Friday, August 7, 2009

A'UDZUBILLAHI MINASY-SYAITAANIRRAJIIM


sSIS (3)

PERLUCUTAN PAKAIAN YANG PERTAMA

Semasa Adam dan Hawa berada dalam syurga, syaitan telah dapat menyeludup masuk menghasut supaya Adam dan Hawa menderhakai dengan melanggar perintah larangan Allah Ta’alaa dengan menghampiri dan memakan buah “khuldi”.


Dengan itu syaitan telah berjaya membuka pakaian syurga yang menutup ‘aurat Adam dan Hawa. Kejayaan syaitan membuka pakaian Adam dan Hawa itu kemudian menjadi kesinambungan inspirasi bagi sSIS untuk terus membuka kain atau pakaian lelaki dan perempuan hingga ke masa kini dan seterusnya sampai kiamat.

TAYANG BADAN (BODY)

Dalam usaha-usahanya itu, sSIS menganjurkan sukan-sukan dan olahraga bagi lelaki yang membuka ‘aurat, diantaranya; somo, gusti, bina badan, renang dan sebagainya. Bagi perempuan pula sSIS menganjurkan diantaranya; pertandingan ratu cantik, “modelling”, renang, jimnastik dan lain-lain lagi. Semuanya itu semata-masa untuk ditontoni oleh orang ramai sama ada secara langsung atau melalui siaran-siaran media cetak dan elektronik yang dapat ditontoni di seluruh dunia oleh kanak-kanak, orang dewasa dan tua.

Allah Ta’alaa berfirman dalam Surah Al-A’raf, Ayat- Ayat 20, 21,22 (maksudnya): “Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) menampakkan kepada mereka ‘aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).” Ayat 20

“Dan ia (syaitan) bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” Ayat 21

“Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua ‘aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?.” Ayat 22

PENDEDAHAN DADA DAN RAMBUT

Dalam kehidupan sehari-harian pula kita akan dapat melihat ramai di antara kaum wanita mendedahkan ‘aurat leher, rambut, dada, betis, paha, lengan, ketiak dan mana-mana bahagian tubuh badan mereka di jalanan, pasar-pasar dan di mana-mana sahaja. Pemandangan itu boleh dilihat di dalam negeri dan di luar negeri yang kita lawati.

Namun dalam majlis-majlis rasmi, majlis makan malam dan sebagainya di mana kaum lelaki mamakai “lounge-suit” dengan “bow” dan "tie", kaum wanitanya pula ada yang memakai pakaian yang mahal jenamanya sambil mendedahkan rambut dan dada yang mana menampakkan warna kulit hitam atau putih atau kuning. Ini adalah salah satu kejayaan sSIS dalam agendanya untuk mendedah ‘aurat kaum wanita.

BAIK PAKAIAN BAIK HATI

Menutup ‘aurat adalah hukumnya wajib bagi lelaki dan perempuan Islam. Namun begitu menutup ‘aurat selengkapnya bukanlah semata-mata menjadi satu jaminan bahawa seseorang itu sama ada lelaki atau perempuan sudah sempurna iman dan takwanya kepada Allah Ta’alaa.

Untuk mendapat kesempurnaan iman dan takwa, seseorang itu hendaklah di samping ta’atkan perintah Allah Ta’alaa seperti menjaga solat, menutup ‘aurat; seseorang itu juga wajib pula sentiasa memelihara hatinya agar tetap beriman kepada Allah Ta’alaa dan supaya hatinya tidak diselaputi dengan kekotoran dan najis dunia.

Pakaian yang menutup ‘aurat boleh dipandang dengan mata zahir tetapi hati adalah sesuatu yang tidak ada sesiapa pun boleh melihat dan membacanya kecuali orang yang memilikinya sendiri yang tahu baik buruk hatinya. Allah Ta’alaa sentiasa lebih mengetahui segala kandungan isi hati baik atau buruk setiap hambaNya, seperti firmanNya dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 119 (maksudnya):“Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.” Ayat 119

BAIK BURUK HATI

Dalam keadaan itupun sSIS dengan tujuan jahat menggunakan “baik buruk” hati sebagai hujjah bahawa lelaki dan perempuan Islam tidak wajib memakai pakaian-pakaian yang menutup ‘aurat kerana pakaian itu merupakan hiasan luaran sahaja. Hujjah sSIS itu adalah suatu hujjah orang yang kurang akal dan sesat lagi menyesatkan orang lain.

NIAT SAHAJA TIDAK BOLEH HIDUP

Pasti sSIS tidak dapat menafikan bahawa sSIS sendiri tidak akan kenyang dan hilang dahaga bahkan sSIS boleh mati dengan hanya berniat makan dan minum sahaja tanpa sSIS menjamah, menyuap, mengunyah, dan menelan makanan, dan tanpa minum atau tanpa dimasukkan sari pati bahan-bahan makanan dan minuman melalui suntikan atau dengan apa cara sahaja ke dalam badannya.

Sayugia diingatkan kepada sSIS bahawa tiada niat yang baik pada pekerjaan maksiat, jahat dan melakukan dosa. Sebaliknya setiap perlakuan amalan baik dan ibadat yang wajib seperti solat tidak sah jika tidak mengikuti syarat dan rukun beserta dengan niat semata-mata kerana Allah Ta’alaa.

Hari Jumaat
16 Syaaban 1430 Hijriyah
7 Ogos 2009

No comments: