Friday, July 31, 2015

PERHIASAN CAHAYA


AIR WUDUK PERHIASAN MUKMIN

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata: “Aku telah mendengar kekasihku Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Perhiasan orang mukmin pada hari kiamat akan sampai sehingga ke tempat yang sampai air wuduk.” (Yakni setakat mana air wuduk sampai pada anggota manusia setakat itulah seseorang itu akan dipakaikan perhiasan pada hari kiamat).”  (Muslim)


MENAMBAHKAN CAHAYA

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan tangan, kaki  dan wajah mereka bercahaya kerana kesan daripada wuduk yang mereka ambil.

Oleh sebab itu, sesiapa yang ingin menambahkan cahayanya maka lakukanlah (dengan cara menambahkan kawasan basuhan anggota wuduknya).”  (Bukhari)


Keterangan:  Maksudnya ialah hendaklah mengambil wuduk dengan mengambil berat segala adab dan tertibnya sehingga tiada satu bahagian pun daripada anggota wuduk itu yang dibiarkan tidak dibasuh.  (Mazahir ul-Haq)


WUDUK YANG PALING SEMPURNA

Daripada Humran rahimahullahu ta’ala, hamba sahaya Sayyidina ‘Usman bin ‘Affan radhiallahu ‘anh yang telah dibebaskan meriwayatkan bahawa Sayyidina ‘Usman radhiallahu ‘anh telah meminta seseorang mengambil air untuk berwuduk.

Beliau membasuh kedua-dua tangannya tiga kali kemudian beliau berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung.

Kemudian beliau membasuh mukanya tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke siku tiga kali dan beliau membasuh tangan kirinya demikian juga.

Kemudian beliau menyapu kepalanya dan kemudian beliau membasuh kaki kanannya sehingga ke buku lali tiga kali dan kemudian beliau membasuh kaki kirinya demikian juga.

Kemudian beliau berkata: “Saya telah melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berwuduk sebagaimana wuduk saya ini kemudian Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesiapa yang berwuduk sebagaimana wudukku ini kemudian dia mendirikan solat dua rakaat dalam keadaan dia tidak memikirkan tentang apa-apa pun maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.”

Ibnu Syihab rahimahullahu ta’ala berkata: “Para ulama kita selalu berkata bahawa wuduk sebegini ialah wuduk yang paling sempurna untuk solat.”  (Muslim)


  
Hari Juma’at
15 Syawal 1436 Hijriyah
31 Julai 2015


No comments: