Friday, July 31, 2015

PERHIASAN CAHAYA


AIR WUDUK PERHIASAN MUKMIN

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata: “Aku telah mendengar kekasihku Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Perhiasan orang mukmin pada hari kiamat akan sampai sehingga ke tempat yang sampai air wuduk.” (Yakni setakat mana air wuduk sampai pada anggota manusia setakat itulah seseorang itu akan dipakaikan perhiasan pada hari kiamat).”  (Muslim)


MENAMBAHKAN CAHAYA

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan tangan, kaki  dan wajah mereka bercahaya kerana kesan daripada wuduk yang mereka ambil.

Oleh sebab itu, sesiapa yang ingin menambahkan cahayanya maka lakukanlah (dengan cara menambahkan kawasan basuhan anggota wuduknya).”  (Bukhari)


Keterangan:  Maksudnya ialah hendaklah mengambil wuduk dengan mengambil berat segala adab dan tertibnya sehingga tiada satu bahagian pun daripada anggota wuduk itu yang dibiarkan tidak dibasuh.  (Mazahir ul-Haq)


WUDUK YANG PALING SEMPURNA

Daripada Humran rahimahullahu ta’ala, hamba sahaya Sayyidina ‘Usman bin ‘Affan radhiallahu ‘anh yang telah dibebaskan meriwayatkan bahawa Sayyidina ‘Usman radhiallahu ‘anh telah meminta seseorang mengambil air untuk berwuduk.

Beliau membasuh kedua-dua tangannya tiga kali kemudian beliau berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung.

Kemudian beliau membasuh mukanya tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke siku tiga kali dan beliau membasuh tangan kirinya demikian juga.

Kemudian beliau menyapu kepalanya dan kemudian beliau membasuh kaki kanannya sehingga ke buku lali tiga kali dan kemudian beliau membasuh kaki kirinya demikian juga.

Kemudian beliau berkata: “Saya telah melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berwuduk sebagaimana wuduk saya ini kemudian Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesiapa yang berwuduk sebagaimana wudukku ini kemudian dia mendirikan solat dua rakaat dalam keadaan dia tidak memikirkan tentang apa-apa pun maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.”

Ibnu Syihab rahimahullahu ta’ala berkata: “Para ulama kita selalu berkata bahawa wuduk sebegini ialah wuduk yang paling sempurna untuk solat.”  (Muslim)


  
Hari Juma’at
15 Syawal 1436 Hijriyah
31 Julai 2015


Friday, July 3, 2015

MANUSIA DITUKAR RUPA


Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Apabila harta rampasan dijadikan harta persendirian,

amanah dijadikan sebagai harta rampasan yakni amanah tidak ditunaikan bahkan digunakan untuk keperluan sendiri,

zakat dianggap sebagai denda yakni zakat tidak dikeluarkan dengan rela hati,

ilmu tidak dipelajari untuk agama bahkan untuk mendapatkan dunia,

lelaki mentaati isterinya dan menderhaka ibunya,

seseorang itu menghampiri kawannya sebaliknya menjauhkan bapanya,

menzahirkan suara bising di dalam masjid,

orang fasik mula menjadi pemimpin,

ketua kaum ialah orang yang paling hina dalam kalangan mereka,

seseorang lelaki itu dimuliakan kerana takutkan kejahatannya,

penyanyi-penyanyi wanita dan alat-alat muzik menjadi kebiasaan,

arak diminum secara umum, dan

golongan (generasi) terkemudian umat ini mencela golongan yang sebelumnya,


Maka tunggulah pada ketika itu:

angin yang berwarna merah,

gempa bumi,

ditelan oleh bumi,

manusia ditukar rupa mereka,

batu dihujani dari langit, dan

mala petaka akan datang berturut-turutan seperti butiran permata yang gugur laju dari tali karangnya yang putus.”  (At-Tirmidzi)



Hari Juma’at
16 Ramadhan 1436 Hijriyah
3 Julai 2015



Friday, June 26, 2015

KISAH DALAM MIMPI


Bahagian Satu

Daripada Samurah bin Jundub radhiallahu ‘anh berkata:

“Adalah kebiasaan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertanya kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum:

“Adakah sesiapa antara kamu yang bermimpi?”

Maka seseorang akan menceritakan mimpinya kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan mentafsirkannya.

Pada suatu pagi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Semalam aku bermimpi didatangi dua orang malaikat. Mereka membangunkanku dan berkata: “Mari”. Aku pun berpergian bersama mereka.

Kami telah melalui berhampiran seorang lelaki yang sedang berbaring manakala seorang lagi berdiri di sisinya memegang seketul batu besar.  Dia menghumban batu itu ke kepala orang yang berbaring, kepalanya pecah dan batu bergolek jauh. Lalu dia pergi mengambil batu itu kembali. Apabila dia kembali kepala yang pecah tadi telah bercantum
seperti sediakala. Kemudian dia mengulang lagi perbuatannya seperti kali yang pertama.

Aku berkata: “SubhanAllah! Apakah ini?”

Mereka menjawab: “Terus berjalan! Terus berjalan!”

Kami teruskan perjalanan. Kami pergi kepada seorang lelaki yang sedang terlentang dan seorang lagi berdiri di sisinya sambil memegang pencakuk daripada besi. Dia pergi ke bahagian sebelah mukanya lalu merobek pipinya begitu juga hidung dan matanya hingga ke tengkuk. Kemudian dia beralih ke sebelah bahagian lagi lalu melakukan perkara yang sama seperti pada bahagian yang pertama tadi. Belum pun dia selesai daripada bahagian yang kedua, bahagian yang pertama telah pulih seperti sediakala maka dia pergi kembali dan mengulangi seksaan  tersebut.

Aku berkata kepada para malaikat itu: “SubhanAllah! Siapakah mereka berdua?”

Mereka menjawab: “Terus berjalan! Terus berjalan!”

Kami teruskan perjalanan sehingga kami sampai kepada sesuatu seperti dapur pembakar roti. Dari dalamnya kedengaran bunyi bising. Aku menjengah ke dalamnya maka di dalamnya terdapat lelaki-lelaki dan wanita-wanita dalam keadaan berbogel. Keluar api dari bawah mereka.
Apabila api menjulang menyambar, mereka menjerit-jerit.

Aku berkata kepada para malaikat itu: “Siapakah mereka?”

Mereka menjawab: “Terus berjalan! Terus berjalan!”

Kami teruskan perjalanan sehingga kami sampai kepada sebatang sungai yang berwarna merah seperti darah dan di dalamnya terdapat seorang lelaki sedang berenang dan di tepi sungai pula ada seorang lelaki lain yang telah menghimpun banyak batu di sisinya. Apabila lelaki yang berenang tadi menghampiri tebing dan datang kepada orang yang mengumpul banyak batu maka dia akan membuka mulutnya lalu lelaki di tepi tebing akan melemparkan batu ke dalam mulutnya (yang menyebabkan dia terhumban kembali ke tengah sungai). Kemudian dia akan berenang kembali ke tebing. Setiap kali dia menghampiri tebing lelaki itu akan menghumbankan batu ke dalam mulutnya.

Aku berkata kepada para malaikat itu: “Siapakah mereka?”

Mereka menjawab: “Terus berjalan! Terus berjalan!”

Kami teruskan perjalanan sehingga kami sampai kepada seorang lelaki yang sangat hodoh rupanya seperti orang yang paling  hodoh pernah kamu lihat. Di tepinya ada api yang dia sedang nyalakan dan dia berjalan mengelilinginya.

Aku berkata kepada para malaikat itu: “Apakah ini?”   

Mereka menjawab: “Terus berjalan! Terus berjalan!”

Kami teruskan perjalanan sehingga kami sampai kepada suatu taman yang segar hijau yang di dalamnya terdapat segala jenis bunga-bunga pada musim bunga. Di hadapan taman itu ada seorang lelaki yang sangat tinggi yang hampir-hampir aku tidak nampak kepalanya yang tinggi menjulang ke langit. Di sekeliling lelaki itu ramai kanak-kanak kecil yang aku tidak pernah melihat mereka seumpama itu.

Aku berkata kepada para malaikat itu: “Siapakah dia? Siapakah mereka?”

Mereka menjawab: “Terus berjalan! Terus berjalan!”

Kami teruskan perjalanan sehingga kami sampai ke satu taman yang sangat besar yang tidak pernah aku lihat satu taman yang lebih besar dan lebih cantik daripadanya.

Mereka berdua berkata kepadaku: “Naik.”

Aku pun naik, kami naik sehingga kami sampai ke satu bandar yang dibina dengan (berselang-seli) seketul bata daripada emas dan seketul bata daripada perak. Kami sampai di pintu bandar lantas kami meminta supaya pintu dibuka maka pintu dibuka untuk kami dan kami pun masuk. Kami bertemu lelaki-lelaki yang separuh tubuh mereka secantik-cantik orang yang pernah kamu lihat dan separuh tubuh mereka lagi seperti sehodoh-hodoh orang yang pernah kamu lihat.

Kedua-dua malaikat itu berkata kepada mereka: “Pergi dan terjunlah ke dalam sungai itu.”

Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Aku lihat ada sebatang sungai yang lebar sedang mengalir yang airnya seputih susu. Mereka pun pergi dan terjun ke dalamnya kemudian mereka kembali kepada kami. Sesungguhnya rupa buruk mereka telah hilang dan mereka telah berubah menjadi secantik-cantik rupa.”

Para malaikat itu berkata kepadaku: “Ini ialah syurga ‘Adn dan ini ialah kediaman kamu.”

Mata aku memandang ke atas, aku melihat sebuah mahligai seperti awan yang berwarna putih.

Mereka berkata: “Ini ialah kediaman kamu.”

Aku berkata kepada mereka berdua: “Semoga  ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA memberkati kamu berdua, biarkan aku, aku ingin memasukkinya.”

Mereka menjawab: “Sekarang belum tiba masanya. Dan kelak kamu akan memasukkinya.”


Hari Juma’at
9 Ramadhan 1436 Hijriyah
26 Jun 2015


KISAH DALAM MIMPI


Bahagian Dua

Aku berkata kepada mereka berdua: “Sejak semalam aku melihat perkara-perkara yang pelik.  Apakah perkara-perkara yang aku lihat itu?”

Mereka berkata: “Sekarang sesungguhnya kami akan memberitahu kamu.  Adapun lelaki pertama yang dipecahkan kepalanya, dia ialah seorang lelaki yang mempelajari Al-Quran dan dia meninggalkannya (dia tidak membacanya dan beramal dengannya) dan dia tidur tanpa menunaikan solat  fardhu.

Adapun orang yang dirobekkan pipi, hidung dan matanya,  dia ialah seorang lelaki yang keluar sejak awal pagi lagi dari rumahnya bercakap bohong (dan) pembohongannya tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Adapun lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang berbogel yang berada di dalam dapur tempayan pembakar roti ialah penzina-penzina lelaki dan wanita.

Adapun lelaki yang sedang berenang di dalam sungai dan dihumban dengan batu ke dalam mulutnya ialah orang yang makan riba.

Adapun lelaki yang hodoh rupa parasnya yang menyalakan api dan berjalan mengelilinginya ialah Malik ‘alaihissalam penjaga neraka jahanam.

Adapun lelaki yang tinggi yang berada di taman itu ialah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan kanak-kanak di sekelilingnya itu ialah setiap kanak-kanak yang mati atas fitrah (Islam).”

Sebahagian orang Islam bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan anak-anak orang musyrikin?”

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Anak-anak orang musyrikin juga (di sana).”

Adapun orang yang sebahagian badan mereka cantik dan sebahagian lagi hodoh ialah kaum yang mencampurkan amalan yang baik dan amalan yang buruk,  ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA mengampunkan dosa mereka.  (Bukhari).



Hari Juma’at
9 Ramadhan 1436 Hijriyah
26 Jun 2015




Friday, May 8, 2015

E471


LEMAK BABI ATAU BIJIRIN

Bar code E471 sering menjadi polemik di antara sesetengah kelompok orang-orang Islam di Malaysia ini.

Dikatakan bahawa bar code tersebut sebagai petunjuk kepada produk-produk makanan dan minuman mengandungi lemak-lemak samada lemak itu daripada babi atau bijirin dan sayur-sayuran.

Bagi pengguna-pengguna Islam amatlah payah untuk mereka mengetahui kandungan lemak dalam sesuatu produk itu samada ia mengandungi lemak babi atau lemak bijiran dan sayur-sayuran kerana bar code E471 itu hanya menunjukkan produk-produk tersebut mengandungi lemak dan tidak dinyatakan samada ia lemak babi atau lemak bijiran dan sayur-sayuran.

Bagi pengguna-pengguna kafir, lemak babi itu adalah makanan mereka.

Di samping itu, terdapat juga sesetengah orang-orang Islam yang tidak mengambil kisah mengenai dengan bar code E471 itu.  Perkara ini tidak menjadi masalah bagi mereka asalkan produk-produk yang mengandungi  E471 adalah kegemaran dan kesukaan mereka.


LEMAK BABI BANYAK

Jika diambil kira cara memproseskan bahan-bahan untuk mendapatkan  lemak-lemak yang ditunjukkan dengan bar code E471 itu,  maka secara mudah difikirkan bahawa untuk mendapatkan lemak dengan lebih mudah, cepat dan banyak ialah daripada babi, berbanding dengan cara mendapatkan lemak-lemak bijirin dan sayur-sayuran kerana bijirin dan sayur-sayuran kandungan peratusan lemaknya amat sedikit.


FATWA-FATWA YANG BERBEZA

Di Malaysia ini, terdapat sesetengah pihak mengeluarkan fatwa-fatwa yang berbeza-beza di antara satu sama lain dalam sesuatu masalah termasuklah perkara bar code E471 ini yang mana ianya telah menjadi kekeliruan dan membawa kepada perpecahan fahaman yang ketara.

Keadaan tersebut mungkin berlaku di atas beberapa sebab dan di antaranya:

Pertama:  Samada tidak ada orang-orang Islam yang sebenar-benarnya membuat penganalisaan khusus secara saintifik bagi menentukan apakah bahan-bahan lemak yang dimaksudkan dalam bar code E471 itu. 

Kedua:  Terdapat pihak-pihak yang mengeluarkan fatwa-fatwa secara berkumpulan atau secara bersendirian yang ghairah hendak berfatwa walaupun mereka jahil. 

Ketiga:  Terdapat banyak berbezaan fatwa-fatwa mengenai hukum halal dan haram di antara Ahlussunnah Wal Jamaah dan pendukung-pendukung fahaman Wahabi yang diasaskan oleh Mohamad bin Abdul Wahab (lahir 1115H/1703M - mati 1206H/1792M).


PILIHAN SENDIRI

Maka sesiapa yang guna, makan dan minum produk-produk yang ada bar code E471 itu adalah di atas pilihan dirinya sendiri dan ia juga bertanggungjawab atas makan minum keluarganya.   


WALLAHU A’LAMU BISSAWAB


Hari Juma’at
19 Rejab 1436 Hijriyah
8 Mei 2015