Monday, March 29, 2010

ILMU YANG MENTAATI ALLAH TA'ALA


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

KELAS FARDU ‘AIN

Rata-rata bagi orang awam yang beragama Islam, bila disebut pelajaran fardu ‘ain atau kelas fardu ‘ain; tanggapan mereka yang pertama sekali ialah pelajaran mengenai dengan syarat sah, batal, halal dan haram, khususnya dalam bab-bab bersuci, solat, puasa, zakat, haji dan rukun iman.

Perkara itu tidak dapat dinafikan dan kefahaman mereka itu tidak pula salah kerana itulah asas pelajaran fardu ‘ain atau kelas fardu ‘ain yang diajarkan kepada mereka.

Mereka tidak didedahkan kepada pelajaran fardu ‘ain yang menrangkumi peraturan-peraturan, hukum-hukum dalam semua aspek mu’amalat yang wajib ke atas setiap orang muslim dan muslimah mempelajarinya.

MENGETAHUI HUKUM ALLAH TERLEBIH DAHULU

Imam Al-Ghazali, dalam kitabnya “Ihya Ulumuddin”, menerangkan bahawa telah sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu hukum-hukum Allah Ta’ala mengenai perkara yang hendak dilakukannya; Orang yang hendak berjual beli wajib mempelajari hukum Allah mengenainya; dan orang yang hendak menyewa, memberi sewa, mengupah, dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah mengenainya.

Demikian juga orang yang hendak solat wajib mempelajari hukum Allah mengenai solat.

Demikianlah seterusnya segala perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan. Maka sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua taat, dan sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu ia telah menderhaka kepada Allah dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak beramal mengikutnya, maka ia telah mentaati Allah dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.

DERHAKAKAN ALLAH HANYA KERANA MATA BENDA DAN PENGARUH

Bagi orang-orang yang ada pengetahuan agama Islam sekarang ini, didapati sesetengahnya menjadi kurang ikhlas menyampaikan ilmu agama kerana mereka terikat dengan jawatan yang disandang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa negeri yang melantiknya.

Selain daripada itu, terdapat pula sekarang ini orang-orang yang mempelajari ilmu agama Islam daripada orang-orang kafir, Yahudi dan Nasrani yang menjadi guru-guru dan profesor-profesor dalam bidang ilmu agama Islam yang bukan sahaja tidak menghafaz Al-Quran dan Hadis bahkan mereka senantiasa menjalankan agenda-agenda untuk meracuni minda dan memecahbelahkan ummat Islam.

Orang-orang Islam tersebut bolehlah dikatakan menuntut ilmu agama Islam bukan kerana Allah Ta’ala walaupun mereka itu mendapat ijazah-ijazah sehingga ke PhD. Di antara bidang-bidang pengajian yang diperolehi oleh orang-orang Islam itu daripada guru-guru dan professor-profesor kafir, Yahudi dan Nasrani ini ialah Dakwah dan Tasawuf, Bahasa Arab, dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan sejarah Islam dan pengajian Al-Quran dan Hadis.

Orang-orang Islam yang tersebut ini memegang jawatan-jawatan tinggi sama ada di dalam pentadbiran pihak berkuasa negeri atau institusi-institusi pelajaran tinggi dan mendapat kedudukan yang tinggi dalam pentadbiran pihak berkuasa negeri.

Orang-orang Islam yang mendapat kelulusan agama Islam daripada guru-guru dan profesor-profesor kafir, Yahudi dan Nasrani itulah juga yang menjadi penasihat-penasihat dan penyusun sukatan-sukatan pelajaran agama Islam di sekolah-sekolah dan di institusi-institusi pengajian tinggi dengan menyesuaikannya dengan pembawaan orang-orang kafir, Yahudi dan Nasrani mengikut agenda-agenda yang teratur halus supaya agama Islam yang sebenarnya dan tauhid itu menjadi pudar dan terhakis daripada kehidupan orang-orang Islam generasi baru dan berterusan dari satu generasi hingga ke generasi yang akan datang.

Berhubung dengan wajib bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu agama Islam ada disebut dalam Hadis seperti berikut:

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredaan Allah, sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat kelak.” (Abu Daud dan Ibn Majah).

KONONNYA BENCIKAN YAHUDI DAN NASRANI

Di antara agenda-agenda penjajah-penjajah dan orang-orang Islam yang mendapat kelulusan pelajaran daripada guru-guru dan profesor-profesor kafir, Yahudi dan Nasrani ialah untuk menjadikan orang-orang Islam yang lain tidak mempelajari hal-hal mu’amalat, siasah dan ekonomi mengikut hukum-hukum Allah Ta’ala. Untuk menyembunyikan diri mereka sebagai orang-orang yang menghalang kemajuan Islam yang tauhid, mereka membesar-besarkan nama, lambang dan perkataan ISLAM supaya dilihat merekalah pendokong Islam yang sebenar, dan mengadakan kelas-kelas fardu ‘ain yang terhad seperti apa yang telah disebut di atas.

Dengan memaparkan pangkat “Dr” dan ijazah “PhD” mereka, mereka menjadi takabbur dan ria’ yang boleh dilihat dari segi kelakuan dan penulisan mereka. Bersandarkan kertas ijazah mereka itu, mereka selalu mengeluarkan fatwa-fatwa andaian mereka sendiri. Mereka bukan sahaja mempertikaikan fatwa-fatwa yang telah sedia ada dalam hukum-hukum syarak tetapi juga bercanggah dengan hukum-hukum Allah Ta’ala yang ada dalam Al-Quran dan Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Di samping itu mereka juga menghukumkan dan mengeji amalan-amalan Ulama-ulama Muktabar sebagai bid’ah dan khurafat.

Biasanya fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mereka itulah yang menjadi pencambahan bibit-bibit kecelaruan kefahaman hukum-hukum syarak di kalangan sesetengah orang Islam yang lain sehinggakan berlaku perpecahan di antara ummat Islam.

Dalam keadaan tertentu, sekali sekala mereka yang memegang ijazah dalam pengajian agama Islam dari universiti-universiti orang-orang kafir, Yahudi dan Nasrani itu; berlagak kononnya mereka membenci orang-orang Yahudi dan Nasrani dengan berbagai saduran perilaku luaran untuk mengelirukan pandangan orang-orang Islam yang lain.

MENYEMBUNYIKAN ILMU FARDU ‘AIN

Menyampaikan dan mengamalkan ilmu agama Islam adalah suatu perintah yang diwajibkan oleh Allah Ta’ala dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagaimana ia dituntut untuk pengamalan dan kebaikan dirinya sendiri. Tujuan menuntut ilmu agama Islam itu ialah untuk diamalkan supaya memberi faedah sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain.

Oleh itu sesiapa yang menyembunyikan ilmu agama Islam yang sebenar atau tidak mahu menyebarkannya atau menerangkannya kepada orang lain; sudah tentu ia menentang dan menderhakai perintah Allah Ta’ala dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan berlaku kufur pada ilmu Allah yang ada pada dirinya.

Dengan yang demikian ia dikenakan azab siksa sebagaimana yang tersebut dalam Hadis ini:

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, bersabda: (mafhumnya)”Sesiapa yang ditanyakan kepadanya mengenai suatu ilmu agama, lalu ia menyembunyikannya, nescaya Allah mengkekangkan mulutnya dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat”. (Abu Daud dan Tarmidzi).


WALLAHU A’LAMU BISSAWAB

Hari Isnin

13 Rabi'ul Akhir 1431

29 Mac 2010

Friday, March 12, 2010

AYAM MATI 'STUN'




PENYEMBELIHAN DENGAN CARA PEMENGSANAN (STUNNING) GAS DAN PISAU MEKANIKAL

Pada awal tahun 2010 ini, terdapat rombongan dari pihak-pihak berkuasa agama Islam tertentu dan orang-orang Islam yang ada kaitan dengan kajian penyembelihan dengan cara pemengsanan (stunning) gas dan pisau mekanikal, telah melawat dua pusat penyembelihan tersebut:

1. 1) Biada Poultry Pty. Ltd., Ipswich, Brisbane, Australia.

2. 2) Biada Poultry Pty. Ltd., Laverton, Victoria, Australia.

Cara penyembelihan seperti tersebut di atas adalah biasa bagi kafir mengeluarkan produknya yang mana jumlahnya besar untuk dipasarkan di dalam dan di luar negeri.

Cara penyembelihan itu telah diterima baik oleh masyarakat pengguna kafir, sebagai cara yang efisen dan bersih.

Bagi kafir, adalah tidak menjadi kesalahan untuk mereka makan apa-apa daging haiwan sama ada haiwan-haiwan itu disembelih, mati tercekek, mati pengsan, mati dipukul, mati dikaran, termasuklah apa-apa bangkai dan darah.

BANGUNKAN TEKNOLOGY SENDIRI

Sekarang pusat penyembelihan tersebut menjadi tempat kajian oleh sesetengah pihak berkuasa Islam tertentu dan orang-orang Islam berkaitan, untuk menentukan sama ada cara penyembelihan yang dijalankan oleh pusat-pusat penyembelihan kafir itu boleh dihalalkan dan haiwan-haiwan yang disembelih dan diproses secara berikut sama ada halal pula dimakan oleh orang-orang Islam.

Persoalannya di sini, ialah mengapakah pihak berkuasa Islam beria-ia sangat membuat kajian atas perkara tersebut?

Sepatutnya pihak berkuasa Islam dan orang-orang Islam berkaitan memikirkan untuk membangunkan pusat penyembelihan yang tersendiri mengikut cara-cara Islam yang halal, baik, bersih lagi suci, yang mana produk-produknya boleh dimakan oleh semua manusia; kafir, Yahudi, Nasrani, Majusi dan lain-lain, dan ia juga boleh menjadi contoh kepada dunia.

MENIRU KAFIR

Jika pihak berkuasa Islam tertentu dan orang-orang Islam berkaitan merasai bahawa cara tersebut tidak halal di sisi syarak, maka ianya pada awal-awal lagi tidak perlu mereka membuat kajian sebagaimana tidak perlunya pihak berkuasa Islam dan orang-orang Islam berkaitan mengkaji cara-cara penyembelihan babi dan haiwan-haiwan lain bagi tujuan pasaran kafir.

Nampaknya pihak berkuasa Islam dan orang-orang Islam berkaitan amat mudah dan cenderong hendak meniru dan mengikut perbuatan atau teknology yang kononnya dilihat modern yang digunakan oleh orang-orang kafir, bagi digunakan untuk orang-orang Islam.

Adalah tidak menjadi kesalahan jika mana-mana pihak membuat kajian mengenai teknology baru yang tidak melibatkan cara-cara yang bercanggah dengan hukum-hukum syarak, seperti mengkaji teknology pembinaan senjata-senjata canggih untuk kegunaan orang-orang Islam bagi tujuan mempertahankan diri.

Sebaliknya adalah tidak munasabah bagi sesetengah pihak berkuasa Islam dan orang-orang berkaitan sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk mencari nas-nas yang boleh meluluskan atau boleh menghalalkan perbuatan dan produk-produk kafir itu bagi diguna pakai dan dimakan oleh orang-orang Islam.

Di sini jelas ternampak bahawa mereka khuatir jika mereka iaitu pihak berkuasa Islam itu akan dicapkan oleh orang-orang kafir sebagai orang-orang Islam yang ketinggalan zaman dan mundur dalam kemajuan sains dan teknology tidak seperti orang-orang kafir sama ada dari timur atau barat.

ORANG ISLAM PEMULA MENGHINA ISLAM

Dengan perasaan rendah diri oleh sesetengah pihak berkuasa Islam dan orang-orang Islam berkaitan hingga sanggup mencari jalan mengubahsuaikan hukum-hukum syarak yang sedia ada supaya selari dengan kehendak kafir.

Perasaan rendah diri sesetengah pihak berkuasa Islam dan orang-orang Islam berkaitan melakukan pengubahsuaian hukum-hukum syarak itu hingga menjadikan Agama Allah (Islam) itu dihina.

Tindakan sesetengah pihak berkuasa Islam dan orang-orang Islam berkaitan itu amat tersasar jauh daripada bimbingan Al-Quran dan Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Wallahu a’lamu bissawab.

Hari Jumaat

26 Rabiul Awal 1431 Hijriyyah

12 Mac 2010.