat buruk. Akibat dan kesan-kesan buruk dalam institusi kekeluargaan ialah jika penzina lelaki dan perempuan itu mendapat anak, maka anak itu disebut anak luar nikah ya’ani anak zina, dan di antara kesannya ialah:

1. Anak zina adalah tunggal entitinya sendiri, walaupun ia dilahirkan oleh seorang ibu. Jika anak zina itu lelaki, maka ia boleh berkahwin dengan ibu yang melahirkannya. Sekiranya anak zina itu perempuan ia boleh berkahwin dengan jantan yang menyebabkan ia lahir sebagai anak zina.

Kata Imam Nawawi Rahimahullahu Ta’alaa di dalam Syarah Muslim: “Telah berkata Malik dan Syafi’e dan Abu Thur dan lain daripada mereka itu: ‘Harus bagi seorang lelaki yang berzina dengan seorang perempuan itu ia kahwin dengan ibu perempuan yang dizinanya dan berkahwin dengan anak perempuannya. Bahkan telah menambah oleh Syafi’e pada petuanya, iaitu diharuskannya nikah dengan anak ya’ani perempuan yang jadi daripada air maninya dengan zina.”

2. Seseorang anak zina itu bukan mahram kepada betina yang melahirkannya dan jantan yang menjadi penyebab ia dilahirkan, dan juga bukan mahram kepada sekalian anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan betina dan jantan penzina itu.

3. Dalam hal yang berkaitan dengan pesaka pula, anak zina tidak boleh mewarisi harta peninggalan jantan atau betina yang menyebabkan anak zina itu lahir ke dunia ini. Begitu juga jantan dan betina yang menyebabkan anak zina itu lahir ke dunia ini tidak boleh mewarisi harta pesaka peninggalan anak zina itu. Ini adalah bernaskan Hadis yang dikeluarkan Abu ‘Isa At-Tarmidzi dengan katanya:

“Daripada ‘Amru bin Syuib daripada bapanya daripada neneknya bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, bersabda ia (mafhumnya): “Mana-mana lelaki yang berzina dengan perempuan merdeka atau sahaya maka anaknya anak zina, tiada mempesakai dan tiada dipesakai.”

4. Jantan penzina (bapa) itu tidak sah menjadi wali ke atas anak zina perempuan, walaupun anak zina itu didaftarkan dengan ber”binti”kan jantan penzina itu.

NIKAH DALAM MASA MENGANDUNG

Dalam kes di mana betina yang sedang mengandung hasil perlakuan zina sama ada ia bernikah secara ‘akad nikah yang sah dengan lelaki yang melakukan zina dengannya atau dengan lelaki lain sebagai “pak sanggup”, maka apabila anak yang dikandung betina itu lahir, anak itu tetap menjadi anak luar nikah ya’ani anak zina walaupun anak itu di”bin” atau di”binti”kan kepada jantan yang melakukan zina itu atau di”bin” atau di”binti”kan kepada “pak sanggup” itu.

“PAK SANGGUP” JUGA BUKAN WALI

Dalam hal dunia dengan di”bin” atau di”binti”kan kepada “pak sanggup” itu, urusan pentadbiran pendaftaran beranak, persekolahan dan sebagainya sudah dikira teratur. Namun begitu anak itu tetaplah menjadi anak zina. Seterusnya anak zina itu boleh berkahwin dengan sesiapa sahaja dalam keluarga “pak sanggup” itu dan “pak sanggup” pula tidak sah menjadi wali, jika anak zina itu perempuan.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB

Hari Jumaat
23 Syaaban 1430 Hijriyah
14 Ogos 2009

N.B. Post-post dalam siri sSIS adalah semata-mata sebagai peringatan “NADZIIR”. Siri-siri seterusnya akan disambung dalam tahun 1431 Hijriyah/tahun 2010, InsyaAllah.

No comments: