Friday, October 19, 2007

YA ALLAH, RAHMATI DAN KASIHANI ROH-ROH ORANG MUKMIN


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM


Suatu catitan Tok Ayah sempena Hari Raya 'Aidul Fitri, 1 Syawal 1428 Hijriyah bersamaan 13 Oktober 2007 iaitu hari Sabtu selepas Tok Ayah dan Ayahanda-ayahanda Dzil Azza dan Ahmad Rohi menziarahi kubur Allahyarhamah Tok Mama Hajah Zakiah binti Haji Rajihan.


Orang-orang yang hidup rakan atau keluarga

Menghadiahkan kepada orang mati dalam kuburnya

Bacaan Al-Quran dan tahlil di mana-mana sahaja

Hadiah pahalanya sampai jua




Dari 'Aisyah r.a. Nabi bersabda mafhumnya

"Tiada lelaki menziarah dan duduk di kubur saudaranya

Melainkan beramah mesra orang itu dengan dia

Sehingga bangun pulang orang yang menziarahinya"





Sunat muakkad hukum menziarahi kubur ibu bapa

Sesampai ke kubur teruslah beri salam sejahtera

Ucapan bermula dari pihak mukanya

Bila berdoa, menghadap kiblat di belakangnya




Hari-hari yang afdal masanya

Petang Khamis, Jumaat dan Sabtu sebelum senja

Allah izinkan arwah mengetahui orang yang menziarahinya

Di hari-hari yang lain pun boleh juga tetapi tak sama afdalnya




Orang mati ibarat orang karam di lautan

Menanti-nanti siang dan malam dengan harapan

Mendapat doa dan istighfar daripada anak-anak dan taulan

Untuk membantu menjadikannya bekalan amalan




Dari Abu Hurairah r.a. katanya

Nabi S.A.W. bersabda mafhumnya

"Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia

Putuslah sudah semua amalannya




Kecuali ada tiga perkara

SEDEKAH JARIAH yakni wakafnya

ILMU yang bermanafaat dengannya

Dan ANAK YANG SOLEH yang mendoakan baginya"


No comments: