Friday, April 13, 2012

INDAHNYA LAKONAN




FILEM AKSI

Kebetulan pada suatu malam, aku sempat menonton pertengahan sebuah filem aksi.   Aku terlupa nama tajuk filem itu.

Apa yang membuat aku tertarik menonton filem itu ialah aku melihat kehebatan seorang pelakon budak perempuan dalam lengkungan umur belasan tahun berlawan dengan ramai kumpulan lelaki dan ia dapat mengalahkan lelaki-lelaki lawannya itu.

Aksi-aksi budak perempuan itu pada pandanganku nampak lincah, gerak geri “martial arts”nya pun setanding dengan pelakon-pelakon lelaki.

Aku terus menonton filem itu sampai ke penghujungnya hingga ke senarai nama pengarah, nama-nama pelakon-pelakon dan kru-kru yang menjayakan filem tersebut.

Semasa nama-nama tersebut dipaparkan di penghujung filem, ditunjukkan juga beberapa kerat adegan (scene) yang ada kesilapan dialog, aksi-aksi yang salah yang perlu di ulangi lakonannya sebelum filem tersebut diedit dan ditayangkan agar nampak sempurna dan tiada kecacatan “flaw”. 

Rupa-rupanya filem yang amat menarik pada pandanganku itu, terdapat banyak lakonan-lakonan yang salah dan silap semasa penggambaran sebelum dirakam, diedit dan ditayangkan kepada penonton-penonton. 

Hal seperti itu, sebelum ini aku tidak mengambil kisah kerana menganggap apa yang aku tonton itu benar belaka.


SEBAGAI HIBURAN

Dengan menonton filem tersebut, aku dengan tidak semena-mena mula memikirkan tentang filem-filem dan video-video yang berunsurkan Agama Islam seperti cerita-cerita masyarakat, pendidikan, ceramah-ceramah dan lain-lain yang dilakonkan.

Di antara filem-filem dan video-video itu dilakonkan oleh budak-budak yang mana ianya ditayangkan di televisyen-televisyen dan lain-lain media elektronik yang, biasanya, akan kelihatan elok dan menarik. 

Rupa budak-budak yang berlakon itu juga kelihatan lebih cantik dan lebih tampan daripada biasa kerana mukanya telah disolek “make-up” oleh juru-juru solek lelaki dan perempuan yang bukan mahram kepada budak-budak tersebut.  Mereka juga dipakaikan dengan pakaian-pakaian yang menarik bagi menyesuaikannya dengan jalan-jalan ceritanya atau ceramahnya.

Filem-filem tersebut juga tidak terlepas daripada diadakan latihan “rehearsal” terlebih dahulu dan di “cut”, dirakam dan di  “edit”  dan sebagainya sebelum ditayangkan kepada umum supaya filem-filem yang berunsurkan Agama Islam itu dilihat baik dan benar yang menjadi bawaan pelakon-pelakon itu di kaca mata penonton. 

Kebanyakan penonton-penonton amat tertarik dengan kefasihan sebutan dialog-dialog yang telah disediakan dan yang telah dihafal oleh pelakon-pelakon atau artis-artis dan pelakon budak-budak untuk filem-filem dan video-video yang berkenaan.

Dengan yang demikian itu, pelakon-pelakon, artis-artis, pengarah, produser dan lain-lain orang yang terlibat dengan filem-filem dan video-video yang berunsurkan Agama Islam itu akan diberi pujian atas hasil mereka itu kerana berjaya mempermain-mainkan dan menjadikan Agama Islam itu sebagai hiburan.  

Bagi sesetengah penonton, walaupun mereka  tahu bahawa gaya hidup pelakon-pelakon, artis-artis, pengarah, produser dan lain-lain orang yang terlibat dengan pembuatan filem-filem yang berunsur Agama Islam itu tidak mengamalkan apa yang dilakonkan, dicakapkan dan apa yang ditulis mengenai Agama Islam yang boleh dijadikan tauladan dan iktibar; penonton-penonton masih boleh menerima karya mereka itu dengan penuh minat dan menjadikan mereka itu sebagai idola.

Justeru itu, maka dunia ini adalah pentas lakonan, tempat tipu menipu, tempat mencari hiburan yang melalaikan dan tempat “cari makan” bagi orang-orang yang tidak beriman kepada Allah Ta’ala.


Hari Jumaat
21 JamadilAwwal 1433 Hijriyah
13 April 2012







No comments: