Friday, August 27, 2010

PULUN


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Ahlan Wasahlan Ramadhan 1431 Hijriyyah

Rata-rata orang-orang Islam menyambut kedatangan Ramadhan setiap tahun dengan penuh kegembiraan kerana dalam bulan yang berkat itulah mereka dapat menunaikan segala amal ibadat dan bermunajat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa dengan sebaik-baiknya.

Dalam bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang dinamakan Lailatulqadar. Amal ibadat yang dikerjakan pada malam Lailatulqadar yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada amal ibadat yang dikerjakan pada seribu bulan yang lain. Peluang yang bertuah itu datang hanya sekali setahun sahaja mengikut taqwim hijriyyah.

Ramadhan pasti datang dari tahun ke tahun sama ada orang-orang Islam menunggu untuk menyambutnya atau tidak. Ramadan tetap tiba dengan membawa rahmat dan keberkatan dan pasti pergi dengan membawa segala amalan soleh orang-orang mukminin.

Dengan setiap kali perginya Ramadhan, terdapat sesetengah orang-orang mukminin yang sedih dan menyesal kerana mereka merasai bahawa mereka tidak sempat melakukan amal ibadat yang secukupnya atas sebab-sebab halangan tertentu atau dengan sebab-sebab keuzuran syari’e yang tak dapat dielakkan.

Jika terdapat di antara orang-orang Islam yang sengaja mengelakkan atau sengaja melengah-lengahkan untuk melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa atas sebab-sebab peribadi yang diada-adakannya sendiri dan mereka mengharap akan dapat melakukannya dalam bulan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang maka ianya mungkin menjadi kenyataan dan beruntung.

Sebaliknya adalah tersangat malang dan tersangat rugi bagi mereka, jika Ramadhan yang datang pada masa hadapan itu tanpa kehadiran diri mereka lagi.

Justeru itu, mudah-mudahan kita sama-sama PULUN mengerjakan amal-amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa dengan sebaik-baiknya dan sesempurnanya yang boleh dalam bulan Ramadhan ini sebelum ianya meninggal pergi.

Wallahu ‘Alamu Bissawab.

Hari Jumaat
17 Ramadhan 1431 Hijriyyah
27 Ogos 2010 Miladiyah

Saturday, July 31, 2010

ISRAEL, YAHUDI DAN ZIONIS


MUSLIHAT

Bila disebut orang “Israel”, maka tanggapan bagi sesetengah orang Islam ialah negara Yahudi, dan apabila disebut “Zionis” tanggapannya ialah terroris dan pengganas Yahudi.

Tanggapan-tanggapan tersebut sepintas lalu, tanpa melihat kepada pengertian sebenarnya, ianya adalah kenyataan semasa, tetapi ianya tidak tepat kerana erti bagi kedua-dua perkataan itu berbeza, begitu juga dari segi tujuannya.

Selama ini perkataan “Israel” dan “Zionis” telah digunakan oleh Yahudi sebagai muslihat dan agendanya bertujuan menutup (to cover up) segala imej buruk, ganas dan kejahatan Yahudi itu sendiri dari pandangan orang-orang Islam khususnya. Ianya juga adalah satu daripada modus peperangan saraf (psychological warfare) ke atas orang-orang Islam.


BERPAUT DENGAN YAHUDI

Jika kita mengambil kira kekuatan Yahudi dari segi jumlah penduduk yang besar seperti China dan India, maka penduduk Yahudi di tanah Palestin hanya berjumlah 5,700,000 orang sahaja, dan jika dibandingkan dengan penduduk Malaysia yang berjumlah 28,130,000 orang, maka jumlah Yahudi hanyalah 1/5 daripada jumlah penduduk Malaysia.

Namun begitu Yahudi seolah-olahnya dapat menguasai ekonomi dan dapat mempengaruhi dunia. Adalah dikatakan begitu, berdasarkan kepada banyak negara-negara termasuk sesetengah negara orang-orang Islam sendiri mengiktiraf dan mengadakan hubungan diplomatik dengan Yahudi, sedangkan negara Yahudi itu baru, kecil dan sedikit jumlah penduduknya.

Manakala negara-negara orang-orang Islam yang belum ada perhubungan diplomatik dengan Yahudi, sedang berjinak-jinak dengannya. Negara-negara orang-orang Islam itu pada zahirnya menunjuk benci terhadap Yahudi tetapi sebenarnya berpaut dengan Yahudi, bagai kata “di hadapan marah, di belakang baik”.


PERPADUAN KUAT DENGAN AGAMA

Dari segi yang lain pula, didapati bahawa telah banyak resolusi mengutuk Yahudi telah diluluskan atas perbuatan kejamnya dan jahatnya ke atas orang-orang Islam, serta melanggar undang-undang antarabangsa yang tersimpan di arkib Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tanpa ada sebarang tindakan susulan yang diambil ke atas mereka.

Berlakunya demikian adalah kerana ia boleh dikatakan terletak di atas kepaduan perjuangan Yahudi berpegang kepada agama Yahudi dan bukan atas dasar bangsa, rupa dan warna kulit.

Yahudi yakin bahawa mereka akan menjadi lemah dan tertindas jika mereka berjuang atas dasar bangsa dan bukan atas dasar agama; misalannya berjuang atas dasar Yahudi Jerman, Yahudi Amerika, Yahudi Belgium, Yahudi Ethopia dan lain-lain lagi, akan membawa kepada cepat hancurnya Yahudi kerana mereka adalah golongan minoriti.

Hasil daripada pemikiran tersebut yang begitu lama dirancangkan, Yahudi telah dapat menubuhkan Zionisme iaitu pergerakan politik yang bertujuan menegakkan sebuah Negara Yahudi di Palestin, dan Zionis pula adalah menjadi penyokong kuat Zionisme, ianya menjadi tulang belakang perjuangan dan kebanggaan kaum Yahudi.


ISRAEL

Bertitik tolak dari situ, maka Yahudi telah dapat menubuhkan sebuah negara Yahudi di tanah orang-orang Islam di Palestin sejak 14 Mei tahun 1948, dengan memakai nama “Israel”.

“Israel” adalah nama “Laqab” yakni gelaran kepada Nabi Allah Ya’qub ‘Alaihissalam. Dalil-dalilnya sepertimana tersebut dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud Ath-Thalisi, dari ‘Abdullah bin ‘Abbas, ia berkata: “Sekumpulan orang Yahudi datang ke hadapan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Baginda bertanya kepada mereka itu, “Apakah kamu sekalian mengetahui bahawa Israel itu adalah Ya’qub?” Mereka menjawab: “Demi Allah, ya.” Maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Ya Allah, saksikanlah.”

Dan di dalam Al-Quran, Allah Ta’ala berfirman dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 93, maksudnya: “Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Ya’qub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan kitab Taurat.” Ayat 93.


KERAS HATI KEKUFURAN

Semenjak kewujudan Yahudi di dunia ini, mereka tidak pernah ada sebuah tempat yang tetap yang boleh dianggap sebagai negara mereka sendiri.

Mengikut sejarah sebagaimana cerita-ceritanya dikisahkan di dalam Al-Quran Al-Karim dan Hadis-hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Yahudi itu adalah satu jenis manusia yang degil, keras hati dengan kekufurannya, pengkhianat, terroris yang suka membunuh tanpa hak termasuk Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah dari kalangan mereka sendiri. Di antara Nabi-nabi yang telah dibunuh oleh Yahudi ialah Nabi Zakaria dan Nabi Yahya ‘Alaihimussalam.

Mereka membunuh Nabi-nabi mereka tanpa hak adalah sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 87, maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhu’l-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?” Ayat 87.

Dan, dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 61, Allah Ta’ala berfirman, maksudnya: “Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya), dan mereka pula membunuh nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang hak (benar). Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.” Ayat 61.

Oleh kerana kaum Yahudi itu sombong dan kufur kepada Allah Ta’ala, mereka dilaknat, seperti tersebut dalam Ayat 88, dalam Surah Al-Baqarah, firman Allah Ta’ala, maksudnya: “Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.” Ayat 88.


YAHUDI

Ramai orang-orang Islam terkeliru dengan sebutan dan makna Israel, Yahudi dan Zionis.

Mereka terikut-ikut dengan sebutan “Israel” dan “Zionis” yang dihidangkan oleh penulis-penulis kafir dan orang-orang Islam orientalis dan meninggalkan sebutan “Yahudi”. Orang Yahudi adalah disinonimkan dengan agamanya “Yahudi”.

Pada hakikatnya, kaum Yahudi tidak suka perkataan “Yahudi” itu berada dalam Al-Quran Al-Karim kerana Allah Ta’ala membongkarkan kisah-kisah kejahatan mereka, hasad dengki, pengkhianatan dan lain-lain lagi serta Allah Ta’ala mengancam mereka dengan seksa dan azab yang pedih.

Perkataan Yahudi adalah dikatakan di antaranya berasal daripada perkataan Yahuda anak sulong kepada Nabi Allah Ya’qub ‘Alaihissalam.

Mengikut Abu ‘Amr bin Al-‘Ala yang mengatakan,” Disebut Yahudi kerana mereka “Yatahawwaduuna” iaitu bergerak-gerak ketika membaca Taurat.” Perbuatan mengangguk-angguk dan bergerak-gerak ketika orang- orang Yahudi membaca Taurat boleh dilihat di “Wailing Wall” iaitu tembok di sebelah bawah Masjid Al-Aqsa, di Palestin.

Mengikut sejarah, kaum Yahudi telah beberapa kali cuba curi dan pinda Ayat-ayat dalam Al-Quran Al-Karim yang menceritakan hal-hal keburukan perangai mereka. Namun hasrat dan perbuatan mereka itu gagal.

Kaum Yahudi telah berjaya memutar belit dan meminda kandungan Kitab Taurat sebagaimana isi kandungannya yang ada sekarang ini, seperti firman Allah Ta’ala dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 78, maksudnya: “Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (ketua-ketua agamanya)yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat, padahal ia bukan dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata:” (Bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)." Ayat 78.


ZIONIS

Zionis ialah pengikut atau penyokong kuat kepada pergerakan Zionisme iaitu pergerakan politik yang bertujuan menubuhkan sebuah negara Yahudi di Palestin.

Manakala Zion ialah kerajaan Yahudi yang memerintah secara teokrasi yang menggunakan hukum-hukum agama Yahudi sebagai dasar pemerintahan negaranya.

Dalam masa 50 tahun selepas penubuhan negara yang dinamakan “Israel” itu, maka nama itu menjadi sebutan, khususnya menggantikan sebutan Yahudi sama ada oleh orang-orang Islam atau kafir.

Bagi orang-orang Islam dengan menyebut perkataan “Israel” dan “Zionis” sudah cukup untuk mereka mengakui bahawa kaum Yahudi itu bukanlah kaum yang jahat dan ganas, kerana sebutan itu tidak sekali-kali menggambarkan sebegitu halnya.

Begitu juga dengan secara sedar atau tidak disedari oleh orang-orang Islam khususnya, apabila mereka mengutuk dan melaung-laungkan perkataan “Israel” dan “Zionis” dalam demonstrasi-demonstrasi mengutuk Yahudi, perkataan-perkataan itu akan menyemarakan lagi semangat kaum Yahudi dan mereka menerimanya sebagai komplimen, sokongan dan pujaan terhadap perjuangan dan maruah Yahudi.


NIAT DAN LAFAZ TIDAK SEKATA

Adalah didapati juga, bagi sesetengah orang Islam bila memarahi Yahudi, mereka akan menyebut perkataan “Israel” yang menjadi gelaran kepada Nabi Ya’qub ‘Alaihissalam seperti yang tersebut di atas, maka dengan sebutan itu seseorang itu boleh jatuh kepada menghina dan mengutuk Nabi Allah Ya’qub ‘Alaihissam, walaupun pada niatnya ditujukan kepada Yahudi, kerana niat dan lafaz tidak sekata.

Perkara seumpama itu berlaku kerana sesetengah daripada orang-orang Islam sendiri yang lalai, lupa dan tidak mengamal akan ajaran-ajaran dan peringatan-peringatan yang difirmankan Allah Ta’ala dalam Al-Quran Al-Karim serta dengan sabda-sabda Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan dalam Hadis-hadis untuk dijadikan hidayah pertunjuk dan bimbingan panduan hidup seseorang Islam supaya mereka tidak menjadi sesat dan kufur.

Dalam sebuah Hadis dari Abi Hurairah Radhiallahu ‘Anh, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa Baginda bersabda: “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.” (Al-Imam Malik)


DILARANG BERKAWAN

Dari segala sifat jahat dan khianat Yahudi itu, Allah Ta’ala melarang keras orang-orang Islam berkawan dan berteman rapat dengan kaum kafir Yahudi dan Nasrani kerana mereka akan membawa orang-orang Islam kepada kafir.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 120, maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-sekali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya pertunjuk Allah (Agama Islam) itulah pertunjuk yang benar.” Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” Ayat 120.


Wallahu 'Alamu Bissawab


Hari Sabtu
19 Sya’aban 1431 Hijriyah
31 Julai 2010 Miladiyah.

Friday, July 9, 2010

SEKS


SEKS


AGAMA AGAMA, DUNIA DUNIA

Kini ramai di antara kalangan ahli politik, pegawai awam dan juga ahli akademik memperkatakan buruk baiknya pendidikan seks (sex education) di sekolah mengikut kacamata dan perspektif masing-masing sama ada bersandarkan agama atau berdasarkan pandangan pemikiran kafir, Yahudi dan Nasrani.

Kafir Yahudi dan Nasrani, walaupun mereka mengaku mereka mengikuti agama masing-masing, mereka tidak ta’at kepada agama yang mereka anuti itu.

Agama mereka hanya di gereja-gereja dan kuil-kuil tempat penyembahan mereka sahaja. Di luar daripada itu, mereka boleh berbuat apa sahaja yang mereka suka dan mahu, mengikut hawa nafsu mereka kerana pegangan mereka ialah agama tidak boleh dicampurkan dengan hal-hal urusan dunia, ringkasnya “agama agama dan dunia dunia”.

Oleh hal yang demikian perlakuan maksiat terbuka seluas-luasnya dalam kehidupan mereka seperti: Zina, Arak, Bersekedudukan, Melakukan Liwat, Perhubungan seks sesama jenis (LGBT=Lesbian, Gay, Bisexual or Transsexual).

Amat kejinya manusia yang melakukan hubungan sesama jenis sedangkan haiwan pun mengikut tabiinya yang semulajadi, tidak melakukan hubungan jenis, jantan sesama jantan dan betina sesama betina.

PENDIDIKAN SEKS “SEX EDUCATION”

Melalui beberapa sumber rujukan berkaitan dengan pendidikan seks yang dibawa oleh kafir, Yahudi dan Nasrani, maka ianya dapat diterjemahkan dalam tajuk yang luas yang mana biasanya diertikan kepada pelajaran mengenai: reproduksi seks (Sexual reproduction), struktur tubuh ( sexual anatomy), kesihatan reproduktif (reproductive health), persetubuhan (sexual intercourse) dan lain-lain perlakuan seksual yang merangkumi diantaranya : perancang keluarga (family planning), kesuburan (fertility), konsep dan pembesaran embrio dan janin (conception and development of embryo and foetus), kelahiran bayi (childbirth) termasuk maklumat-maklumat mengenai segala aspek perlakuan seks seseorang seperti imej tubuh badan, komunikasi, temu janji, perhubungan, penyakit-penyakit berjangkit melalui hubungan seks (sexual transmitted infections (STIs)), cara-cara mencegahnya, dan juga cara-cara mengelakkan daripada hamil (birth control).

Pendidikan seks adalah menjadi sebahagian daripada kurikulum yang diajar di sekolah rendah dan sekolah tinggi kafir dengan tujuan sebenarnya ialah untuk melindungi remaja-remaja dan orang-orang kafir, Yahudi dan Nasrani yang melakukan zina “freesex”, liwat, hubungan sejenis (gay) dan apa-apa ragam sebutan lagi daripada dijangkiti virus-virus penyakit menular “Sexual Transmitted Infections (STIs)” seperti HIV/AIDS, syphilis, gonorrhea dan lain-lain lagi, dan juga pencegahan hamil (birth control).

GAYA HIDUP SEPERTI BINATANG

Pendidikan seks adalah amat sesuai bagi remaja-remaja dan orang-orang kafir, Yahudi dan Nasrani kerana kehidupan mereka berdasarkan kepada hawa nafsu, makan dan minum seperti binatang, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Muhammad, Ayat 12, maksudnya:

“Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan (di dunia) serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternakan makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” Ayat 12.

Orang-orang kafir juga adalah sejahat-jahat makhluk, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Anfaal, Ayat 55, maksudnya:

“Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata di sisi Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya). Sebab itu mereka tidak (mahu) beriman.” Ayat 55.

Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Bayyinah, Ayat 6, maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.” Ayat 6.

SEKS BEBAS “Freesex”

Perkahwinan bagi mereka itu seolah-olah lakonan drama, kerana tidak ada hukum dan peraturan seperti yang ditetapkan Islam. Islam menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan “Freesex” iaitu dalam istilah Agama Islam ialah zina.

Seks bebas (freesex) tidak ada dalam Islam, ianya berlaku di antara anjing dan babi dan lain-lain haiwan. Haiwan boleh mengawan bila-bila masa dan di mana-mana tempat, maka begitu juga dengan kafir, mereka boleh bersetubuh dengan sesiapa sahaja; lelaki yang beristeri boleh berzina dengan perempuan lain dan begitu juga perempuan yang mempunyai suami boleh berzina dengan lelaki lain.

Mereka juga boleh bersekedudukan di antara lelaki dan perempuan seberapa lama yang mereka suka atau hidup bersama dengan ikatan kontrak yang didaftarkan dan mendapat anak di luar perkahwinan.

Di antara contoh yang dapat dilihat pada masa ini ialah perdana menteri Australia, Julia Gillard, yang dilantik pada hari Khamis 24 Jun 2010, tidak pernah berkahwin dan sekarang ini hidup bersama dengan seorang lelaki bernama Tim Mathieson yang juga tidak pernah berkahwin tetapi mempunyai seorang anak di luar perkahwinan dengan perempuan lain.

MENGENALI AURAT

Bagi orang-orang Islam, Allah Ta’ala memerintahkan supaya mendidik anak-anak mengenali anggota-anggota badan dan had-had aurat lelaki dan aurat perempuan. Orang-orang Islam juga diperintahkan bersuci dan menjaga kebersihan mengikut pendidikan Islam seawal-awal umur lagi.

Orang-orang Islam wajib menuntut ilmu fardhu ‘ain, khususnya dalam bab Thaharah (bersuci).
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 6, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak menunaikan solat, maka hendaklah kamu basuh muka kamu dan kedua belah tangan kamu hingga ke siku, dan sapulah (dengan air) sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu hingga ke buku lali; dan jika kamu junub maka bersucilah dengan mandi wajib.” Ayat 6.

Orang-orang Islam hendaklah suci daripada hadas kecil dan hadas besar dan menjaga kebersihan supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih dan suci untuk mempastikan mereka dapat mengerjakan ibadat kepada Allah Ta’ala dengan sempurna.

Bagi perempuan-perempuan Islam pula, apabila mereka cukup umur akil baligh, mereka wajib mempelajari perkara-perkara mengenai haid, nifas, dan istihadhah.

Memandangkan betapa lengkapnya agama Islam itu, maka tidak ada kepentingan dan mustahak lagi bagi kanak-kanak dan orang-orang Islam mempelajari pendidikan seks untuk mengenali struktur tubuh “body antomy” lelaki dan perempuan yang mana dianjurkan oleh orang-orang kafir, Yahudi dan Nasrani.

KERATAN-KERATAN AKHBAR

Harakah Bil.1554 bertarikh 22-25 Rejab 1431 Hijriyah bersamaan 5-8 Julai 2010, telah melaporkan di antaranya seperti berikut:

“Baru-baru ini, Ketua Sub –Unit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Produksi dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Hamizah Mohd Hassan, menyarankan agar pendidikan seks di sekolah seawal umur 9 tahun atau darjah 3 lagi, katanya”.

“Beliau yang merupakan salah seorang ahli panel forum pendidikan seks bertajuk ‘Always Be Careful-Examine Your Zip’ (Sentiasa Waspada-Periksa Zip Anda) yang dianjurkan oleh sebuah NGO Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) telah mencadangkan kepada kementerian pelajaran supaya pendidikan seks diajar seawal sembilan tahun dengan memulakan pembelajaran mengenai bahagian-bahagian fizikal badan.”

“ ’Manakala pada umur 12 tahun, mereka boleh mula diajar mengenai persenyawaan. Saya harap, pelajaran ini akan mula diajar pada tahun 2011 atau 2012’, kata Dr Hamizah.”

“Beliau juga berpandangan golongan muda perlu diberi tunjuk ajar dalam perkara yang melibatkan hubungan seks dengan alasan pemikiran golongan muda masih tidak berkembang.”

Dalam The Star Online, bertarikh 7 Jun 2010, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ketika ditanya mengenai pendidikan seks diajar di sekolah, beliau memberi pandangan seperti berikut:

Nik Aziz against sex ed in schools
July 3, 2010 -Monday

KOTA BARU: Kelantan Mentri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disagrees with the move to introduce sex education in schools, saying it will do more harm than good to the younger generation.

The PAS spiritual leader said that, among others, the move would encourage children to learn about sex among themselves, resulting in negative incidences like unwanted pregnancies and baby dumping.

“There is already sex education in Islam like parents should have a separate sleeping place for their children when they reach the age of seven and that women should be properly covered,” he said after delivering a religious lecture here yesterday.

He said sex education in schools would be like teaching thieves how to steal properly.
Nik Aziz also wanted illicit sex to be termed as zina (sex between unmarried couples) in Islam and not as seks bebas (free sex) as deemed by some quarters.

“What’s wrong with calling it zina as the word will instil some fear in Muslims. And those who commit zina should be punished under hudud law,” he said.

The issue of sex education has long been discussed and debated with several quarters proposing that sex education be implemented in schools to curb social ills like unwanted pregnancies and dumping of babies, which has become rampant of late.

However, to date, no decision has been made on the issue. — Bernama


Hari Jumaat
26 Rejab 1431 Hijriyah
9 Julai 2010.

Friday, June 25, 2010

JAG



JAG

JALAK-LENTING AYAM GAGAH

Jalak-lenting suatu nama yang indah lagi menarik. Pada suatu zaman dahulu jalak-lenting dipelihara dengan penuh belaian.

Jalak-lenting diguna untuk dijadikan ayam sabung yang tangkas. Ada masa, jalak-lenting dipertaruhkan dengan bukan sahaja harta, duit kupang tetapi juga dipertaruhkan dengan kampung dan negeri.

Begitulah hebatnya jalak-lenting.

Jalak-lenting menetas daripada telur yang dikeluarkan oleh induknya. Walaupun induk itu adalah seekor ayam betina, ia tahu, mengetahui dan faham banyak perkara yang berlaku melalui “instinct”.

Ia tahu bahawa jalak akan dijadikan ayam didik dan dijaga oleh manusia kaki sabung ayam lebih daripada ia dijaga.

Selain daripada diberi makanan, jalak-lenting dimandi, diubati dan diletakkan di tempat yang teristimewa bagi ayam.

Namun begitu, induk jalak-lenting tidak mempunyai perasaan hasad kesumat terhadap jalak untuk mendapat persamaan taraf, sama kuat suara berkokok dalam gelanggang.

Lebih-lebih lagi induk jalak-lenting tidak merasa yang ia ditindas, dihina dan dijadikan ayam betina sepertinya sebagai ayam kelas dua.

BALUNG DAN TAJI

Induk jalak-lenting faham bahawasanya setiap apa yang telah dijadikan tidak dapat diubah seperti ayam betina menjadi ayam jantan dari segi rupa, susuk badan,kekuatan tenaga, balung, taji, bulu, warna dan suara.

Ringkasnya pada kefahaman induk jalak-lenting bahawa ayam jantan juga tidak boleh sama sekali bertukar menjadi ayam betina dalam segi kehidupan, dan masing-masing ada peranan, tanggungjawab yang melengkap-lengkapi satu sama lain yang mana masing-masing ada kelebihannya tersendiri.

BAYANG TIDAK SEPANJANG BADAN

Induk jalak-lenting, semasa berada dalam reban waktu malam, biasanya ia terdengar siaran tv yang dipasang oleh tuan rumah, yang mana kadang-kadang ia dapat faham apabila tuan rumah membuka siaran berbahasa Melayu.

Ayam jika dipelihara orang daripada kecil, melalui nalurinya ia boleh faham sama ada melalui gerak geri atau suara orang yang memeliharanya. Ayam dapat kenal suara marah bila ia dihalau “syuh-syuh!”, dan tahu suara “keruu-keruu!” memanggilnya balik untuk diberi makan. Kadang-kadang ayam juga dapat memahami gaya tuturan manusia.

Di antara lain-lain, induk jalak-lenting ada mendengar berita mengenai adanya kumpulan wanita kafir dan sesetengah kumpulan wanita Islam yang sama-sama memperjuangkan hak-hak kebebasan wanita “Women’s Liberation” dan kumpulan yang memperjuangkan hak persamaan dan kesataraan gender dengan lelaki.

Kononya kumpulan wanita-wanita itu mahu bebas dari dikuasai lelaki. Mereka mahu apa yang lelaki dapat dan ada, mereka juga berhak mendapat dan memiliki perkara tersebut.

Ringkasnya mereka mahu hidup dalam dunia mereka sendiri atau mereka mahu menguasai kaum lelaki.

Walaupun perjuangan mereka itu telah lama, mungkin sama dengan masa dan umur dunia mereka; namun perjuangan mereka masih juga tidak berjaya. Perjuangannya itu adalah seperti kata peribahasa “Bayang-bayang tidak sepanjang badan”.

Hendak dikatakan mereka itu tidak ada pelajaran, mereka berpelajaran kerana mereka belajar dari taman asuhan, sekolah tinggi higga sampai ke universiti.

DIPENGARUHI WANITA-WANITA KAFIR

Induk jalak-lenting merasai bahawa perjuangan mereka itu sia-sia belaka kerana sepanjang perjuangan mereka berabad-abad dan berkurun-kurun lamanya masih terdapat kebanyakan ahli-ahli perniagaan yang memiliki gedung-gedung perniagaan besar terdiri daripada kaum lelaki. Begitu juga pemimpin-pemimpin yang memerintah di semua negara yang ada dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), majoritinya terdiri daripada kaum lelaki.

Sebagai contoh, seramai 535 orang ahli kongres Amerika Syarikat, lebih daripada dua pertiga ahlinya terdiri daripada kaum lelaki. Begitu juga ahli-ahli dalam Parlimen Eropah (European Parliament) yang mempunyai 736 ahli parlimen. Hanya satu pertiga sahaja daripada jumlah itu terdiri daripada kaum wanita. Sedangkan kaum-kaum wanita di kedua-dua negara itu lantang memperjuangkan kebebasan dan persamaan taraf dan kesetaraan gender.

Perjuangan kaum-kaum wanita dari Amerika Syarikat, dan dari Kesatuan Eropah (European Union) yang kini mempunyai 27 buah negara keanggotaan itu, telah mempengaruhi dan menjadi inspirasi kepada wanita kafir dan sesetengah wanita Islam di Asia dan termasuk juga sesetengah wanita di Malaysia ini.

PERJUANGAN KESETARAAN GENDER

Di sini, induk jalak-lenting merasa hairan mengapakah kaum wanita yang kononnya hidup dalam tamadun dan zaman teknologi yang maju dan canggih ini, tidak mahu membina tamadun yang lebih tinggi dan mulia peradabannya sesuai dengan kelebihan dan kemampuan yang ada pada mereka sebagai kaum wanita. Sebaliknya mereka bertindak memperjuangkan persamaan taraf dan kesetaraan gender dengan kaum lelaki yang mana telah wujud ketetapan itu sejak adanya manusia di dunia ini yakni lelaki adalah lelaki dan wanita tetap wanita.

BERTELUR SEBIJI BISING SEKAMPUNG

Induk jalak-lenting selalu mendengar laungan-laungan suara perjuangan kaum-kaum wanita manusia itu sangat kuat dan bising seluruh dunia sedangkan hasil daripada perjuangannya sedikit sahaja.

Melihat telatah dan gelagat wanita-wanita itu, induk jalak-lenting merasa malu juga kerana kaum ayam betina bila bertelur sebiji berketuk bising sekampung. Ibu ayam bising berketuk tetapi ketukan-ketukannya itu ada menunjukkan hasil.

Bila sudah menetas dan ada anaknya, ibu ayam yang pada kebiasaannya lemah dan penakut, menjadi cenge mengawal dan menjaga anak-anaknya supaya tidak didekati manusia atau binatang yang dicurigai.

Ibu-ibu ayam khuatir kalau anak-anak yang disayanginya itu nanti diambil manusia atau dimakan ular atau dimakan biawak atau buaya darat. Di samping itu ibu-ibu ayam sentiasa berwaspada kalau-kalau ada kedatangan kaum musang yang menyamar seperti kata peribahasa “musang berbulu ayam”.

“Musang berbulu ayam” itulah yang amat merbahaya dalam masyarakat manusia sepanjang zaman.

Di atas sebab-sebab tersebut itulah, maka induk jalak-lenting amat tidak bersetuju dengan peribahasa yang berbunyi “Ibu Ayam” dan “Bapa Ayam” yang manusia menggelarkan perempuan dan lelaki yang memperdagangkan wanita-wanita menjadi pelacur kerana peribahasa itu sama sekali tidak menepati dengan sifat-sifat sebenar kaum ayam, lebih-lebih lagi kaum ayam tidak sejahat itu untuk melakukan perkara-perkara busuk dan terkutuk.

BUNUH MEMBUNUH SESAMA SENDIRI

Sebenarnya induk jalak-lenting tidak tahu apa itu universiti kerana semua kaum ayam tidak masuk sekolah, belajar itu dan ini seperti kaum wanita sekarang.

Namum begitu induk jalak-lenting dapat hidup dan bertelur dan mengeram dan memelihara anak-anak seperti jalak-lenting dengan baik dan sempurna mengikut taraf dan keadaan.

Walaupun kaum ayam tidak ada pelajaran tinggi dan tidak ada akal yang mana menjadikan mereka ada kalanya bercakar berlawan di antara satu sama lain kerana berebut-rebut makanan sebagai sifat kaum ayam, tetapi kaum ayam tidak pula bermusuh dan berlawan di antara satu sama lain sampai bunuh membunuh sesama sendiri seperti sesetengah manusia yang kononnya mempunyai akal dan tamadun tinggi daripada kaum ayam.

PENGGUGURAN

Induk jalak-lenting pernah mengetahui bahawa ramai kaum-kaum wanita dari Eropah dan Amerika Syarikat memperjuangkan supaya mereka dibenarkan melalui undang-undang untuk menggugurkan anak dengan berbagai-bagai alasan, sebab dan hujah-hujah mereka sendiri.

Mereka itu terdiri daripada wanita-wanita yang berpelajaran tinggi dan professional.

Sekarang ini tedapat kes-kes membuang anak hidup-hidup berlaku di mana-mana sahaja di dalam dan di luar negara. Pembuangan anak-anak yang dapat dikesan; di antaranya di dalam tong-tong sampah, ditanam hidup-hidup, di buang dalam longkang atau sungai atau diberimakan kepada anjing dan sebagainya.

Adalah menjadi satu perkara yang amat menghairankan kepada induk jalak-lenting bahawa mengapakah kaum-kaum wanita yang berakal, mempunyai pelajaran, profesional yang juga memperjuangkan kesetaraan gender boleh menggugur “abortion”, membuang anak hidup-hidup, sedangkan kaum ayam yang tidak berakal pun tidak sanggup berbuat sedemikian kejam dan zalim.

Kaum ibu ayam sanggup bergadai nyawa hanya semata-mata menjaga keselamatan anak-anaknya.

Di waktu malam atau musim hujan, ibu-ibu ayam memanggil anak-anaknya masuk menyorok di bawah ketiak kepak ibu-ibunya supaya, selain daripada mereka dapat mengelak daripada basah dan kesejukan terkena hujan, anak-anak itu mendapat keselesaan dan keselamatan.

Dengan itu kaum ibu ayam merasa sondolan-sondolan anak-anaknya di bawah kepaknya itu dengan penuh perasaan kasih sayang dan bahagia sepanjangan malam.

TIDAK BOLEH FAHAM

Umur kaum ayam belaan tak panjang, kadang-kadang mati terkena selsema burung ( H1N5). Jika tidak mati dengan sebab terkena wabak penyakit itu, pekerja-pekerja veterinar pula membunuh dan membakar ayam beramai-ramai tidak kira kecil atau besar, apabila Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di PBB mengisytiharkan ada penjalaran wabak penyakit yang melibatkan kaum ayam.

Mereka membunuh dan membakar ayam-ayam tanpa belas kasihan, tidak kira sama ada ayam-ayam tersebut terkena selsema burung (H1N5) atau tidak, kerana biasanya kaum ayam yang terkena selsema burung itu jumlahnya amat sedikit tetapi manusia membunuhnya sereban dan sekampung atas alasan mencegah dan mengawal di mana tindakan itu tidak dapat difahami oleh kaum ayam.

PUPUS

Induk jalak-lenting masih memikirkan bahawa jika ia tidak dijadikan sebagai ayam betina atau tidak ada ayam betina kerana kaum ayam betina hendak jadikan diri mereka ayam jantan di dunia ini, maka dari manakah pula akan ada keturunan ayam dan kaum ayam akan pupus begitu sahaja.

Sekiranya kaum ayam betina sudah memilih menjadi ayam jantan sepertimana kaum-kaum wanita hendak bersifat lelaki dan menguasai kaum lelaki, maka kaum lelaki akan memerlukan kaum betina dari kaum lain kerana mengikut tabi’i kejadian alam semula jadi iaitu setiap makhluk dan kejadian telah ditetapkan jantan betinanya berpasang-pasangan.

Dengan kehendak kaum ayam betina yang bersifat ayam jantan itu, maka perlu mereka mencari pasangan hidup dengan kaum-kaum lain seperti kaum babi betina dan kaum anjing betina.

Pada hakikatnya kaum ayam tidak boleh hidup bersama dengan kaum babi dan kaum anjing yang mana didapati gaya hidup dan pemakanannya berlainan dengan kaum ayam. Walaupun kaum ayam berusaha mengikut cara hidup kaum babi dan kaum anjing, kaum ayam tidak akan berjaya. Kaum ayam tetap akan menjadi mangsa tindasan dan buruan kaum babi dan kaum anjing.

BERPUAS HATI

Sesudah memikirkan sebegitu, maka induk jalak-lenting berpuashati dengan apa yang telah ditetapkan di mana ia menjadi ayam betina sebagai induk serta ia berbangga dengan kejayaannya dapat bertelur serta mengeramkan dan menetaskan anak-anak yang banyak untuk mengganti keturunan ayam, lebih-lebih lagi menjadi ibu kepada jalak-lenting ayam yang gagah.


Hari Jumaat

12 Rejab 1431 Hijriyah

25 Jun 2010

Friday, June 11, 2010

DI ANTARA HARI-HARI SAMBUTAN KERAIAN YANG DIASASKAN KAFIR UNTUK KAFIR

PENYAKIT ANJING GILA

Terdapat hari-hari sambutan keraian atau perayaan yang dicipta dan diasaskan oleh kaum kafir, Yahudi dan Nasrani yang diikuti oleh sesetengah orang-orang Islam.

Orang-orang Islam itu mengikut dengan secara buta tuli akan jalan-jalan yang dibawa oleh kaum kafir, Yahudi dan Nasrani, sedangkan Sunah-sunah yang benar nyata dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, mereka tinggalkannya.

Mengikut sebuah Hadis dari Abu Daud r.a., Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda (mafhumnya):

Dan sesungguhnya akan timbul dalam kalangan umatku beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit suka mengada-adakan bid’ah (mengada-adakan perkara yang baru yang menyalahi hukum syarak) sebagaimana menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mengsanya – tidak ada satu urat atau satu sendi tubuhnya melainkan penyakit itu meresap masuk menjalarinya.”

Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga telah memberi ingat dengan tegasnya mengenai perkara itu, sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmidzi, mafhumnya:

“Demi Tuhan yang diriku dan jiwaku dalam genggamannya, sesungguhnya pasti memperbuat dan memperlakukan oleh sekalian kamu akan jalan mereka (ya’ani Yahudi dan Nasrani) akan benar-benar sebagai ikutan buta tuli, sehingga kalau mereka masuk lubang biawak sekalipun nescaya kamu masuki jua.”

Di bawah ini adalah hari-hari sambutan keraian “celebration” yang diasaskan oleh kafir yang mana ianya diikuti oleh sesetengah orang Islam di antaranya ialah seperti tersebut:

“TEACHER’S DAY” (HARI GURU?)

Dalam tahun 1944, seorang guru di Arkansas, bernama Mattye Whyte Woodridge telah menulis kepada ahli-ahli politik dan ahli-ahli pendidikan mengenai mengadakan suatu hari kebangsaan untuk menghormati para guru.

Beliau juga telah menulis kepada Eleanor Roosevelt mengenai perkara itu dan yang mana kemudiannya dalam tahun 1953 membawa perkara tersebut kepada Kongres dalam persidangannya kali ke 81 untuk mengisytiharkan satu hari sebagai “National Teacher’s Day”.

Pada 7 Mac 1980, Kongres telah mengisytiharkan “National Teacher’s Day” untuk tahun itu sahaja.

Selepas itu “National Education Association” terus mengadakan “National Teacher’s Day” pada hari Selasa dalam bulan Mac tiap-tiap tahun sehingga tahun 1985.

“World Teacher’s Day” telah diiktirafkan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 5 Oktober 1994 dan seterusnya disambut pada 5 Oktober tiap-tiap tahun.

Bagi sesetengah negara dijadikan “World Teacher’s Day” hari cuti dan bagi yang lain disambut pada hari-hari bekerja. Negara-negara itu masing-masing menetapkan hari sambutan itu berbeza di antara satu sama lain mengikut kesesuaian negara itu sendiri.

Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dalam mengiktirafkan “World Teacher’s Day” yang mana disambut pada hari yang ditetapkan itu tidak memberi definasi dan mengkategorikan pengertian “Teacher” yang sepatutnya diberi penghormatan.

Dengan itu bolehlah diertikan bahawa perkataan “Teacher” itu merangkumi semua kategori orang-orang yang mengajar, melatih, mendidik, dalam semua bidang, seperti orang-orang yang mengajar mata-mata pelajaran di taman-taman asuhan, sekolah, kolej, universiti dan sebagainya.

Ini juga bermakna “Teacher” itu termasuklah juga orang-orang yang menjadi juru latih, pendidik, pengajar dalam segala kegiatan; di antaranya guru muzik, guru sihir, guru tarian, guru tinju, guru bancuh arak, guru judi, guru silat, guru jalan-jalan maksiat dan lain-lain lagi.

“MOTHER’S DAY” (HARI IBU?)

Islam mewajibkan anak-anak setiap masa dan waktu berbuat baik dan berbakti kepada ibu mereka. Islam tidak menetapkan hari-hari tertentu bagi berbakti dan mengenangkan jasa-jasa ibu sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam khususnya kaum Nasrani.

Orang-orang bukan Islam menjadikan hari ibu “MOTHER’S DAY” khusus sebagai hari memperingati dan mengenang jasa “honouring” ibu.

“Mother’s Day” disambut pada hari-hari tertentu di seluruh dunia sama ada dunia kafir atau dunia orang-orang Islam mengikut hari yang ditetapkan oleh kerajaan yang berkenaan. Ada di antara negara-negara itu menjadikan hari “Mother’s Day” itu hari cuti.

Anna Marie Jarvis ialah orang yang mengasaskan hari “Mother’s Day” di Amerika Syarikat pada tahun 1908, dan kemudian dijadikannya hari cuti.

Dalam negara-negara penduduk Islam, ada di antara orang-orang Islam ikut serta menyambut hari “Mother’s Day” itu dengan mengadakan majlis-majlis jamuan, perjumpaan-perjumpaan, kiriman kad-kad ucapan dan hadiah-hadiah kepada “mother”.

Media-media memainkan peranan yang amat besar dalam mempromosikan hari-hari “Mother’s Day” sebagai perbuatan yang baik dan mulia. Dengan itu, maka terdapat sesetengah orang Islam, sama ada secara tidak sedar atau sedar tertarik dengan perbuatan kafir itu dan dilihatnya indah dan cantik diikuti.

SEJARAH

Adalah dipercayai bahawa “Mother’s Day” itu bermula dalam kurun ke 16, di mana orang Nasrani (kristian) menziarah atau mengunjung gereja masing-masing yang dinamakan “Mother Church” setiap tahun. Ini bererti kebanyakan ibu-ibu akan berkumpul atau bersatu dengan anak-anak mereka pada hari tersebut.

Kebanyakan ahli-ahli sejarah Nasrani mempercayai juga bahawa perantis-perantis dan perempuan-perempuan muda “in servitude” (dalam perhambaan) dibenarkan pulang oleh “mothers”(rahib-rahib) pada hujung minggu berkenaan supaya mereka dapat menziarahi keluarga masing-masing.

Bermula dari situ, perbuatan tersebut dijadikan keutamaan untuk mengenangkan jasa ibu bagi seseorang, walau bagaimanapun perbuatan tersebut diakui dalam konteks sejarah oleh sesetengah gereja dengan memberi perhatian kepada kaitannya dengan “Mary, the mother of Jesus Christ” dan juga dalam konsep tradisional “Mother Church”.

“FATHER’S DAY” (HARI BAPA?)

“Father’s Day” adalah hari yang disambut sebagai “compliment” kepada “Mother’s Day”.

“Father’s Day” telah diasaskan oleh seorang wanita yang bernama Mrs Sonora Smith Dodd. Di Amerika Syarikat, “Father’s Day” disambut dan dirayakan pada hari Ahad ketiga dalam bulan Jun, dan pertama kali diadakan pada 19 Jun 1910, di Spokane, Washington.

Dalam tahun 1972, President Richard Nixon telah mengisytiharkan secara resmi “Father’s Day” sebagai hari cuti di Amerika Syarikat.

Semenjak dari itu, “Father’s Day” disambut dan diraikan setiap tahun oleh kebanyakan negara sama ada negara kafir atau negara orang-orang Islam “Muslim State”, pada hari Ahad yang ketiga dalam bulan Jun.

“Father’s Day” disambut dan diraikan dengan berbagai cara, di antaranya menghantar kad-kad ucapan, memberi hadiah, mengadakan majlis-majlis makan, melancung dan sebagainya.

Upacara-upacara sambutan dan keraian “Father’s Day” menarik dan nampak baik untuk di lakukan oleh anak-anak bagi menghormati bapa-bapa mereka.

Di Malaysia, tahun ini “Father’s Day” akan disambut dan diraikan pada hari Ahad 20 Jun 2010. Mengikut kalender Pelancungan Malaysia pula, “Father’s Day” disambut dan diraikan dengan mengadakan pesta tahunan pada 17 Jun.

“VALENTINE’S DAY” (HARI KEKASIH?)

Hari Valentine “Valentine’s Day” adalah budaya yang disambut oleh orang kafir. Budaya tersebut diraikan dengan apa cara sahaja menurut hawa nafsu (hedonism) itu diimport ke Malaysia dari Barat.

Penyambutan Hari Valentine itu mula melanda Malaysia dalam lengkongan tahun 1980an. Ia telah dipromosikan oleh media-media tempatan dan luar negara.

Terdapat sesetengah orang-orang Islam yang turut menyambut hari tersebut sama ada secara terikut-ikut atau dengan sengaja mengikutinya.

Media elektronik pernah mengadakan berbagai rancangan mengenainya, di antaranya ialah rancangan yang diberi nama “Valentine’s Day Special”. Pihak hotel-hotel pula di antaranya menawarkan pakej-pakej “Makan Malam Hari Kekasih” dan bermacam-macam lagi.

Pada 14 Februari 2000, pernah dianjurkan pesta “Parti Buih” di mana peserta-peserta lelaki dan perempuan beramai-ramai diraikan dengan tarian bogel dan pakaian mandi separuh bogel.

Ada beberapa cerita mengenai siapakah St.Valentine. Di antaranya St.Valentine itu adalah paderi di Rome yang mati dibunuh pada 14 Februari 270 kerana menganjurkan perjumpaan sulit di antara lelaki dan perempuan kononnya untuk perkahwinan, sehingga perkara itu merebak dan diketahui oleh pemerintah kerajaan Rome.

Satu lagi cerita St.Valentine ialah seorang yang berjaya mengalahkan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270, semasa pemerintahan Ratu Isabella. Untuk mengenangkan jasanya, Ratu Isabella mengisytiharkan perayaan menyambut hari kemenangan tersebut pada tarikh itu tiap-tiap tahun.


Hari Jumaat

28 Jamadil Akhir 1431 Hijriyah

11 Jun 2010

Monday, May 31, 2010

EKONOMI KAMPUNG BUNGA RAYA


FORUM MANGGA, EPAL DAN BINJAI

Ketua Kampung Kampung Bunga Raya baru menanam anak-anak pokok mangga, epal dan binjai yang kononnya mengikut penasihat pertanian dari luar negeri, bakanya baik dan hasilnya lumayan.

Ketua Kampung tersebut belum tentu lagi dapat mengutip hasil tanaman pokok-pokok mangga, epal dan binjai yang ditanamnya itu.

Namun begitu, kerana ghairah dan optimis dengan penanamannya itu, dia menjemput lain-lain ketua kampung datang ke satu majlis forum penanaman Mangga, Epal dan Binjai, di samping membawa mereka ke dusunnya untuk melihat sendiri tanamannya serta meminta ketua-ketua kampung yang lain itu turut serta menanam mangga, epal dan binjai baka yang dibawa oleh pakar luar negeri itu.

Dalam ucapan pembukaan forum tersebut, Ketua Kampung Kampung Bunga Raya menyatakan bahawa dia merancang untuk menubuhkan sebuah bank mengikut sistem Yahudi yang bertaraf antarabangsa. Tujuan menubuhkan bank itu ialah untuk menguruskan hal-hal kewangan ekspot buah-buah mangga, epal dan binjai dari kampungnya dan kampung-kampung yang lain yang turut serta menanamnya.

Ketua-ketua kampung yang hadir di majlis forum itu diminta menjadi ahli bank yang akan ditubuhkan nanti.

MACAM “WALL STREET”

“Apabila perdagangan ekspot mangga, epal dan binjai itu menjadi maju, kita akan adakan sebuah bursa saham seperti “WALL STREET”, yang mana akan mengendalikan urusan-urusan saham kita”, ujar Ketua Kampung Kampung Bunga Raya itu.

Bursa saham “WALL STREET” di New York itu adalah bursa saham yang terpengaruh yang memainkan peranan mengawal ekonomi Amerika Syarikat. Bursa saham “WALL STREET” dikuasai oleh kaum kafir Yahudi.

Walau bagaimanapun sebelum pasaran bursa saham ditubuhkan, Ketua Kampung Kampung Bunga Raya mencadangkan supaya diadakan tempat judi yang terancang dan berlesen untuk membolehkan anak-anak muda dan orang-orang Kampung Bunga Raya bermain bermacam-macam jenis judi seperti judi kuda, judi tiga nombor dan empat nombor ekor, lotto, sport toto, kasino, judi sukan dan judi-judi yang lain lagi sama seperti yang ada di Las Vegas, Monaco dan Macau.

Dengan itu Kampung Bunga Raya akan menjadi makmur dan kaya raya hasil daripada kutipan cukai judi dan kedatangan pelancung-pelancung kaki judi dari seluruh dunia termasuk juga dari Timur Tengah.

FLOTILLA

Ada di antara Ketua-ketua Kampung yang menyertai forum itu bertanya sama ada usaha itu boleh diteruskan atau tidak kerana pakar yang menasihati rancangan penanaman mangga, epal dan binjai itu orang Yahudi dari negara haram Israel.

Dan sekarang pula, Yahudi telah mengepung Gaza lebih daripada 1,000 hari dan meletakkan penduduk Gaza dalam kesengsaraan kerana kekurangan bahan makanan, tenaga dan berbagai-bagai lagi.

Tindakan Yahudi yang tidak ada perikemanusiaan itu menjadikan penduduk-penduduk Gaza yang berjumlah 1.7 juta tinggal dalam penjara Yahudi yang terbesar di atas muka bumi ini.

Negara-negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi kemanusiaan “Human Rights”, dan negara-negara yang menggelarkan diri mereka sebagai “international community” yang terdiri daripada Amerika dan Kesatuan Eropah senantiasa bermain silap mata “magic show” kepada dunia dan negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam hal Palestin.

Berbagai-bagai misi damai telah dan sedang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun Yahudi terus melanggar segala undang-undang antarabangsa dan membunuh rakyat Palestin hampir setiap hari. Mereka juga merampas dan membina perumahan-perumahan haram di atas tanah-tanah milik penduduk Palestin.

Tindakan ganas yang terakhir sekali, tentera-tentera laut Yahudi telah mengepung beberapa hari kapal Flotilla dan beberapa buah kapal yang lain yang membawa bantuan dari beberapa buah negara ke Gaza.

Di malam yang gelap pada hari Isnin 31 Mei 2010, komando-komando Yahudi dengan menggunakan helikopter-helikopter telah terjun dari udara masuk ke dalam kapal Flotilla dan menyerang orang-orang di atas kapal tersebut.

Adalah dilaporkan bahawa pada malam kejadian itu seramai 16 orang peserta konvoi dalam kapal Flotilla mati dibunuh dan ramai yang cedera parah.

Mendengar berita kapal Flotilla diserang, Ketua Kampung Kampung Bunga Raya memberi akuan bahawa apa-apa yang berlaku itu akan ditangani dengan mengadakan “press conference” dan mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan Yahudi itu supaya penduduk-penduduk kampung tidak bertindak memprotes rancangan penanaman mangga, epal dan binjai.

Sebenarnya kenyataan yang akan dikeluarkan itu adalah sebagai pertunjukan sandiwara Ketua Kampung Kampung Bunga Raya itu kepada penduduk-penduduk kampung.

Seterusnya Ketua Kampung Kampung Bunga Raya mencadangkan supaya semua Ketua-ketua Kampung yang lain yang hadir bersama-sama menganjurkan pesta-pesta nyanyian dan tarian sepanjang tahun secara besar-besaran dan mengadakan tempat-tempat hiburan. Dengan itu, muda mudi serta penduduk-penduduk kampung boleh minum arak dan menggunakan benda-benda yang memabukkan supaya mereka senantiasa tenggelam dalam kemabukkan dan hanyut dengan keseronokan. Mereka akan menjadi lalai dan lupa akan tanggungjawab dan kehidupan mereka.

Dengan membuat sedemikian, Ketua Kampung Kampung Bunga Raya dengan tegasnya menyatakan bahawa semua kampung-kampung akan dapat ditadbirkan dengan senang dan selesa.

Walau bagaimanapun rancangannya itu telah mendapat tentangan daripada segolongan penduduk Kampung Bunga Raya yang masih waras fikiran mereka dan sedar akan kewajiban yang diamanahkan kepada mereka untuk menjaga keselamatan Kampung Bunga Raya sebagai satu-satunya kampung warisan untuk anak cucu zuriat yang akan datang.

Hari Isnin

17 Jamadil Akhir 1431 Hijriyah

31 Mei 2010

Friday, May 7, 2010

PADA DENGAN SATU ISTERI


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

ISTERI WAJIB MENUNTUT ILMU FARDHU ‘AIN

Sebagai seorang lelaki yang bergelar suami adalah wajib bertanggungjawab memimpin isteri dan bukan dipimpin isteri.

Adalah juga menjadi tanggungjawab seorang suami yang mukmin mendidik isterinya supaya isterinya menjadi isteri yang solehah.

Suami itu juga wajib mengajar isterinya ilmu fardhu ‘ain. Jika suami itu tidak ada ilmu Agama, maka dia wajib membenarkan isterinya keluar untuk menuntut ilmu fardhu ‘ain sahaja dengan orang yang berilmu Agama.

Seseorang isteri yang ada ilmu Agama pula hendaklah mengajar ilmu fardhu ‘ain kepada anak-anaknya dan harus keluar mengajar anak-anak dan perempuan-perempuan Islam yang lain yang memerlukannya.

Maka dia adalah isteri yang mukminah yang mampu atas daya usahanya mengamalkan dengan baik rukun-rukun Islam dan rukun-rukun iman di samping menjalankan tanggungjawabnya yang wajib terhadap suami dan anak-anaknya.

MENJADIKAN SUAMI PECACAL

Bagi isteri-isteri yang tidak mengamalkan hukum-hukum yang diperintah Allah Ta’ala mengikut syarat-syarat sebagai seorang wanita mukminah dan isteri kepada seorang suami yang mukmin, maka wanita itu derhaka kepada suami dan Allah Ta’ala.

Isteri itu tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai ibu yang mengandung, melahirkan anak, menyusu, dan memberi makan dan pakaian serta membesarkan anak.

Terdapat juga isteri yang hanya menjadi ibu yang mengandung dan melahirkan anak sahaja tetapi anak-anaknya disusu, dijaga, diasuh dan sebagainya oleh orang lain seperti “nanny” atau “babysitter”. Wanita seumpama itu tidak layak diberi gelaran sebagai seorang isteri dan ibu yang beriman dan solehah.

Mana-mana isteri yang derhaka dan menjadikan suaminya pecacal, walaupun nampak ia bersolat, berpuasa di bulan Ramadhan dan membaca serta mengajar Al-Quran; dia tidak boleh digelarkan sebagai seorang isteri yang mukminah dan solehah.

Kata Imam Al-Ghazali bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya: “Binasa dan jahat lelaki yang menjadi pecacal kepada isterinya”.

MEMBAWA ISTERI BERSAMA-SAMANYA

Allah Ta’ala membenarkan seseorang lelaki Islam berkahwin, satu, dua, tiga dan empat, sepertimana firmanNya dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 3, maksudnya: “…maka kahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan: Dua, tiga atau empat, kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) ( berkahwinlah dengan) seorang sahaja,..” (Ayat 3)

Ini bermakna bahawa lelaki dibolehkan berkahwin lebih daripada satu dan tidak lebih daripada empat dalam satu-satu masa.

Jika seseorang lelaki mendapati isterinya yang satu itu adalah seorang yang beriman serta mengamalkan segala perintah Allah Ta’ala dan RasulNya dengan amalan yang solehah, memadailah bagi seseorang lelaki itu menjaga semasa hayat isterinya itu dengan penuh kebajikan dan keberkatan daripada Allah Ta’ala dan dengan rahmatNya dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama isterinya.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Az-Zukhruf, Ayat 70, maksudnya: “(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): ‘Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.’” (Ayat 70)

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Ar-Ra’d, Ayat 22, Ayat 23 dan Ayat 24, maksudnya: “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata , dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terangan ; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.” (Ayat 22)

“Iaitu syurga yang kekal, yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal salih dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.” (Ayat 23)

“(Memberi hormat dengan berkata): ‘Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.’ (Ayat 24)

ISTERI YANG TIDAK CAKNA TERHADAP SUAMI DAN ANAK-ANAKNYA

Ramai di antara wanita-wanita yang bergelar isteri sekarang ini menganggap serta yakin bahawa isteri perlu meninggalkan kewajiban terhadap suami dan anak-anak untuk bekerja dan meneruskan kerjayanya yang kononnya boleh menjamin kehidupan dan dapat meninggikan tarap hidup keluarga, walaupun dalam masa menjalankan kerja itu seseorang isteri itu terpaksa bergaul dengan lelaki yang bukan mahram dan melanggar hukum-hukum syarak.

Walaupun dengan izin suaminya, ketika isteri itu menjalankan kerja terdapat perkara-perkara yang dilarang Allah Ta’ala dan RasulNya serta jatuh kepada haram pula dari segi hukum, maka hasil yang dibawa balik oleh isteri itu tidaklah boleh dikategorikan baik bahkan boleh terjatuh kepada haram untuk dibelanjakan kepada keluarga.

Justeru itu, segala hasil daripada usaha-usaha siang dan malam yang dijalankan oleh isteri sehingga menjadi kaya raya; memiliki istana dan gedung-gedung besar, jika ia tidak mendapat keredhaan Allah Ta’ala atas harta kekayaan itu; maka semuanya itu menjadi hiasan yang melalaikan dan akan hilang bila-bila masa.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Fathir, Ayat 5, maksudnya: “Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amalan kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).” (Ayat5)

PENTINGKAN GAYA HIDUP DUNIA

Sekiranya isteri tersebut tidak juga dapat dididik, ditunduk nafsu hodohnya oleh suami yang beriman kerana keras hatinya yang penuh dengan keegoan dalam gaya hidup dan pemikirannya yang mana meracuni sarafnya, maka suami itu hendaklah berkahwin lain; dua, tiga atau empat yang terdiri daripada perempuan-perempuan yang solehah dan redha.

Mudah-mudahan dengan yang demikian, suami mendapat ketenangan hati dan jiwa serta mendapat keredhaan daripada Allah Ta’ala dengan melepaskan diri daripada menanggung tekanan jiwa dan dosa-dosa yang dilakukan oleh isterinya yang degil itu.

Dosa-dosa itu ialah dosa-dosa yang dilakukan oleh isterinya itu ketika keluar bekerja atau semasa isteri itu berada di luar kota semasa menjalankan urusan kerjanya tanpa kehadiran suami atau mahramnya.

Oleh hal yang demikian, seseorang suami hendaklah bersungguh-sungguh mengawasi isterinya daripada menjalankan segala pekerjaan yang ditegah oleh syarak dan hendaklah mengamat-amati daripada pekerjaannya itu setiap masa kerana perempuan itu banyak karenah dan tarikannya.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengingatkan supaya seseorang lelaki memelihara dan mengawal diri daripada runtunan dan daya penarik perempuan yang menjadi alat pemancing syaitan. Lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, titisan air mata yang mencairkan hati, gerak geri yang menarik, pakaian yang memberahikan yang membawa kepada berlakunya maksiat dan melalaikannya daripada menjalankan tanggungjawabnya.

Mengenai ini Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, pernah berkata (maksudnya): “Kebanyakan lelaki dari umat-umat yang telah lalu menjadi kafir adalah berpunca daripada perempuan, dan pada masa yang akan datang pun ada juga orang-orang lelaki berlaku kufur disebabkan angkara perempuan.”

Oleh kerana daya penarik perempuan yang amat kuat sehingga ada lelaki yang berpendirian tegas dan bijak pandai jatuh tersungkur sehingga sanggup memusuhi akal fikirannya, menentang ilmu pengetahuannya, meruntuh rumahtangganya, dan melanggar hukum-hukum Allah dan undang-undang negara. Perkara itu telah banyak terbukti dalam sejarah manusia dari zaman ke zaman.

Peringatan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam itu terkandung dalam Hadis yang berikut:

Dari Usamah bin Zaid r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya: “Tidak ada sesuatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki, selain daripada fitnah yang berpunca dari kaum perempuan.” (Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, Tarmidzi, Nasa-i, dan Ibnu Majah)

TALAK LEBIH BAIK

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya :

“Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah Ta’ala ialah talak”. (Abu Daud dan Ibnu Majah)

Namun begitu, bagi isteri yang mementingkan kerjayanya dan kemewahan serta gaya hidup dunia lebih daripada suaminya, Allah Ta’ala perintahkan supaya lelaki tersebut yang menjadi suaminya mentalakkannya. Dengan itu dapatlah isterinya itu meneruskan kehidupannya mengikut gaya hidup dunia yang dikejarkannya itu. Allah Ta’ala akan melapangkan rezeki kedua-dua mereka yang telah berpisah itu.

Begitu juga sebaliknya, isteri yang beriman dan solehah lebih baik berpisah dengan suaminya, jika didapati lelaki yang menjadi suaminya itu, selepas berkahwin tidak sesuai dengannya.

Perpisahan dikira mustahak bagi kedua-dua belah pihak untuk mengelakkan isteri hidup dengan suaminya itu di alam kepura-puraan yang menipu yang akan menjadi stres dan bebanan kepada mereka; ataupun dijadikan perkahwinan dengan suaminya itu semata-mata sebagai perkahwinan kerana keperluan “marriage of convenience”.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Ahzaab, Ayat 28 dan Ayat 29, maksudnya: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: ‘Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Ayat 28)

“Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredhaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar.” (Ayat 29)

Imam Asy-Syaf’ie, dalam Kitab Al-Fighul Manhaji, berkata: “Matlamat perkahwinan ialah kehidupan yang berterusan di antara kedua-dua pasangan suami isteri. Allah Subhanahu Wata’ala mensyariatkan banyak hukum hakam dan adab-adab untuk mengekalkan dan menyemarakkan hubungan suami isteri . Tetapi ada kadang-kadang adab-adab dan hukum hakam ini tidak diikuti oleh kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka. Contohnya suami tidak memilih isteri yang sesuai, atau kedua-dua pasangan atau salah seorang tidak iltizam dengan adab-adab pergaulan (hidup bersama) yang telah ditentukan oleh Islam. Ini menyebabkan kerenggangan. Kerenggangan ini semakin melebar dari sehari ke sehari sehingga sukar untuk diperbaiki. Ketika tidak ada cara untuk mengwujudkan persefahaman dalam kehidupan berkeluarga, peraturan yang membolehkan kita menangani masalah tersebut diperlukan. Dengan itu ikatan perkahwinan dapat dirungkaikan dan hak kedua-dua pihak tidak terabai. Ini dilakukan apabila mereka tidak lagi mampu untuk hidup bersama.”

Allah Ta’ala memiliki rezeki yang luas. Seseorang suami dan isteri yang telah berpisah, jika dipanjangkan umur, masing-masing boleh membina semula kehidupan berumahtangga yang baru dengan mendapat keperluan yang cukup daripada Allah Ta’ala.

Oleh hal yang demikian, suami dan isteri yang bercerai itu, masing-masing tidak perlu lagi menanggung beban yang mana boleh membawa mereka ke lembah kecelakaan dengan menyimpan perasaan sentimen terhadap harta kekayaan, rupa paras dan sebagainya yang ada pada suami atau pada isteri kerana semuanya itu adalah bersifat sementara.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 130, maksudnya: “Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.” (Ayat 130)

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB


Hari Jumaat

22 Jamadil Awal 1431 Hijriyah

7 Mei 2010