Sunday, April 20, 2008

AMANAT AYAHANDA GHAZALI MUHAMMAD NUR DAUD ABDUL RAHMAN


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.


Ayah amat bersyukur kepada Allah SWT atas limpah kurnia nikmatNya menganugerahkan masa yang berbahagia ini serta memberi segala kesihatan kepada kita sekalian dapat berjumpa di rumah Kuala Kubu Bharu pada hari ini.


Allah 'Azza Wa Jalla dengan kehendak kudrat iradatNya telah menentu dan menetapkan sebagai suratan bahawa kita dizahirkan dalam keluarga yang ada ini.


Sesungguhnya Allah 'Azza Wa Jalla Maha Pencipta sesuatu. Sesungguhnya Allah yang Maha Mengetahui lagi Amat Bijaksana. Allah SWT tidak menciptakan sesuatu itu sia-sia begitu sahaja.

Seperti FirmanNya :


"Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka"

Surah A-Li 'Imraan Ayat 191


Sesungguhnya dalam 'amal ibadat menyambungkan silaturrahim dengan kerabat yang terdekat ini ianya menghadapi banyak cabaran dan dugaan-dugaan. Sesuatu amalan samada perintah atau larangan Allah Ta'ala itu senantiasa ditentangi oleh syaitan-syaitan yang cuba mengagalkannya. Syaitan-syaitan sedia tahu bahawa seseorang itu tidak akan sekali-kali masuk ke syurga Allah, hanya dengan melakukan satu kesalahan sahaja iaitu memutuskan silaturrahim. Oleh itu, syaitan-syaitan dan kuncu-kuncunya bekerja kuat untuk mencantas silaturrahim agar mangsa-mangsa mereka itu masuk ke neraka jahannam bersama-sama mereka.
Seperti Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah Ayat 27 :
"Those who break Allah's Convenant after ratifying it, and sever what Allah has ordered to be joined (as regards Allah's religion of Islamic Monotheism, and to practise its laws on the earth and also as regards keeping good relations with kith and kin(2) ), and do mischief on earth,
it is they who are the losers."

(2) - Narrated Jubair bin Mut'im r.a. that he heard the Prophet S.A.W. saying, "[Al-Qati' (the person who severs the bond of kinship) will not enter Paradise" [Sahih Al-Bukhari, 8/5984(O.P.13)]

Ramai manusia Islam yang terjerat, terbabas dan tersungkur terkena jerangkap samar syaitan dek kerana kemahuan diri dan hati mereka sendiri. 'Na'udzubillahi min zalik' - Kami berlindung dengan Allah daripada demikian itu.

Mengenai dana famili, untuk diri Ayah dan kak Azian, kami berharap bahawa dana ini hendaklah dihidupkan dan dijadikan sebagai amalan jariah. Ia bukan sahaja untuk dinilaikan dengan jumlah tabungan banyak atau sedikit sebaliknya ia hendaklah selalu dinilaikan kepada pahala yang berpanjangan hingga ke akhirat kelak.


InsyaAllah, dengan limpah kurnia Allah SWT diberi kesihatan dan panjang umur, jika ada diantara kita mempunyai kemudahan dan rezeki, boleh mengadakan tabungan sendiri. Namun begitu adalah menjadi harapan Ayah bahawa tabung dana famili kita ini hendaklah diteruskan juga di atas dasar ikatan silaturrahim. Dana famili ini mudah-mudahan dengan izin Allah Ta'ala berterusan sehingga ke anak cucu cicit turun temurun.


Bagi diri Ayah sendiri dengan penubuhan dana famili ini, dengan izin Allah Ta'ala, Ayah memohon kehadrat Ilahi supaya ianya menjadi wadah yang dapat mengkifaratkan segala kesalahan dan menebus segala dosa Ayah yang telah lalu yang mana Ayah telah mengabaikan tanggungjawab Ayah tentang memberi pendidikan agama Allah dengan sempurna semasa anak-anak Ayah masih kecil sampai ke 'aqil baligh. Disini juga Ayah meminta kemaafan daripada anak-anak Ayah sekalian, di dunia dan di akhirat, Lillahi Ta'ala. Ayah mendapat nikmat sepenuhnya dari Allah SWT apabila Ayah mendengar kemaafan yang diberi anak-anak Ayah maka hilanglah segala dukacita yang terbuku di dalam sanubari hati kecil Ayah selama ini. Jazakumullahu khairan kathiraa.


Maha Suci Engkau Ya Allah, dengan segala pujian kepada Engkau, tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau, aku memohon keampunanMu dan aku bertaubat kepadaMu.


"Demi masa!

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar"

Surah Al-'Asr Ayat 1-3


Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Amanat ini diberi dalam mesyuarat Dana Famili kali yang kedua pada hari Ahad 7 Rabi'ul Akhir 1429 Hijriyyah bersamaan 13 April 2008 jam 9.00 pagi bertempat di rumah 50 Jalan Bunga Tanjung, Taman Kuala Kubu Utama, 44000 Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan.





No comments: