Thursday, April 30, 2009

IMAM YANG MENYESATKAN DAN PENUNTUT ILMU BUKAN KERANA ALLAH


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Semasa aku dan Azian berada di Kota Makkah Al Mukarramah pada musim haji 1429 Hijriyyah, kami diberi kesempatan dibawa menziarahi beberapa tempat bersejarah sekitar kota Makkah pada 26 Dzil Hijjah 1429 Hijriyyah bersamaan 24 Disember 2008.

Di antara tempat-tempat yang dibawa ialah: (1) Masjid Kucing atau Masjid Ra’yah (Bendera) (2) Masjid Asy-Syajarah (3) Masjid Jinn Dan (4) Perkuburan Ma'alaa.

KENTUCKY FRIED CHICKEN

Kami dan ramai lagi jemaah haji dari maktab yang sama iaitu Maktab 86 yang mengikuti rombongan ziarah ini telah diminta berkumpul di hadapan kedai KENTUCKY FRIED CHICKEN (KFC) yang terletak di sebelah hadapan bangunan kompleks kedai bertentangan dengan pintu-pintu masuk Masjid Al Haram. Kompleks kedai tersebut, kami diberitahu ianya dibina di atas bekas tapak rumah sahabat Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan Khalifah iaitu Saiyidina Abu Bakar Assiddiq. Kami menunggu di situ mulai dari jam 7.15 pagi untuk mendengar taklimat sebelum bergerak berjalan kaki menziarahi tempat-tempat yang tersebut di atas.

ISTANA ALLAHU ‘AZZA WA JALLAA

Baitullah ialah istana Allah Subhanahu Wata’alaa. Tersebut di dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman maksudnya: “Bahawasanya segala masjid di bumi itu istanaKU dan segala yang meramaikan dia dengan berbuat ibadat membersih di dalamnya kemudian menziarahiKU dalam istanaKU, mereka itu iaitulah yang mengunjung akan DAKU maka haruslah pada yang dikunjung itu muliakan segala mengunjung akan DIA”.

Amat layak sekali “Baitullah” itu diterjemahkan kepada “Istana Allah” atau dengan makna yang lebih tinggi daripada itu kerana Allah ‘Azza Wa Jallaa yang mempunyai kemuliaan dan kebesaran iaitu Tuhan sekalian ‘alam (Rabbul ‘Alamiin).

ISTANA TINGGI DARIPADA MASJID AL HARAM

Mula-mula sekali kami sampai di kaki bukit Abu Qubays yang mana mengandungi riwayat yang amat besar dalam sejarah manusia kerana bukit inilah yang ulung-ulung sekali atau yang pertama sekali Allah Subhanahu Wata'alaa jadikan bukit di atas muka bumi ini dan tempat terletaknya Hajar Aswad. Bukit ini berhampiran dengan Masjid Al Haram dan bersebelahan dengan bukit Safa.

Dr.Muhammad Ilyas Abdul Ghani, dalam bukunya bertajuk “THE HISTORY OF MAKKAH MUKARRAMAH” diterbitkan oleh King Fahd National Library Cataloging-in-Publication Data, 2004 di antara lain menulis:

“During the period of ignorance, this mountain was also referred to as “ameen” (trustworthy) because it bore the Hajar Aswad for a long time. Hadhrat Abdullah bin Umar radhiallahu ‘anhu reports that when the Hajar Aswad sent down from the heavens it was bright like white glass. It was then placed on Mount Abu Qubays, where it lay for forty years before Hadhrat Ibraheem ‘Alaihissalam fixed it to the wall of the Ka’abah”.

SERUAN ISLAM SECARA TERANG-TERANGAN

Selain daripada beberapa orang Nabi Allah dan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah naik ke bukit Abu Qubays setelah baginda menerima perintah daripada Allah Subhanahu Wata’alaa untuk menyeru manusia kepada Islam secara terang-terangan. Orang yang pertama sekali memeluk Islam ialah Saiyidatina Khadijah, diikuti oleh Saiyidina ‘Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Harith dan Saiyidina Abu Bakar Assiddiq dan seterusnya. Kesemua mereka ini memeluk Islam secara menyembunyikan keislaman mereka dari orang kafir pada awal permulaan Islam.

Sekarang bukit yang mulia dan mengandungi sejarah besar bagi umat Islam telah dibina istana Fahd di atasnya sesepenuh kawasan bukit itu. Tinggi istana itu pula pada hari ini melebihi tinggi Masjid Al Haram dan Baitullah - Istana Allah Subhanahu Wata’laa di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah.

RUMAH SAIYIDATINA KHADIJAH RADHIALLAHU 'ANHA

Berhampiran Masjid Al Haram berhadapan Bukit Marwah ialah tapak rumah Saiyidatina Khadijah radhiallahu 'anha bersama Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam ketika Baginda bersama isterinya Ummul Mukminiin itu.

Dr. Muhammad Ilyas Abdul Ghani, dalam bukunya bertajuk “THE HISTORY OF MAKKAH MUKARRAMAH” yang diterbitkan oleh King Fahd National Library Cataloging-in-Publication Data,2004 telah menulis diantaranya :

"The house of Ummul Mu'mineen Hadhrat Khadeejah radhiallahu ‘anha holds great significance in the history of Islaam because it was here that Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam lived from the time he married her until he migrated to Madinah. It was also here that Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam's daughters Hadhrat Zaynab radhiallahu ‘anha, Hadhrat Ruqayya radhiallahu ‘anha, Hadhrat Ummu Kulthoom radhiallahu ‘anha and Hadhrat Faatma radhiallahu ‘anha were born. Hadhrat Khadeejah radhiallahu ‘anha passed away in this house and revelation descended here on numerous occasions. It was also from here that Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam left for the Hijrah at a time when many Muslims had already left Makkah for Madinah”.

TANDAS AWAM

Rumah Saiyidatina Khadijah radhiallahu 'anha yang mulia dan barakah itu, kini telah dijadikan tandas awam oleh penguasa negeri. Suatu penghinaan terhadap Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan umatnya yang beriman kepada Allah Subhanahu Wata'alaa dan RasulNYA.

MAKTABAH

Tapak rumah di mana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dilahirkan (Maulidun-Nabi) terletak bertentangan dengan bukit Marwah dan berhampiran dengan wadi Abu Thalib. Di wadi inilah tempat tinggal keluarga Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Bani Haashim. Khalifah Abbasiyah Haron Ar Rashid membina sebuah masjid di atas tapak tersebut.

Dalam tahun 1370 Hijriyyah bersamaan tahun 1950, masjid yang dibina oleh Khalifah Haron Ar Rashid itu dirobohkan dan telah dibina sebuah bangunan yang dijadikan maktabah awam “MAKTABAH MAKKATUL MUKARRAMAH”.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabi’ul Awwal tahun Gajah, bersamaan tahun 570 A.D. di rumah yang mana tapaknya sekarang telah menjadi ‘MAKTABAH MAKKATUL MUKARRAMAH”.

Atas keagungan dan kemuliaan Baginda, pada ketika kelahiran Baginda telah timbul tujuh mukjizat, dua di antaranya:

1. Syaitan-syaitan dilarang naik ke langit, ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dilahirkan. Padahal sebelumnya syaitan-syaitan itu dapat naik dan turun ke langit, untuk mendengar percakapan serta perbualan yang dilakukan oleh para malaikat. Ketika syaitan-syaitan itu dilarang naik ke langit itu, maka mereka berkumpul dan menemui iblis, mereka berkata: “Dulu kami boleh naik ke langit, tetapi hari ini kami telah dilarang untuk naik.” Iblis menjawab: “Bersabarlah kamu semua di permukaan bumi, dari barat sampai ke timur dan perhatikan dengan baik-baik apa sebenarnya yang telah terjadi.” Mereka berusaha mencari. Akhirnya setelah mengelilingi timur dan barat, sampailah mereka ke kota Makkah Al Mukarramah. Di sana mereka melihat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sedang dikelilingi oleh para Malaikat, dan memancar cahaya dari dirinya hingga naik ke langit, sedangkan malaikat-malaikat itu saling memberi ucapan selamat dan sejahtera antara satu dengan yang lain. Kemudian pulanglah syaitan-syaitan itu menemui iblis, sambil menceritakan semua apa yang telah mereka lihat. Maka iblis pun berkata: “Telah lahir “Ayatul ‘Alam” dan rahmat bagi bani Adam, kerana itulah kamu semua telah dicegah untuk naik ke langit, tempat pandangannya dan pandangan umatnya.”


2. Terdengar suara dari sudut-sudut Ka’abah:
§ Dari sudut pertama terdengar ucapan: “Telah datang kebenaran Islam, dan kebatilan tidak akan datang lagi”.
§ Dari sudut kedua terdengar ucapan: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu. Sangat menginginkan keimanan dan keselamatan bagimu. Amat belas kasihan dan penyayang terhadap orang-orang mukmin.
§ Dari sudut ketiga terdengar ucapan: “Telah datang kepadamu cahaya (Nabi) dari Allah dan kitab (Al-Quran) yang menerangkan”.
§ Dari sudut keempat terdengar ucapan: “Hai Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sesungguhnya KAMI telah mengutusmu sebagai Rasul untuk menjadi saksi, dan sebagai pembawa berita gembira serta pemberi amaran, dan untuk menjadi penyeru kepada agama Allah dengan izinNYA dan untuk menjadi cahaya yang terang”.

MENIPU DUNIA DENGAN AGAMA ISLAM

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengingatkan akan fitnah dunia pada akhir zaman tentang adanya dua perkara tersebut ini:

PERTAMA – IMAM YANG MENYESATKAN

Imam atau penguasa negeri (dengan apa-apa jua gelaran yang digunakan) yang jahil segala hukum syara’ serta memerintah dan mentadbir mengikut fikirannya dan anggota-anggota penasihat yang bukan terdiri daripada kalangan ulama’-ulama’ sebenar yang mengamalkan hukum-hulum Allah Subhanahu Wata’alaa. Sekarang ini terdapat penasihat-penasihat dan penguasa-penguasa negeri yang mana penduduknya kebanyakkan orang-orang Islam (muslim state) terdiri daripada ulama-ulama suu’ (jahat) dan orang-orang yang mendapat pendidikan dan kelulusan dalam bidang-bidang Agama Islam daripada profesor-profesor yang bukan Islam seperti profesor-profesor Yahudi, Nasrani (kristian) dan orientalis samada di universiti-universiti dalam negeri masing-masing atau di luar negeri.

Penguasa-penguasa negeri itulah yang disebut Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai imam-imam yang menyesatkan yang ditakuti Baginda; sepertimana Hadis yang diriwayatkan daripada Thauban katanya: Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (mafhumnya): “Hanya sanya aku takut atas umatku imam-imam yang menyesatkan orang-orang maka dapat bahaya besar orang-orang itu dengan sebabnya”. At-Tarmidzi.

KEDUA – MENUNTUT ILMU UNTUK MENIPU DEMI KEPENTINGAN DUNIA

Orang-orang Islam yang menuntut ilmu bukan kerana Allah itu ada tersebut di dalam beberapa Hadis, di antaranya seperti tersebut dalam Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi; daripada Ibnu Umar, daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda (mafhumnya): “Sesiapa menuntut ilmu kerana lain daripada Allah atau berkehendak dengan dia lain daripada Allah, maka hendaklah ambil tempat duduknya daripada neraka.” Hasan Gharib.

Dan dalam sebuah Hadis yang lain: Daripada Abdullah bin Abbas, daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda (mafhumnya): “Bahawasanya orang-orang daripada umatku lagi akan menuntut faham pada Agama, membaca mereka itu akan Al-Quran, berkata mereka itu: “Kita pergi kepada raja-raja (penguasa-penguasa negeri) maka kita ambil daripada dunia mereka itu, dan kita muliakan mereka itu dengan agama kita”, dan tiada demikian itu sebagai barang yang tiada dipetik daripada pohon duri melainkan duri, demikian jua tiada dipetik daripada hampir dengan mereka melainkan dosa-dosa”.

Dengan yang demikian, ada orang-orang yang menuntut ilmu bukan dengan kerana Allah di antara mereka ada yang menuntut dan mendapat kelulusan daripada Yahudi dan Nasrani itu memegang jawatan tinggi dalam negeri yang diperintah oleh imam-imam atau penguasa negeri orang-orang Islam (muslim state) tersebut sebagai menteri , mufti, kadi, pensyarah-pensyarah di universiti atau di institusi-institusi pengajian lain.

Tak salah jika dikatakan bahawa mereka yang mendapat kelulusan daripada Yahudi dan Nasrani itu, akan mengikut pemikiran sealiran dengan lorong-lorong laluan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang secara sedar atau tidak sedar, mereka akan menerap dan menarik orang-orang Islam ke jalan mereka dengan percambahan pencemaran ke dalam minda-minda orang-orang Islam melalui dakwah yang menyelewengkan, petua-petua dan pengajaran-pengajaran yang boleh menimbulkan waswas dan kekeliruan dalam akidah Islamiyah.

Ulama’-ulama’ suu’ juga menjadi ahli-ahli politik yang memerintah dan mentadbir negara atau negeri. Di sebalik mereka bercakap tentang kebaikan Islam dan perpaduan ummah, mengutuk kafir dan Zionist siang dan malam melalui media-media dan ceramah-ceramah untuk menarik perhatian dan sokongan umum orang-orang Islam, sebenarnya merekalah orang-orang yang menentang pemerintahan Islam serta mencemuh setengah-setengah hukum-hukum syari’e dan terus menjalankan pemerintahan negara atau negeri mengikut sekularisma.

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman (mafhumnya): “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). ..” Surah Al Baqarah, Ayat 120.

MENGHILANGKAN SEJARAH DAN ARTIFAK-ARTIFAK SEJARAH ISLAM

Ahli-ahli kitab dari kaum-kaum Yahudi dan Nasrani, kaum-kaum munafik dan kafir, mereka senantiasa berniat jahat terhadap Allah Subhanahu Wata’alaa dan Rasul-rasulNYA ‘Alaihimussalam. Mereka itu bersepakat dalam semua zaman untuk menghapuskan diin (Agama) Allah Subhanahu Wata’alaa, dengan berbagai-bagai rancangan jahat mereka. Di antaranya mereka mencuba mengubah alih dan menghapus kesan-kesan sejarah dan tanda-tanda kebangkitan Islam khususnya dari zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kerana mulai dari zaman itulah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berkembang menyinari ke seluruh alam supaya kesan-kesan sejarah dan kesan bukti (artifacts) itu tidak dilihat dan diingati dan menjadikan Islam itu dipandang sebagai agama rekaan manusia yang tidak mempunyai asas dan bukti yang kukuh dan nyata.

Cara memusnah tempat-tempat bersejarah Islam juga berlainan di antara satu sama lain mengikut nafsu jahat, masa dan peristiwa. Umpamanya penguasa-penguasa negeri orang-orang Islam itu meruntuh dan memusnahkan tempat-tempat yang berkenaan dengan alasan-alasan yang diada-adakan; atau dengan cara beragenda dan bersekongkol dengan orang-orang kafir atau kuasa-kuasa luar yang anti-Islam untuk menyerang dan mengebom bangunan-bangunan bersejarah Islam itu dengan alasan di sana menjadi tempat perlindungan “terrorist-terrorist”. Mereka menuduh bahawa masjid-masjid dan madrasah-madrasah yang bersejarah yang dijadikan tempat pengajian Al-Quran dan Hadis menjadi “factories” yang menjanakan “terrorist-terrorist” untuk menjustifikasikan perbuatan meroboh dan memusnahkan tempat-tempat pembangunan Islam itu. Dengan perbuatan-perbuatan jahat tersebut, mereka juga memenjara, membunuh dan menganiayai penduduk-penduduk Islam tanpa belas kasihan.

WORLD HERITAGE

Berbeza dengan harta-harta bahan sejarah warisan Islam, UNESCO setakat ini telah membuat penilaian dan mewartakan sebanyak 878 harta-harta warisan dunia “World Heritage” . Harta-harta itu terdiri daripada; harta warisan sejarah, budaya dan alam semulajadi. Semua harta-harta itu dijaga supaya tidak rosak atau dimusnahkan apa-apa bentuk ukiran, lukisan, rupa bentuk senibina dan sebagainya.

Sekiranya ada penemuan-penemuan baru akan harta-harta atau bahan-bahan peninggalan lama yang bersejarah, mereka akan “restore”kan semula mengikut rekabentuk yang asal harta-harta itu. Tujuannya ialah supaya harta-harta atau bahan-bahan itu dijadikan bahan kajian dan peringatan sejarah kepada orang-orang yang akan datang.

Bagi sesetengah negeri pula, pemilihan dan penilaian atas harta warisan sejarah di negeri-negeri berkenaan dibuat oleh penguasa-penguasa negeri itu sendiri. Di antaranya termasuk bangunan-bangunan yang ditinggalkan oleh saudagar-saudagar atau rumah-rumah kedai mereka termasuklah juga bangunan-bangunan tempat penyembahan yang dikatakan ada memiliki nilai senibina dan tamadun yang tinggi untuk dipelihara, diselia serta diwartakan.

PEMBANGUNAN FIZIKAL

Pada masa kini terdapat penguasa-penguasa negeri bagi sesetengah negeri orang-orang Islam (muslim state) berlumba-lumba mengadakan pembangunan fizikal dalam negeri masing-masing, termasuklah membina masjid-masjid baru di tempat baru dan membina masjid baru bagi menggantikan masjid-masjid lama.

Pembangunan masjid-masjid itu dilihat amat pesat sekali sehingga terlupa dengan pembangunan rohani untuk mentarbiyahkan rakyat kepada taqwa kepada Allah Subhanahu Wata’alaa. Terdapat di antara masjid-masjid yang cantik dan indah rekabentuk senibina dan hiasan dalamannya tetapi tiada ramai jemaah yang bersolat waktu dan beribadat dengan sepatutnya sesuai dengan besar dan indahnya masjid-masjid itu.

MASJID DHIRAR

Sebagai iktibar, eloklah diimbas kembali sejarah bilamana terdapat pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, orang-orang munafik telah mendirikan sebuah masjid yang indah dan menarik di Qubaa’ tidak jauh dari Bandar Madinah Al Munawarah. Masjid itu terkenal dengan nama “Masjid Dhirar” (masjid yang ada bahayanya).

Berhubung dengan masjid dhirar itu, Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman dalam Surah At-Taubah Ayat 107 dan Ayat 108, maksudnya:
“Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri), serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNYA sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: “Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata”. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. ( Ayat 107).

“Jangan engkau solat di masjid itu (masjid dhirar) selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
(Ayat 108).

PENINDASAN HALUS

Pada masa kini kelihatan daripada apa yang dizahirkan bahawa rata-rata akidah umat Islam dalam negeri-negeri yang penduduknya Islam adalah rapuh mudah dipecah-belahkan atau senang dikecai- beraikan seperti buih air. Mereka tiada keyakinan iman dan taqwa kepada Allah Subhanahu Wata’alaa.

Dalam keadaan umat Islam berarusan sebegitu rupa, maka mudahlah bagi penguasa-penguasa negeri yang mempunyai penyakit busuk dalam hati mereka terhadap Allah Subhanahu Wata’alaa, menyusun rancangan-rancangan jahat memanipulasikan rakyatnya. Di samping itu sedikit demi sedikit dapatlah mereka menindas orang-orang yang beriman di dalam negeri sendiri. Adalah menjadi lebih-lebih jahat lagi bilamana penguasa-penguasa itu sanggup bersekongkol pula dengan orang-orang kafir atau dengan kerajaan kafir untuk semata-mata menindas orang-orang yang beriman dalam semua segi aspek kehidupan mereka, sedangkan mereka (orang-orang yang beriman) itu adalah sebahagian daripada rakyat negeri berkenaan.

Penguasa-penguasa negeri-negeri orang Islam itu (muslim state) mengambil kesempatan menggunakan helah tipu daya mereka secara halus. Mereka disamping membina masjid- masjid untuk dilihat rakyat seperti yang disebut di atas, mereka juga menyusun kurikulum-kurikulum pendidikan Agama Islam di sekolah-sekolah dan institusi-institusi mengikut agenda-agenda yang boleh mengelirukan dan menghakiskan kefahaman kanak-kanak sekolah dan pelajar-pelajar di semua peringkat pembelajaran mengenai hak Islam yang lurus dan benar.

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman maksudnya: “Dan demikianlah KAmi adakan dalam tiap-tiap negeri pembesar-pembesar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya”. Surah Al-An’aam, Ayat 123.

ADA AYAPAN ADA IMAN

Bila rakyat dapat ditipunya, maka penguasa-penguasa negeri yang jahat itu mula mencengkam kehidupan rakyat jelata dengan menjadikan mereka takut dengan kezaliman dan kepayahan hidup dan sentiasa bergantung kepada penguasa-penguasa itu. Walau apapun untuk terus hidup, rakyat terpaksa berada dalam keadaan tertindas dan dizalimi.

Dalam Al-Quran banyak kisah-kisah yang diriwayatkan di antaranya kisah Fira’un yang zalim, yang mengaku dirinya tuhan. Di zaman Nabi Musa ‘Alaihissalam di antaranya ada dikisahkan bagaimana bani Israel iaitu rakyat Fira’un amat gerun dan takut kepadanya.

Untuk menyampaikan dakwah kepada Fira’un dan rakyatnya, Allah Subhanahu Wata’alaa memberi sembilan mukjizat kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam. Pun begitu payah bagi mereka meninggalkan Fira’un untuk beriman kepada Allah Subhanahu Wata’alaa dan untuk taat kepada RasulNYA Musa ‘Alaihissalam. Selain daripada takutkan Fira’un, bani Israel memandang Nabi Musa ‘Alaihissalam seorang yang miskin tidak berharta dan tidak memiliki emas dan perak yang boleh memberi makan dan minum serta kesenangan kepada mereka. Mereka yang kurang akal itu tak ubah seperti binatang, bahkan lebih bodoh lagi daripada binatang yang tidak mempunyai akal dan tak mampu untuk berfikir selain daripada makan dan minum, dan leka dengan kesenangan, kelazatan dan kesedapan dunia.

Telah diceritakan bahawa di antara bani Israel yang menjadi pengikut Nabi Musa ‘Alaihissalam pernah merasai waswas terhadap kepimpinan Nabi Musa ‘Alaihissalam dalam peristiwa di mana Nabi Musa ‘Alaihissalam dan kaumnya itu dikejar Fira’un dan bala tenteranya yang besar. Apabila Nabi Musa ‘Alaihissalam sampai di pantai laut Merah, mereka tidak dapat hendak lari lagi kerana di hadapan mereka ialah laut dan di belakang mereka ialah Fira’un serta bala tenteranya yang sedang mara untuk menangkap dan membunuh mereka.

Kaum bani Israel yang beriman yang menjadi pengikut Nabi Musa ‘Alaihissalam pun bila berada pada saat yang genting dan dalam situasi menggerunkan mereka itu, menjadikan sesetengah daripada mereka hilang kepercayaan kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam. Mereka mula mempersoalkan kedudukan mereka dan berkata bahawa jika mereka tidak ikut Nabi Musa ‘Alaihissalam dan tetap tinggal bersama-sama Fira’un, mereka tidak susah dan sekurang-kurangnya mereka boleh mendapat ayapan daripada Fira’un.

KEKUATAN IMAM-IMAM YANG MENYESATKAN

Mengikut sejarah bahawa Fira’un pada zaman Nabi Allah Musa ‘Alaihissalam itu adalah seorang Fira’un yang banyak diceritakan dalam Al-Quran yang mengaku dirinya tuhan dan amat sombong , takabbur dan zalim. Dengan itu bolehlah disebutkan bahawa ia adalah seorang maha Fira’un. Maha Fira’un dengan Perdana Menteri (PM)nya yang bernama Hamaan memotong anggota badan, kaki dan tangan orang-orang yang beriman serta orang-orang yang ingkar perintahnya. Maha Fira’un dan Perdana Menteri Hamaan membunuh semua perempuan-perempuan yang mana dapat dikesannya mengandung dengan membelah perut-perut mereka untuk menghalang kelahiran Nabi Allah Musa ‘Alaihissalam.

Maka adalah dilihat bahawa kekuatan dan ketakabburan maha Fira’un itu amat besar terletak pada Perdana Menteri (PM)nya Hamaan bersama-sama dengan menteri-menteri, penasihat-penasihat, pendita-pendita dan tukang-tukang sihirnya.

Sesungguhnya kekuatan bagi imam-imam atau penguasa-penguasa yang menyesatkan itu pula bergantung besar kepada para-para penasihat dan orang-orang di sekelilingnya iaitu penuntut-penuntut ilmu yang bukan kerana Allah Subhanahu Wata’alaa, yang menjadi ulama-ulama suu’ (jahat), orientalis-orientalis dan mereka yang mendapat kelululusan daripada Yahudi dan Nasrani khususnya dalam bidang-bidang pengajian Agama Islam. Tanpa mereka itu berada di sekelilingnya, maka imam-imam atau penguasa-penguasa yang menyesatkan itu tiada apa-apa padanya.

ALLAHU A’LAMU BISSAWAB.


Catatan di Makkah Al Mukarramah
Hari Khamis
26 Dzil Hijjah 1429 Hijriyyah
24 Disember 2008

No comments: