Monday, September 6, 2010

PAKAIAN POLOS

PAKAIAN POLOS

“TREND”

Menjelang ‘Eidul Fitri ini, kaum muslimin dan muslimat sibuk menyediakan pakaian-pakaian baru untuk diri sendiri dan anak-anak selain daripada menghiasi rumah dan halaman supaya kelihatan ceria di hari raya.

Khusus bagi kaum muslimin dan kanak-kanak lelaki, akhir-akhir ini gemar memakai pakaian yang bercorak-corak dan berwarna warni. Menjadi “trend” kepada mereka memakai baju-baju berjenama yang ada lukisan-lukisan atau tulisan-tulisan yang menjadi minat dan kesukaan mereka. Contohnya seperti jersi-jersi dan baju-T bola sepak, sukan dan iklan-iklan produk-produk tertentu menjadi pakaian remaja-remaja dan sesetengah orang dewasa.

TRADISI

Memakai apapun pakaian yang menutup aurat lelaki tidak menjadi kesalahan asalkan memakainya pada masa dan tempat yang sesuai dengan pakaian tersebut. Islam tidak menetapkan sesuatu pakaian yang khusus untuk dipakai oleh orang-orang lelaki. Mereka boleh memakai pakaian mengikut tradisi keturunan mereka masing-masing. Misalnya bagi orang-orang Arab, mereka gemar memakai gamis yang labuh, bagi orang-orang di benua India pula gemar memakai kurta baju yang sekerat labuh dengan seluar, orang-orang Islam Masai di benua Afrika pula gemar memakai kain panjang membaluti anggota badan.

Bagi orang-orang Melayu pula gemar memakai pakaian baju melayu, samping dan bersongkok. Orang-orang lelaki Melayu memakai pakaian kebangsaan itu di majlis-majlis resmi, adat istiadat, perkahwinan, berjoget tari menari dan juga untuk bersolat.

BERCORAK-CORAK

Namun begitu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melarang kaum lelaki dan remaja-remaja lelaki memakai pakaian yang bercorak-corak (gambar, lukisan, tulisan dan sebagainya) ketika bersolat, lebih-lebih lagi pada masa bersolat berjemaah, sama ada berjemaah pada hari Jumaat, hari raya ‘Eidul Fitri, hari raya ‘Eidul Adh-ha dan lain-lain lagi.

Mengenai pakaian yang bercorak-corak itu, terdapat Hadis tersebut:

“Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, pernah solat memakai baju bercorak-corak. Lalu baginda bersabda: “Corak baju ini menggangguku ketika sedang solat. Kerana itu bawalah baju ini kepada Abu Jahm, tukar dengan yang polos.” Sahih Muslim.

BERJELA-JELA

“Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Siapa memakai pakaian yang berjela-jela (terlalu panjang menyapu tanah), maka Allah Ta’ala tidak memandangnya kelak di akhirat.” Sahih Muslim.

SUTERA DAN EMAS

“Daripada Abi Musa Al-‘Asy-‘ari, bahawasanya Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Diharamkan pakaian sutera dan emas atas lelaki umatku dan halalkan bagi perempuan-perempuannya.” Hasan dan Sahih.

WARNA-WARNA

Di samping pakaian yang bercorak-corak, kaum lelaki dan remaja lelaki Muslim juga terikut-ikut dengan memakai pakaian yang berwarna-warna seperti di antaranya; Merah, Hijau, Hitam, Kuning dan lain-lain lagi.

Untuk panduan setiap orang lelaki dan remaja lelaki Muslim, berikut terdapat mafhum daripada Hadis-hadis sahih mengenai dengan warna-warna pakaian mengikut sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan pakaian yang dilarang pakai:-

MERAH

“Daripada Jabir bin Samurah, katanya: “Telah aku lihat akan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada satu malam yang terang, (maka jadi) aku memandang kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan kepada bulan dan di atasnya pakaian merah, maka tiba-tiba ia di sisiku lebih bagus daripada bulan.” Hasan dan Ghariib.

HIJAU

“Daripada Abi Rimthah, katanya: “Telah aku lihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dan di atasnya dua kain hijau.” Hasan dan Ghariib.

HITAM

“Daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha katanya: “Keluar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada satu pagi dan atasnya pakaian daripada bulu hitam.” Hasan, Sahih dan Ghariib.

KUNING, PAKAIAN PENDITA, CINCIN EMAS, BACA AL-QURAN DALAM RUKU’

“Daripada ‘Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah melarang berpakaian seperti pendita, dan memakai pakaian bercelup dengan warna kuning, memakai cincin emas, dan membaca Al-Quran dalam ruku’.” Sahih Muslim.

PUTIH

"Daripada Samurah ibni Jundab, katanya: "Telah bersabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Pakai olehmu akan putih maka bahawasanya lebih suci dan lebih bagus dan kapan olehmu padanya akan orang-orang mati kamu"." Hasan dan Sohih. (Abu Isa At-Tarmidzi)


Wallahu A’lamu Bissawab


Hari Isnin
27 Ramadhan 1431 Hijriyyah
6 September 2010 Miladiyyah

No comments: