Friday, July 4, 2014

MENUNTUT ILMU AGAMA UNTUK BERBANGGA


Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Janganlah kamu belajar ilmu Agama untuk berbangga-banggakan diri ke atas ‘Ulama, jangan belajar untuk berbahas dengan orang-orang yang bodoh yakni untuk berhujah dengan orang awam yang kurang faham selok belok Agama dan jangan belajar untuk mendapatkan perhatian dalam majlis-majlis. Sesiapa yang melakukan sedemikian maka untuknya ialah neraka, neraka.”  Ibnu Majah


Terdapat sesetengah orang yang menuntut ilmu Agama Islam hanya semata-mata bertujuan untuk berbangga-banggakan diri dan menunjuk-nunjuk bahawa ia lebih bijak dan lebih hebat ilmunya daripada ‘Ulama-‘ulama yang telah mati dan ‘Ulama-‘ulama sekarang yang masih hidup.

Perbuatan itu dilakukan melalui laman-laman web atau tulisan-tulisan buku atau ceramah-ceramah kepada orang ramai atau syarahan-syarahan kepada pelajar-pelajar di sekolah, di kolej dan di universiti.

Mereka bertindak merendah-rendahkan ilmu yang ditinggalkan kepada umat Islam melalui kitab-kitab Agama Islam yang ditulis oleh ‘Ulama-ulama dahulu yang telah kembali ke rahmatullah.  Mereka tidak sepatutnya mempertikaikan apa yang telah ditulis dalam kitab-kitab tersebut kerana isi kandungan kitab-kitab tersebut adalah yang terbaik dan yang telah diiktirafkan oleh jumhur ‘Ulama dahulu. 

Adalah menjadi kesalahan besar bagi orang-orang sekarang ini, yang baru belajar pengetahuan Agama Islam dengan merujuk ilmu-ilmu yang telah ditinggalkan oleh ‘Ulama-‘ulama dahulu, mengutuk dan menghina ‘Ulama-‘ulama berkenaan yang telah mati dan tidak dapat memberi penjelasan selanjutnya kepada mereka yakni kepada orang-orang yang berbangga-banggakan diri itu lagi dungu.

Orang-orang yang sebegitu yakni dungu lagi lupa diri, bahawa apa sahaja ilmu Agama Islam yang mereka pelajari, mulai daripada membaca dan menulis huruf-huruf hijaiyah yakni huruf-huruf “ ‘Alif, Ba, Ta, Tha, Jim, Ha dan seterusnya”, serta  segala ilmu dan pengetahuan Agama Islam yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah diwarisi oleh ‘Ulama-‘ulama dahulu agar ilmu dan pengetahuan Agama Islam tersebut sampai kepada umat manusia hari ini.  Tanpa ‘Ulama-‘ulama tersebut, maka apalah yang ada pada umat Islam sekarang ini  kecuali hidup mereka dalam keadaan jahil seperti waktu zaman jahiliyah dahulu.  Na’uzubillahi Min Zalik.


‘Ulama-‘ulama Muktabar, di antaranya:

1    1.     Imam Asy-Syafie: Nama lengkapnya Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie bin Saib bin Ubaid bin Hisyam bin Abdul Muthalib bin Abdu Manaf bin Qushaiy.  Dilahirkan di Syam pada tahun 150 Hijriyah.

2    2.     Imam Al-Bukhari: Nama lengkapnya Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Mughirah bin Bardizbah.  Dilahirkan di Bukhara Khurasan pada tahun 194 Hijriyah.

3    3.     Abu Daud: Nama lengkapnya Sulaiman bin Asy’ats bin Bisyr bin Amru bin Amir Al-Azdi Al-Sijistani.  Dilahirkan di Sijistani pada tahun 202 Hijriyah.

4    4.     Imam Muslim: Nama lengkapnya Muslim bin Hajjaj bin Muslim bin Warad Al-Qusyairi An-Naisaburi.  Dilahirkan di Qusyair pada tahun 204 Hijriyah.

5    5.     Ibnu Majah: Nama lengkapnya Muhammad din Yazid Ar-Rib’i Al-Qazwini. Dilahirkan di Quzuwaini pada tahun 209 Hijriyah.

6    6.     Imam Al-Ghazali: Nama lengkapnya Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Ghazali Ath-Thusi.  Dilahirkan di Thabrani, Thusi Khurasan pada tahun 450 Hijriyah.

7    7.     Ibnu Kathir: Nama lengkapnya Ismail bin Umar bin Kathir bin Dhau bin Dar’in. Dilahirkan di Mujadal, Syam pada tahun 701 Hijriyah.



Hari Juma’at
6 Ramadhan 1435 Hijriyah
4 Julai 2014


Friday, June 13, 2014

JIHADISTS




SIAPAKAH JIHADISTS?

Jihadists adalah puak-puak haprak upahan yang tidak memiliki apa-apa; yakni, tidak ada negara dan tidak ada kewangan sendiri.

Mereka ditaja, dibiayai, dipersenjatakan dan dilatih untuk membunuh orang-orang Islam, memporak-perandakan negara-negara orang-orang Islam dan menggulingkan mana-mana kerajaan yang sah yang dipilih rakyat.

Mereka tidak memerangi Yahudi di Palestin dan Gaza.

Mereka tidak memerangi kafir musuh-musuh Islam.

Mereka tidak membantu orang-orang Islam Rohingya di Burma.

Mereka tidak membantu Bangsa Moro di Filipina dan di lain-lain negara yang mana orang-orang Islam dianiaya dan dibunuh oleh orang-orang kafir.


DAN SIAPAKAH YANG MEMBENTUK JIHADISTS?

Maka siapakah yang membentuk, menaja dan membiayai  Jihadists tersebut itu?  Kafir-kafir Yahudi atau Amerika atau British atau Kesatuan Eropah atau Wahabi Arab Saudi, atau setiakawan Amerika, Wahabi Arab Saudi dan Yahudi Israel?


Hari Juma’at
15 Sya’aban 1435 Hijriyah
13 Jun 2014


Friday, May 23, 2014

PENCERAHAN BAGI ORANG KEMAMAR


ALLAH TA’ALA berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 109, Ayat 120 dan Ayat 135, maksudnya:

“Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani [Kristian]) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam).”  Ayat 109

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong sesat itu).”  Ayat 120

“Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani [Kristian]) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani (Kristian), nescaya kamu akan mendapat pertunjuk.” Ayat 135

SODAQALLAHUL’AZIIM.


ALLAH TA’ALA berfirman dalam Al-Quran Al-Kariim, yang mana antaranya ayat-ayat yang tersebut di atas, adalah untuk menjadi pencerahan kepada orang-orang yang kemamar yang mengatakan bahawa orang-orang yang amat mencintai orang-orang Islam adalah orang-orang Kristian The people who loved Muslims the most were Christians.”

Maka dengan ini, orang-orang yang berkepercayaan begitu dan pengikut-pengikut mereka perlulah membezakan antara jalan yang sebenar yakni Agama Islam dan jalan-jalan bawaan Yahudi yang dimurkai dan Nasrani (Kristian) yang sesat.

Orang-orang kemamar yang dimaksudkan di sini ialah orang-orang yang memiliki gelaran dan pengetahuan akademik dan mereka pula sesat dalam pengetahuan mereka sendiri.



Hari Juma’at
23 Rejab 1435 Hijriyah
23 Mei 2014


Friday, May 16, 2014

TERJADI DENGAN KEHENDAK ALLAH TA'ALA


Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Kahfi, Ayat 39 dan Ayat 40, maksudnya:

“Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: “Masyaa Allah (semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! Laa quwwata illa Billah (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah).  Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak berbanding denganmu,”  Ayat 39

“Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Ia (Allah) akan menimpakannya dengan bala bencana dari langit sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus”.  Ayat 40

Oleh itu maka setengah ‘Ulama Salaf menganjurkan, jika seseorang merasa gembira kelebihan yang ada  pada dirinya,  baik tentang harta ataupun tentang anak,  ucapkanlah: “Masyaa Allah, Laa Quwwata Illa Billah”.

Atau jika masuk ke dalam rumah sendiri dari perjalanan ke mana-mana terasa ketenteraman dalam rumah, bacalah Ayat tersebut.

Tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la Al-Maushiliy, yang diterimanya daripada Anas bin Malik, katanya bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, mafhumnya:

“Bilamana menikmatkan Allah kepada hambaNya suatu nikmat, baik dari keluarga, atau dari harta ataupun dari anak, lalu dia membaca: “Masyaa Allah,  Laa Quwwata Illa Billah”, tidaklah dia akan berhadapan dengan malapetaka, kecuali maut.”

Bahaya tentu saja ada, kerana pergantian senang dan susah, itulah hidup. 

Tetapi “Masyaa Allah, Laa Quwwata Illa Billah” adalah ucapan yang membuat hati tenteram dan fikiran lega, sehingga betapapun besarnya kesulitan yang dihadapi, namun hati tidak akan berkocak.  Hanyalah mati yang tidak dapat dielakkan. 

Dan mati bagi orang yang beriman, bukanlah malapetaka melainkan sesuatu yang diyakini.

Menurut beberapa Hadis yang bersumber daripada Abi Hurairah radhiAllahu ‘anh, diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan ada juga yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa ucapan itu adalah termasuk nilai-nilai yang mahal dalam perbendaharaan syurga.


  
Hari Juma’at
16 Rejab 1435 Hijriyah
16 Mei 2014


Friday, April 25, 2014

AHLI SAINS SEWEL


MANUSIA BUKAN MONYET

Walaupun sudah jelas bahawa dalam dunia ini diciptakan jinn, manusia, binatang dan lain-lain makhluk yang masing-masingnya berlainan kejadian dan sifatnya di antara satu sama lain; namun begitu, masih ramai manusia bongak yang mempercayai dan menerima sebagai benar bahawa asal manusia adalah daripada monyet mengikut teori sewel seorang ahli sains yang bernama Charles Robert Darwin (February 12, 1809-April 19, 1882).

Adalah nyata bahawa teori Charles Robert Darwin itu bohong apabila masih wujud monyet-monyet dalam berbagai bentuk rupa dan warna.  Monyet-monyet itu terus membiak hidup sebagai monyet yakni monyet-monyet  itu masih tidak berubah bentuk rupa dan sifatnya secara evolusi bertukar menjadi manusia.

Justeru itu, kebanyakan orang ramai yang bongak dan jahil biasanya mudah terpedaya dengan kepercayaan, teori-teori bohong yang dibawa oleh orang-orang yang dilihat mempunyai kelulusan pengetahuan, gelaran dan kedudukan sedang orang-orang itu adalah orang-orang kemamar.


AGAMA BARU “TAJDID”

Begitulah juga yang berlaku dengan kepercayaan dan perkara-perkara agama  sepertimana yang berlaku mengenai evolusi monyet kepada manusia yang tersebut di atas. 

Dalam agama, pada akhir zaman ini yakni selepas kurang lebih 1115 tahun mengikut taqwim Hijriyah atau mulai dari abad ke 18 dan abad ke 19, muncul beberapa agama baru “TAJDID” iaitu agama-agama bohong Neo-Khawarij yang kononnya memperjuangkan bagi membersihkan agama daripada perlakuan dan amalan-amalan SYIRIK dan BID’AH DHOLALAH “Bid’ah Sesat yang tempatnya dalam neraka”.

Mengikut pemikiran yang waras, agama baru “TAJDID” agama-agama bohong Neo-Khawarij yang timbul selepas 1115 tahun Hijriyah itu, tidak lain tidak bukan hanyalah ianya agama pembohong dan sebenar-benarnya sesat.

Tujuan sebenar agama baru “TAJDID” agama-agama bohong Neo-Khawarij itu ialah untuk memecah belah, menjadikan rendah, lemah dan hina umat Islam berkaitan dengan ‘Aqidah dan amal ibadat yang telah ditetapkan “establish” selama 1435 tahun selepas Hijrah.

Dalam keadaan umat Islam berpecah belah dan porak-peranda itu, pembawa-pembawa agama “TAJDID” agama-agama bohong Neo-Khawarij mengambil kesempatan di atas kekalutan umat Islam ini dengan menakluki  sesebuah negara atau menguasai mana-mana kaum dengan mudah.

Dalam tahun 1932, salah satu daripada agama-agama bohong Neo-Khawarij tersebut, setelah dapat memecah belahkan umat Islam di sana,  dengan bantuan kafir British dengan mudah telah dapat menakluki Semenanjung Arab termasuk dua kota suci Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah.


PENGKHIANAT CELAKA

Melihat kepada agenda penipuan tersebut, maka mereka adalah pengkhianat celaka yang menaburkan virus-virus perpecahan umat Islam dengan bertopengkan berbagai-bagai jenama tipu daya untuk mengaburi mata umat Islam yang jahil.

Buktinya umat Islam sekarang ini amat ketara perpecahan dan porak-peranda sehingga berlaku takfirah – kafir mengkafir, syirik mensyirik, bunuh membunuh sesama umat Islam akibat kecelaruan kefahaman agama yang sebenar.

Berperang, bunuh membunuh sesama Islam itu terus berlaku dalam negara-negara umat Islam. 

Fenomena itu amat menguntungkan kaum kafir kerana mereka tidak perlu berperang dengan umat Islam secara berdepan.


KELULUSAN AKADEMIK TUJUAN PENIPUAN

Seperti juga dengan pembohongan Charles Robert Darwin yang sewel yang mempunyai kelulusan pengetahuan akademik yang tinggi, pembawa-pembawa agama baru “TAJDID” agama-agama bohong Neo-Khawarij ciptaan manusia itu, juga   mempunyai kelulusan pengetahuan dan gelaran, boleh menipu orang-orang bongak, jahil dan orang-orang yang serupa dengan mereka.



Hari Juma’at
25 Jamadil Akhir 1435 Hijriyah
25 April 2014