Friday, June 26, 2009

A'UDZUBILLAHI MINASY-SYAITAANIRRAJIIM



JINN IBLIS DAN SYAITAN

Adapun Jinn itu dijadikan Allah Subhanahu Wata’alaa daripada api yang tiada asap baginya(Smokeless Flame of Fire). Api itu lain daripada api yang ada dalam dunia ini dan dijadikan Allah Subhanahu Wata’alaa akan Jinn itu amat besar kejadian dan dinamakan dia “Maarij” (iaitulah bapa segala jinn) seperti Firman Allah Subhanahu Wata’alaa dalam Al-Quran, Surah Ar-Rahmaan, Ayat 15 (maksudnya):

“Dan Ia telah menciptakan jinn daripada api yang tiada asap” . Ayat 15.

Pada ketika awalnya, jinn itu bernama ‘Azazil atau ‘Azaziq dan diberi martabat malaikat kerana memiliki ‘ilmu yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’alaa kepadanya.

Tatkala dimurkai Allah Ta’alaa akan dia, maka jinn itu diubahkan namanya kepada iblis seperti yang tersebut dalam Al-Quran. Firman Allah Ta’alaa dalam Surah Al-Kahfi, Ayat 50, (maksudnya):

“Dan (ingatkanlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jinn, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaKu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu”. Ayat 50.

Ayat 50, Surah Al-Kahfi di atas menjelaskan juga bahawa kekufuran dan maksiat yang dilakukan oleh manusia adalah disebabkan mereka menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat karib yang dipatuhi selain dari Allah Ta’alaa. Pilihan yang demikian amatlah buruk lagi zalim.

Sesungguhnya jinn itu ada dan hidup dengan tiga nama yang terkenal iaitu jinn, iblis dan syaitan. Semuanya berasal dari satu unsur dan satu ciptaan tetapi ketiga-tiga jenis itu berbeza diantara satu sama lain; wujudnya, perbuatannya, dan kehidupannya.

Jinn ada yang Islam dan ada yang kafir ( beragama Yahudi, Nasrani, Majusi dan berbagai macam cara ibadat lagi). Jinn-jinn yang kafir itu adalah golongan yang jahat.

Jinn-jinn mempunyai bentuk penghidupan, ilmu pengetahuan dan sistem tersendiri. Jinn juga mempunyai umur yang panjang sehingga ada yang mencapai umurnya sepuluh ribu tahun. Ini kerana bentuk tubuh mereka tidak mengalami kerosakan dan kecacatan dengan cepat disebabkan mereka berasal dari alam “ether” dan di alam itulah mereka hidup.

Namun begitu jinn tidak hidup selama-lamanya sepertimana iblis dan syaitan hidup sampai tiupan pertama di hari kiamat. Akan tetapi mereka mati sebelumnya, generasi demi generasi. Mereka mempunyai ajal seperti manusia yang telah tertulis ajal mereka. Mereka mencapai umur itu, kemudian mati, lalu dibangkitkan untuk menjalani hisab dan hukuman atas perbuatan yang mereka telah lakukan.

Iblis dan syaitan iaitu anak cucu iblis, mereka tidak mati hingga menjelang terjadinya tiupan pertama hari kiamat setelah mereka menyesatkan manusia atau jinn dan memujuknya untuk menempuh jalan kesesatan dan menderhakai Allahu Robbul ‘Alamiin – Allah Tuhan sekalian ‘alam.

Syaitan adalah yang paling rendah di antara jenis-jenis itu dan merekalah yang berbuat kerosakan di bumi. Mereka tidak mempunyai pekerjaan, kecuali hidup dengan mengganggu makhluk-makhluk Allah, mereka itu terkutuk dan terusir dari rahmat Allah Subhanahu Wata’alaa. Mereka menganjur manusia dan jinn agar menderhakai Allah Ta’alaa.

Adapun iblis dan syaitan, mereka mempunyai kehidupan yang panjang seperti yang disebut di atas. Ketika Iblis diusir dari rahmat Allah dan dilaknat oleh Allah Ta’alaa terus menerus hingga ke hari kiamat kerana ia tidak mahu sujud kepada Adam, lalu iblis memohon kepada Tuhan supaya ia diberi tempoh sepertimana Firman Allah Subhanahu Wata’alaa dalam Surah Al-Hijr, Ayat 36, Ayat 37 dan Ayat 38 (maksudnya):

“(Iblis berkata) “Wahai Tuhanku! Jika demikian berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).” Ayat 36.

“Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh -” Ayat 37.

“Hingga ke hari - masa yang termaklum.” Ayat 38.

NAMA ANAK-ANAK IBLIS

Iblis mempunyai kerajaan yang besar: Ada ketua kerajaan (Agong, presiden, perdana menteri, menteri-menteri dan pejabat yang besar. Iblis mempunyai lima anak sebagai wakilnya (Suruhanjaya dan dutanya).

Dari Zaid bin Mujahid, dia berkata, “Iblis itu mempunyai lima anak (sebagai wakilnya), yang masing-masing anak itu diberi tugas tersendiri, lalu dia memberikan nama kepada mereka, iaitu:

1. TSABR Dia adalah ditugaskan ke tempat orang-orang yang kena musibah, menganjurkan supaya orang-orang yang kena musibah itu berduka, menangis, menempeling pipi, melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh agama dan pengakuan-pengakuan jahiliyah lainnya.

2. A’WAR Dia adalah pembawa zina, yang menyuruh manusia kepada zina dan menganggapnya baik dan bagus. Mereka menghiasi bahagian bawah dari tubuh kaum wanita ketika mereka keluar rumah, sehingga menimbulkan rangsangan bagi setiap lelaki yang memandangnya.

3. MISWATH Dia adalah pembawa dusta dan mengumpat, fitnah dan mengadu. Bahkan dia kadangkala memasuki manusia menjadikannya syaitan, mengkhabarkan suatu fitnah yang akhirnya menimbulkan permusuhan bahkan peperangan.

4. DASIM Dia ditugaskan menyusup ke dalam diri seseorang manusia tatkala ia menemui keluarganya, lalu dia menampakkan buruk cela mereka di matanya sehingga membuatnya marah-marah. Dia juga selalu berusaha dengan segala cara untuk mencerai-beraikan ikatan perkahwinan suami isteri yang sah. Dia juga menanamkan rasa kebencian dan permusuhan di kalangan suami isteri itu, sehingga terjadi perceraian. Dia sangat disayangi oleh iblis kerana kepatuhannya dan kecekapannya menggoda manusia.

5. ZAKNABUR Dia adalah menguasai pasar dan mengibarkan benderanya di pasar. Dialah yang menimbulkan pergaduhan di antara sesama manusia. Dia menyuruh peniaga-peniaga supaya curang dalam timbangan dan menimbulkan ketidakstabilan harga barangan.

“Saudara Saudari Ikatan Syaitan” adalah nama yang sesuai bagi pertubuhan puak-puak yang tersebut di atas iaitu puak-puak jinn kafir, iblis, syaitan serta anak-anaknya termasuk syaitan-syaitan jinn dan syaitan-syaitan manusia. Mereka itu mengurus, menyusun dan melaksanakan gerak kerja agenda-agenda rancangan tipudaya “MAKARU” yang menyesatkan di dalam satu ikatan.

InsyaAllah, akan disambungkan “Gerak kerja dan agenda-agenda saudara saudari ikatan syaitan” itu dalam post yang akan datang.

WALLAHU A'LAMU BISSAWAB

Hari Jumaat
3 Rejab 1430 Hijriyah
26 Jun 2009

No comments: