Friday, January 1, 2010

KIRIMAN KASIH SAYANG KUATKAN IMAN


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

MENYIARKAN SALAM

Memasyhurkan salam dan menyiarkannya mengikut adab-adab dan hukum yang telah ditetapkan itu menjadikan berkasih-kasih sayang sesama yang memberi dan yang menerima salam.

Apabila ada kasih sayang diantara satu sama lain, maka menjadi kuat iman dan menjadi tinggi Islam kerana bersatu hati serta bersatu kalimah.

Dengan itu terpeliharalah hal kehidupan Islam daripada musuh dan seterunya. Seteru itu samada seteru dari kalangan seAgama atau seteru itu daripada jenis yang membinasakan kehidupan ummah.

Terpelihara yang dimaksudkan di sini ialah terpelihara daripada maksiat dan jalan-jalan yang menuju kepada kekufuran yang membawa kepada tiada berkasih-kasihan dan kembali kepada bermusuh-musuhan.

DENGAN ILMU, BER’IBADAT

Islam meletakkan ilmu teratas dan kepala kepada segala ibadat dan amalan.

Oleh itu, seseorang Islam hendaklah mempunya ilmu dalam segala segi hal ehwal kehidupan dan dalam semua aspek dari segi amal ibadat supaya diterima Allah Subhanahu Wata’alaa.

Seseorang mukmin tidak sekali-kali menganggap segala perintah Allah dan RasulNya itu kecil dan dibuat sambil lewa tanpa yakin dan ikhlas.

Begitulah dengan ucapan “Assalamu ‘Alaikum”, ia adalah suatu ibadat. Bila digunakannya mengikut peraturan dan adab yang sesuai, tepat dan betul maka bermakna menggunakannya dengan berilmu.

PERKATAAN “ASSALAMU ‘ALAIKUM” KEKAL

Kalimah “Assalamu ‘Alaikum” adalah sebutan ucapan salam Nabi Allah Adam ‘Alaihissalam kepada para malaikat dan diperintahkan Allah Ta’alaa bahawasanya kalimah inilah tahiyat bagi Nabi Adam ‘Alaihissalam dan tahiyat sekalian mukmin dan anak cucu pada barang yang di antara mereka itu hingga sampai ke hari kiamat.

Oleh yang demikian, kalimah “Assalamu ‘Alaikum” tidak boleh diubahsuai kepada susunan kata atau sebutan dalam bahasa lain samada bagi tujuan menyesuaikannya dengan keadaan zaman dan masa.

“Assalamu ‘Alaikum” juga tidak boleh disamakan dengan ucapan-ucapan “Selamat pagi” atau “Good morning” sepertimana yang dikehendaki oleh mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad semasa dalam pemerintahannya dulu.

“Assalamu ‘Alaikum” juga tidak boleh disamakan dengan ucapan-ucapan “Best wishes”, “Regards”, “Apa khabar”, “How are you”, “Salam sejahtera”, “Salam muhibbah”, dan berbagai-bagai lagi penggunaan perkataan salam.

LAFAZ SALAM YANG SALAH

Lafaz-lafaz yang salah atau lafaz yang betul tetapi salah pengucapannya yakni tak kena pada tempat atau tak sesuai diucapkan adalah seperti tersebut di bawah ini:

“Salamu ‘Alaikum” tidak wajib jawab kerana perkataan “salamu” itu bukan nama Allah Ta’ala.

Nama ALLAH SUBHANAHU WATA’ALAA ialah “ASSALAM” maknanya: “PUNCA KESELAMATAN”, “THE SOURCE OF PEACE”, “YANG MAHA SELAMAT SEJAHTERA”, “THE GIVER OF SECURITY”.

“ ‘Alaikassalam” memberi salam kepada orang yang mati bukan kepada orang yang hidup.

“ ‘Alaikumussalam” tidak wajib jawab kerana perkataan itu sudah memberi jawaban.

“ ‘Alaika” atau “ ‘Alaikum” atau “Wa‘alaikum" atau "Wa'alaikum salam" tidak perlu jawab kerana perkataannya tidak lengkap. Perkataan-perkataan ini hanya boleh digunakan untuk menjawab, jika orang-orang kafir, Yahudi dan Nasrani (kristian) memberi salam terlebih dahulu.

Tidak boleh memulakan salam dengan perkataan-perkataan “Wa‘alaikassalam” atau “Wa‘alaikumussalam” kerana perkataan-perkataan itu sudah memberi makna jawaban.

Seterusnya orang yang ditujukan salam itu tak perlu menjawabnya kerana perkataan-perkataan tersebut sudah memberi jawaban.

“ ‘Alaikassam” atau “ ‘Alaikumussam” atau “Wa‘alaikassam” atau “Wa‘alaikumussam” adalah jawaban kepada salam yang diberi oleh orang-orang Yahudi atau Nasrani (kristian) atau kafirun, jika mereka memberi salam terlebih dahulu.

“Assamu ‘Alaika” atau “Assamu ‘alaikum” ucapan kepada orang-orang Yahudi, Nasrani (kristian) atau kafirun, jika terpaksa dilakukan di dalam sesuatu majlis sosial yang bersama dengan mereka itu.

Makna “Sam” atau “Assam” ialah “Racun”.

UCAPAN SALAM HANYA SEBAGAI “OUT OF HABIT” SAHAJA

Ramai juga di antara kenalan yang boleh dianggap, tahu tentang penggunaan adab-adab dan peraturan menyiarkan salam dan kirim mengirim salam tetapi tidak menggunakannya dengan betul.

Ada di antara mereka itu melafazkan salam hanya sebagai “out of habit” sahaja atau adat yang lazim digunakan sebagai pembukaan kata atau ucapan-ucapan syarahan, ceramah dan sebagainya.

Bagi orang awam pula, tidak mengamalkannya dengan adab yang betul. Sebagai contoh: Ada orang yang menyebut dengan perkataan “ Selamu alaikum” , “Walai kum selam”, “Sela mu ala kum”, Wala kum salam”, “Asa lakum”, “Kum salam”, “Salam sejahtera” dan berbagai-bagai sebutan lagi.

UCAPAN SALAM YANG TIDAK SEMPURNA

Terdapat ramai di kalangan orang-orang Islam, samada dari kalangan orang-orang yang dianggap memahami Agama Islam yang diberi atau mendapat gelaran seperti “ustaz dan ustazah” dan lain-lain gelaran yang ada; tidak memberi perhatian yang wajar atas menyampaikan dan menerima salam dalam kehidupan seharian.

Mereka itu memberi atau menjawab salam secara tergesa-gesa dan gopoh, tanpa jelas dan sahih sebutan salamnya.

Perbuatan seumpama itu akan menempah bahaya dan besar akibatnya sehingga menjadikan darjat salam itu daripada wajib ke tahap makruh dan mungkin jatuh ke tahap kecelakaan dan bala disebabkan salah sebutan dan salah maknanya.

TIGA PULUH DARJAT HASANAT SALAM

Apabila salam keAgamaan “Assalamu ‘Alaikum” diberi oleh saudara-saudara yang dikenali benar sebagai Islam dari segi akhlak dan amalannya, maka wajib seseorang itu menjawabnya dengan perkataan “ Wa‘alaikumussalam” sekurang-kurangnya.

Selengkap dan sempurna jawabannya ialah “Wa‘alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh”.

Dalam masyarakat orang-orang Islam, umumnya digalakkan mengirim salam “ Tabligh Assalam” kepada saudara mara, sahabat handai, rakan kenalan dan sebagainya. Amalan itu dipuji dalam Agama Islam kerana menghubung tali persaudaraan, menambahkan kasih sayang di antara satu sama lain. Salam yang ikhlas dan sempurna itu lebih mahal daripada barangan yang berharga dan harta berkoyan-koyan.

Sebab mengapa salam itu lebih tinggi dan termahal daripada semua ialah perkataan “ASSALAMU” ialah sebutan nama ALLAH YANG MAHA SELAMAT SEJAHTERA, “THE GIVER OF SECURITY”.

Oleh itu, bila seseorang itu mengucap salam, maka ia mendoakan semoga Allah Ta’alaa bersama-samanya. Adakah lain-lain nilai di langit, di bumi dan barang di antaranya lebih bernilai atau lebih berharga daripada mendapat Allah Ta’alaa bersama seseorang mukmin dan mukminah? Tentu tidak ada yang lebih nilainya kepada seseorang yang beriman kepadaNYA.

Salam mempunyai darjat-darjat afdhal atau kurang afdhalnya mengikut cara sebutan yang diucapkan, seperti Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Termidzi; Mafhumnya:

Daripada ‘Imran bin Husoin, katanya: ‘bahawasanya seorang lelaki datang kepada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka berkata ia “Assalamu ‘Alaikum”; bila didengar Nabi SAW sahabatnya datang dengan memberi salam itu, lalu Baginda bersabda kemudian daripada menjawab salam itu: “Bermula dengan memberi salam dengan sebutan “Assalamu ‘Alaikum” itu sebab bagi disurat malaikat sepuluh hasanat. Kemudian datang seorang yang lain daripada tadi kepada Nabi SAW juga lalu ia memberi salam katanya “Assalamu ‘Alaikum Warahmatullah”, bila didengar Nabi SAW akan salamnya itu lalu Baginda menjawabnya, kemudian Baginda bersabda: “Bermula memberi salam dengan sebutan “Assalamu ‘Alaikum Warahmatullah” itu sebab bagi disurat oleh malaikat dua puluh hasanat. Kemudian datang pula lelaki yang lain kepada Nabi SAW lalu diberinya salam kepada Nabi SAW dengan katanya: ‘Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh”. Bila didengar oleh Nabi SAW akan salamnya, lalu Baginda menjawabnya salam itu dan Baginda bersabda: “Bermula memberi salam dengan sebutan “Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh” itu sebab ditulis oleh malaikat tiga puluh hasanat.”

Hadis ini Hasan lagi Gharib lagi Sohih, diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah, Saiyidana ‘Ali, Abi Said dan Sahl.

TABLIGH ASSALAM

Menerima dan menyampaikan salam yang dilafazkan dengan salam yang sempurna “Assalamu ‘Alaikum” atau “Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh” oleh pengirim salam kepada seseorang tertentu adalah menjadi amanah yang ditaruh atau diletakkan kepada orang yang menerima amanah kiriman itu.

Misalannya:

‘Ali mengirim salam kepada Abu Bakr melalui Umar. ‘ Ali melafazkan di hadapan Umar perkataan salam “Assalamu ‘Alaikum, aku kirim salam kepada Abu Bakr”. Umar menjawab “InsyaAllah”.

Apabila Umar berjumpa dengan Abu Bakr, Umar menyampaikan salam daripada ‘ Ali dengan melafazkan perkataan salam “Assalamu ‘Alaikum”, salam daripada ‘ Ali kepadamu. Abu Bakr menjawab salam yang dikirimkan oleh ‘Ali itu dengan perkataan “Wa’alaikumussalam”, atau Abu Bakr menjawab salam daripada Ali itu dengan jawaban salam yang sempurna perkataannya “Wa’alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh”.

Jika orang yang menerima amanah salam itu, iaitu pembawa salam, dengan sengaja tidak menyampaikan salam yang dikirimkan melaluinya kepada orang yang dikirimkan salam maka orang yang membawa salam itu adalah orang yang khianat yakni orang yang tidak beramanah.

Dengan sebab itu, apabila seseorang mengirim salam, si penerima kiriman salam itu hendaklah menyebut perkataan “InsyaAllah” kerana dikhuatiri ia tidak dapat bertemu dengan orang yang bakal menerima salam tersebut atau terlupa unutk menyampaikan kiriman salam tersebut.

Demikianlah amalan yang diperbuat oleh orang-orang Islam sejak dari zaman Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

KIRIMAN SALAM YANG KOSONG

Sayangnya di sebalik amalan yang baik itu, terdapat ramai di antara orang-orang Islam samada orang biasa atau orang-orang yang dianggap tahu Agama; ketika mengirim salam biasanya menyebut “kirim salam kepada si polan dan si polan” atau dengan perkataan “ kirim salam kepada semua” tanpa ucapan “ASSALAMU ‘ALAIKUM”.

Perkataan “Kirim salam kepada semua” adalah tidak khusus dan sebutan sambil lewa itu hanyalah sebagai “habit” atau ianya bukan lafaz dari cetusan hati yang ikhlas.

Namun begitu, adalah menjadi amat sedih lagi apabila orang-orang yang membawa kiriman salam itu ketika menyampaikannya kepada orang yang berkenaan dengan berkata “ Si polan dan si polan kirim salam kepadamu” dan penerima salam tersebut menjawab “Wa’alaikumussalam” tanpa ada sebutan salam tersebut.

Misalannya:

Abdullah mengirim salam tanpa sebutan “salam” kepada Muhammad melalui Tahir.

Abdullah menyebut kepada Tahir “Kirim salam kepada Muhammad”. Apabila Tahir berjumpa dengan Muhammad, Tahir berkata: “Abdullah mengirim salam kepadamu”. Lantas Muhammad pun terus menjawab “Wa’alaikumussalam”, sedangkan tiada sebutan “salam” daripada Abdullah.

Apa yang dibawa oleh Tahir itu hanyalah semata-mata kiriman yang kosong isinya. Sepatutnya Muhammad tidak perlu menjawab.

Muhammad hanya wajib menjawab salam bila ada lafaz perkataan salam yang sempurna diterimanya iaitu “Assalamu ‘Alaikum” atau “Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh”; jika tidak ada, maka tidak perlu dijawab.

MALAIKAT KIRIM SALAM DENGAN PERKATAAN “ASSALAM”

Pada suatu ketika diriwayatkan bahawa malaikat Jibril ‘Alaihissalam mengirim salam kepada Siti ‘Aisyah isteri Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melalui Nabi SAW sendiri, seperti dalam Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Termidzi katanya: (mafhum)

Diriwayatkan daripada Saiyidatina ‘Aisyah iaitu seorang daripada isteri Nabi SAW bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda pada Saiyidatina ‘Aisyah: “Hai ‘Aisyah, sesungguhnya Jibril ‘Alaihissalam mengucapkan salam kepadamu yakni berkirim salam padamu, katanya (Jibril A.S.) “Assalam” atas Siti ‘Aisyah.” Bila didengar oleh Siti ‘Aisyah akan sabda Nabi SAW demikian itu lalu dijawabnya “Wa’alaihissalam Warahmatullahi Wabarakatuh.”

Hadis ini Hasan lagi Sohih.

Dalam Hadis tersebut di atas, jelas menunjukkan bahawa Jibril ‘Alaihissalam melafazkan perkataan “Assalam” di hadapan Nabi SAW sebagai kiriman salam kepada Siti ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha.

Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga melafazkan balik perkataan “Assalam” yang dikirimkan oleh Jibril A.S. apabila baginda menyampaikan salam tersebut kepada Siti ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha.

Kemudian Siti ‘Aisyah menjawab: “Wa’alaihissalam Warahmatullahi Wabarakatuh” , sebagai jawaban salam yang lengkap dan sempurna kepada malaikat Jibril ‘Alaihissalam.

Wallahu a’lamu bissawab.

Catatan:

Tulisanku ini adalah sambungan kepada catatan Blog yang sama pada Friday, September, 2007 di bawah tajuk “Assalam” Nama Allah ‘Azza Wajalla.

Hari Jumaat

15 Muharram 1431 Hijriyah

01 Januari 2010


No comments: