Sunday, June 21, 2009

HARI-HARI HARI BAPA


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Hari-hari hari bapa
Untuk menyedarkan bapa
Bapa yang lalai dan lupa
Tanggungjawab dan kewajibannya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang lari dari kerja
Bapa yang abai rumahtangga
Tinggal isteri anak sekeluarga

Hari-hari hari bapa
Bapa bekerja curi masa
Kata orang “makan gaji buta”
Dibayar dengan dana rakyat jelata

Hari-hari hari bapa
Bapa yang bergaji kecil hendak bergaya
Bapa yang berniaga untung tak seberapa
Banyak habuan dan hasil dari tipu daya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang lagak gagah perkasa
Bergaduh dengan sesiapa sahaja
Tunjuk kekuatan tenaga dan kuasa

Hari-hari hari bapa
Bapa pembesar negara
Kaya bergelar dan ternama
Hidup mewah gadai negara

Hari-hari hari bapa
Bapa yang lalai dan lupa
Hidup sihat habiskan masa
Melakukan maksiat lupakan dosa

Hari-hari hari bapa
Bapa yang suka berpoya-poya
Bersama jantan dan betina
Habis harta papa kedana

Hari-hari hari bapa
Bapa yang hidup kafir durhaka
Anak harus berbaik dengannya
Tidak wajib menta’atinya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Ber’abdi kepada Allah Yang Maha Esa
Sebagai hamba kepada Yang Maha Kuasa

Hari-hari hari bapa
Bapa beriman dan bertaqwa
Berbelanja ikut kemampuannya
Anak isteri bersyukur seadanya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Anak isteri dan keluarga dijaga selia
Semuanya menjadi ibadat belaka

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Keluarga di bawah perintahnya
Mengikut hukum Allah dan RasulNYA

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Allah perintahkan anak lelaki berbakti kepada bapa
Kerana “Redha Allah melalui redha bapanya”

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Berdo’a untuk keturunan zuriatnya
Di dunia dan di akhirat mendapat bahagia

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Tonggak silaturrahim dalam keluarga
Sumber anak-anak mendapat sejahtera

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Bapa segar jiwa dan raga
Bila anak ada bersama-samanya

Hari-hari hari bapa
Bapa beriman dan bertaqwa
Anak yang soleh menanya berita
Menjadi penawar penyejuk hati bapa

Hari-hari hari bapa
Bapa beriman dan bertaqwa
Dalam hati sentiasa ada bapa
Diberi Allah berkat hidupnya

Hari-hari hari bapa
Bapa beriman dan bertaqwa
Menerima anak dalam semua keadaannya
Kasih dan sayang anak dalam kesyukurannya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Bandingan emas perak bukan harganya
Kehadiran anak lebih tinggi nilai kepadanya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Memasuki syurga dengan rahmat Allah Ta’ala
Bersama anak dan isteri yang soleh amalan mereka


Hari Ahad
27 Jamadil Akhir 1430 Hijriyah
21 Jun 2009

No comments: