Friday, August 31, 2018

AMALAN UNTUK MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH TA'ALA


Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berkata: saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Ada tiga orang daripada kalangan umat sebelum kamu telah keluar (bermusafir). (Mereka berjalan dan berjalan sehingga  waktu telah malam) maka untuk bermalam mereka telah masuk ke dalam sebuah gua.  

Semasa bermalam di situ, satu batu besar dari bukit telah jatuh lalu menutup pintu gua tersebut.

Mereka berkata bahawa perkara yang boleh menyelamatkan kita daripada batu besar ini hanyalah berdoa kepada ALLAH TA’ALA dengan perantaraan amalan-amalan kita yang soleh.  (Lantaran itu setiap orang daripada mereka telah berdoa dengan perantaraan amalan soleh masing-masing.)

Salah seorang daripada mereka berkata: “Ya ALLAH, (Engkau tahu bahawa) kedua-dua ibu bapa saya tersangat tua.  Saya mesti memberi minum susu kepada mereka berdua dahulu sebelum ahli keluarga saya dan hamba sahaya saya.  

Pada suatu hari saya telah keluar pergi jauh kerana mencari sesuatu. Apabila saya pulang kedua-dua mereka telah pun tidur.  Walaupun demikian saya memerah susu waktu petang untuk mereka (dan membawa mangkuk yang berisi susu kepada mereka) dan saya mendapati kedua-dua mereka (pada masa itu pun) masih tidur.  Saya tidak sampai hati untuk membangunkan mereka dan saya juga tidak tergamak untuk memberi minum kepada ahli keluarga dan hamba-hamba sahaya sebelum mereka. 

Saya telah memegang mangkuk susu sambil berdiri hampir dengan kepala mereka menunggu mereka bangun.  Sehinggalah terbit fajar barulah mereka bangun (dan saya pun memberi susu kepada mereka).  Pada masa itu barulah mereka minum susu waktu petang mereka.

 Ya ALLAH, sekiranya saya melakukan amalan ini semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Mu, maka selamatkanlah kami daripada musibah yang menimpa kami akibat batu besar ini.” 

Hasil daripada doa itu, batu besar tersebut telah berganjak sedikit namun mereka masih belum dapat keluar.”


Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda lagi: 

“Orang kedua pula berdoa:  “Ya ALLAH, saya mempunyai seorang sepupu perempuan yang sangat saya sukai. 

Pada suatu ketika, saya telah mencuba untuk melepaskan tuntutan nafsu saya dengannya tetapi dia tidak bersedia sehinggalah pada suatu masa keadaan kemarau yang bersangatan telah memaksanya datang kepada saya.

 Saya telah memberi kepadanya seratus dua puluh dinar dengan syarat dia bertemu saya secara sembunyi dan dia telah bersedia. 

Apabila saya dapat menguasainya (dan hampir saya menunaikan tuntutan syahwat saya dengannya) dia berkata: “Tidak halal bagi kamu memecahkan mohor tanpa haknya (menodai).”  (Mendengarkan kata-kata itu) saya tidak jadi menyempurnakan niat saya yang buruk dan saya telah menjauhkan diri daripadanya sedangkan dia ialah orang yang paling saya sukai dan saya juga telah meninggalkan dinar-dinar yang telah saya berikan kepadanya.

 Ya ALLAH, sekiranya saya lakukan perkara ini kerana keredhaan-Mu, maka jauhkanlah musibah yang sedang kami alami ini.”

Lantaran itu batu besar tersebut telah berganjak lagi namun mereka masih belum dapat keluar.”


Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda lagi bahawa orang ketiga pula berdoa:

“Ya ALLAH, saya telah mengupah beberapa orang kuli dan saya membayar upah mereka kecuali seorang. 

Dia telah pergi tanpa mengambil upahya.  Saya telah laburkan upahnya itu dalam perniagaan sehingga hartanya itu bertambah banyak. 

Setelah beberapa lama dia datang dan berkata: “Wahai hamba ALLAH, bayarlah upah saya.” 

Saya menjawab bahawa ini semua, unta, lembu, kambing dan hamba sahaya ialah upah kamu.” 

Dia berkata: “Wahai hamba ALLAH, janganlah bergurau.” 

Saya berkata:  “Saya tidak bergurau (saya memberitahu yang sebenar) lalu (selepas penerangan saya) dia telah mengambil semua harta tanpa meninggalkan sedikit pun. 

Ya ALLAH, sekiranya saya lakukan ini semata-mata untuk mendapat keredhaan-Mu, maka jauhkanlah musibah yang sedang kami alami ini.”

Lalu batu besar itu berganjak lagi dan mereka semua telah dapat keluar.”   (Bukhari)  



Hari Juma’at
19 Dzulhijjah 1439 Hijriyah
31 Ogos 2018



No comments: