Friday, February 28, 2014

SOMBONG DAN BAKHIL TIDAK BERSOLAWAT

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


SIAPA ORANGNYA?

Saban hari siang dan malam, terdapat  ramai penceramah-penceramah Agama Islam yang ralit dan terlalu ghairah ketika berceramah apabila ada pendengar-pendengar dan penonton-penonton bergelak ketawa semasa mendengar ceramah mereka.

Mereka bukan sahaja ralit ketika berceramah tetapi juga sombong dan bakhil hendak mengucapkan Solawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam setiap kali mereka menyebut nama Baginda Rasul Sallallahu ‘Alahi Wasallam atau ganti nama Baginda.

Ada penceramah-penceramah Agama Islam menyebut nama Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Muhammad, Ahmad dan lain-lain nama tanpa  Solawat, maka sebutan nama yang tidak ada Solawat, ianya bukan ditujukan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kerana terdapat ramai manusia yang bernama Muhammad atau Ahmad, samada yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Begitu juga terdapat ramai daripada orang-orang Islam yang jahil, yang jarang-jarang atau sambil lewa bersolawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.


ADA TIPU MUSLIHAT

Adapun bagi pembawa-pembawa ajaran politik fahaman Wahabi/Salafi yang amat taksub kepada pemimpin  mereka iaitu Muhammad bin Abdul Wahab (1703 – 1792), dan begitu juga pengikut-pengikut fahaman Ahmadiyah yang dibawa oleh Mirza Ahmad Qadiani (1835 – 1908), sering kali mereka tidak bersolawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tatkala mereka menyebut nama atau ganti nama Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, atau pada masa-masa yang disebut nama atau ganti nama Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kecuali solawat mereka itu bagi tujuan tipu muslihat  semata-mata.


SOLAWAT ADALAH PERINTAH ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA

Solawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah perintah Allah Ta’ala ke atas semua orang-orang yang beriman.  Oleh itu mana-mana orang yang beriman yang tidak melaksanakan perintah tersebut adalah melanggar perintah Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Ahzaab, Ayat 56, maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya bersolawat kepada Nabi (Muhammad Sallallahu ‘Alahi Wasallam); wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”  Ayat 56


CELAKA ORANG YANG TIDAK BERSOLAWAT

Diriwayatkan dari Anas radhiAllahu ‘anh, ketika Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam naik ke atas mimbar, Baginda mengucapkan: “Amiin, Amiin, Amiin.”  Maka ada yang bertanya: “Apakah yang engkau aminkan, ya Rasulullah?”  Baginda bersabda:

“Aku telah didatangi oleh Jibril a.s., dia berkata: “Wahai Muhammad, sangat hina orang yang namamu disebutkan di sisinya, namun ia tidak mengucapkan solawat kepadamu, ucapkanlah: “Amiin (semoga Allah mengabulkan)!”  Maka aku pun mengucapkannya.
 
Lalu Jibril a.s. kembali lagi: “Sangat hina orang yang bertemu dengan bulan Ramadhan (hingga hari terakhir), namun tidak ada ampunan baginya, ucapkanlah: “Amiin!”  Maka aku pun mengucapkannya. 

Kemudian Jibril a.s. berkata lagi: “Sangat hina seseorang yang sempat menemui kedua orang tuanya (ketika masih hidup) atau salah satu di antara keduanya (masih hidup), namun keduanya tidak menyebabkannya masuk syurga, ucapkanlah: “Amiin!”  Maka aku pun mengucapkannya.”  At-Tirmidzi


FADHILAT-FADHILAT SOLAWAT 

Terdapat beberapa Hadis-hadis yang menyebutkan fadhilat-fadhilat dan faedah-faedah  bagi sesiapa yang bersolawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, di antaranya:

1.      Berganda-ganda rahmat yang dilimpahkan Allah kepadanya.  Rahmat Allah adalah satu perkara yang sangat-sangat dikehendakki dan yang sungguh-sungguh dipohon oleh tiap-tiap orang yang beriman, kerana sebarang nikmat, ilmu pengetahuan, anak pinak, harta benda, pengaruh dan kebesaran, kalau tidak disertai oleh rahmat Allah akan menjadi bala bencana. 

Oleh sebab itu Allah memerintah  orang-orang yang beriman bergembira dengan rahmat kasih sayangNya sahaja.

2.      Tempat-tempat yang berdekatan dengan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada hari qiamat kelak di mana sahaja Baginda berada.

3.      Keutamaan beroleh syafa’at yang khas dari Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada hari qiamat.

4.      Doa Solawat malaikat yang sentiasa bersolawat kepadanya selama ia bersolawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

5.      Jaminan terpeliharanya dan terselamatnya daripada segala apa yang mendukacitakannya dan yang membimbangkannya dari perkara-perkara dunia dan akhirat.

6.      Habuan yang menyelamatkan dia daripada ditimpa keburukan yang menimpa orang yang tidak bersolawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Berikut adalah beberapa Hadis rujukan:

1.  “Dari Abi Hurairah radhiAllahu ‘anh, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesiapa yang bersolawat kepadaku sekali solawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali solawat itu.” – Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Nasai, Imam Ahmad dan Ibn Habban.”

2.  “Dari Anas radhiAllahu ‘anh, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku  dari kalangan kamu pada hari qiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak solawatnya kepadaku di dunia.” – AlBaihaqi.”

3.  “Dari Ibn Mas’ud radhiAllahu ‘anh, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Orang yang lebih berhak mendapat syafa’atku pada hari qiamat ialah orang yang lebih banyak solawatnya kepadaku.” – AtTarmidzi.”

4  “Dari ‘Amir bin Rabi’ah radhiAllahu ‘anh, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesiapa yang bersolawat kepadaku dengan sesuatu Solawat, sentiasalah malaikat berdoa untuknya selama ia bersolawat kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang samada ia hendak bersolawat sedikit atau banyak.” – Imam Ahmad dan Ibn Majah.”

5.  “Dari Ubai bin Ka’b radhiAllahu ‘anh, katanya:

“Ya Rasulullah!  Aku banyak menggunakan masa berdoa memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa bersolawat bagi tuan, maka sebanyak mana yang elok aku untukkan? 

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Sekadar mana yang engkau suka”;  

Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”;

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda; “Sekadar mana yang engkau suka dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”; 

Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari  masaku”;

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu  lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masaku”;

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “(kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk bersolawat kepada tuan”;

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa  yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, samada perkara dunia mahupun perkara akhirat, dan diampunkan dosamu.” – AtTirmidzi, Imam Ahmad, AlHakam.”



Hari Jumaat
28 Rabi’ulAkhir 1435 Hijriyah
28 Februari 2014





Friday, January 10, 2014

SAMBUTAN TAHUN BARU CINA


TAHUN KUDA “WU”

Tahun Baru Cina tahun ini adalah tahun KUDA dan akan disambut mulai pada malam 30 Januari 2014 hingga 14 Februari 2014. Bagi mereka yang lahir dalam tahun KUDA, dipercayai cerdik, bijak bercakap dan ceria tetapi degil.


LAMBANG BINATANG

Mengikut zodiak Cina, ada 12 binatang yang dijadikan lambang setiap tahun bagi 12 pusingan tahun.  Binatang-binatang tersebut ialah:

TIKUS, LEMBU, HARIMAU, ARNAB, NAGA, ULAR, KUDA, KAMBING, KERA, AYAM JANTAN, ANJING dan BABI.  

Dikatakan bahawa mana-mana orang Cina yang lahir dalam tahun yang berlambangkan binatang berkenaan, maka ia akan mengikut sifat-sifat dan tabiat-tabiat binatang tersebut.

Lambang-lambang binatang dalam zodiak Cina dicipta dalam masa pemerintahan kafir Cina.  Sewaktu Dinasti Han dalam pemerintahan Maharaja Wu pada 104 SM, ia telah menetapkan bulan 1 kalendar Cina sebagai awal Tahun Baru Cina. 

Kini sambutan Tahun Baru Cina menjadi adat dan budaya di Tanah Besar China, Hong Kong, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan , Thailand.  Termasuk juga tempat-tempat yang kuat dipengaruhi budaya Cina seperti Vietnam, Korea, Tibet, Mongolia dan Jepun.


MEMBERSIH RUMAH

Keluarga-keluarga Cina akan membersihkan secara menyeluruh rumah-rumah mereka beberapa hari sebelum hari Tahun Baru Cina sebagai menghalau nasib malang dan musibah yang telah menimpa mereka dan mereka mempercayai bahawa nasib baik “good luck” tidak di sapu keluar, semua penyapu dan pengumpul habuk disimpan dan disembunyikan.


JAMUAN PERTEMUAN SEMULA “REUNION DINNER”

Acara terbesar pada malam sebelum Tahun Baru Cina ialah jamuan pertemuan semula “Reunion Dinner”.  Adalah menjadi kemestian semua ahli keluarga samada jauh dan dekat balik dan berada di rumah orang tuanya pada petang bermulanya Hari Tahun Baru Cina itu, berkumpul menikmati makanan bersama keluarga.  Ibu bapa akan mempastikan anak-anak mereka balik pada hari tersebut dalam apa jua keadaan dan suasana selagi mereka berdua masih hidup.


PERAYAAN AGAMA CINA

Orang-orang Cina kafir, orang-orang keturunan Cina kafir samada ia berkahwin dengan orang-orang Islam atau ia memeluk Islam, bagi sesetengah daripada mereka masih mempunyai sentimen menebal terhadap adat resam dan upacara-upacara sambutan Tahun Baru Cina yang ada dalam diri mereka atau mereka terpaksa mengikut kehendak suami atau isteri mereka yang berketurunan Cina kafir itu.

Ada sesetengah orang mengatakan bahawa perayaan Tahun Baru Cina itu bukan perayaan keagamaan Cina dan semua orang boleh menyambutnya tanpa mengira kaum dan agama.

Tetapi kenyataannya, dapat dilihat bahawa setiap perayaan Tahun Baru Cina, orang-orang Cina akan membakar mercun bagi menghalau hantu-hantu jahat (puaka) dan nasib malang, melakukan pemujaan bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan dan bumi,  penyembahan berhala-berhala dan datuk nenek mereka yang telah mati dengan menyediakan hadiah-hadiah dan makanan-makanan khas.

Dalam tempoh masa perayaan Tahun Baru Cina itu, mengikut adat orang-orang Cina turun temurun, mereka akan menyediakan makanan-makanan khusus yang istimewa iaitu di antaranya ialah luohan zhai, kuih cang, yee sang dan lain-lain lagi.


BERHATI-HATI DAN BERWASPADA

Bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mereka harus berhati-hati dan berwaspada agar mereka tidak terlibat dan bersyubahat dengan apa jua upacara-upacara yang diadakan oleh kaum-kaum kafir, kaum-kaum musyrikin jahiliyah dan sebagainya yang menyalahi  syari’at dan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.



Hari Juma’at
8 Rabi’ulAwwal 1435 Hijriyah
10 Januari 2014



Friday, December 13, 2013

PERKATAAN ALLAH


TIADA SEBANDING DENGAN ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA

Firman ALLAH TA’ALA dalam Surah Asy-Syura, Ayat 11, maksudnya:

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan [ALLAH] (DzatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiran)Nya, dan Dia(ALLAH)lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.  Ayat 11  


ALLAH says:

“There is nothing like Him (ALLAH), and He (ALLAH) is the All-Hearer, the All-Seer.”  (V42: 11)  Ash-Shura   


ALLAH YANG MAHA ESA

ALLAH TA’ALA berfirman dalam Surah Al-Ikhlas, Ayat 1 hingga Ayat 4, maksudnya:

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

“Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah ALLAH Yang Maha Esa.”  Ayat 1

“ALLAH yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.”  Ayat 2

“Ia (ALLAH) tiada beranak, dan Ia (ALLAH) pula tidak diperanakkan.”  Ayat 3

“Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya (ALLAH).”  Ayat 4


ALLAH says:

In the Name of ALLAH, the Most Gracious, the Most Merciful.

“Say (O Muhammad): “He is ALLAH (the) One.”  (V112: 1)

ALLAHUS SAMAD –[ALLAH – the Self-Sufficient Master, Whom all creatures need, (He (ALLAH) neither eats nor drinks)].”  (V112: 2)

“He (ALLAH) begets not, nor was He (ALLAH) begotten.”  (V112: 3)

“And there is none co-equal or comparable unto Him (ALLAH).” (V112: 4) Al-Ikhlas


PERKATAAN “ALLAH” DAN PERKATAAN  ILAH
  
TIDAK ADA ILAH [tuhan] (yang berhak disembah) MELAINKAN ALLAH

THERE IS NO ILAH (god) BUT ALLAH


ALLAH TA’ALA berfirman dalam Surah Asy-Syu’araa’, Ayat 213, maksudnya:

“Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah ILAH (tuhan) yang lain bersama-sama ALLAH, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa.” Ayat 213


ALLAH says:

“So invoke not with ALLAH another ILAH (god) lest you should be among those who receive punishment.”  (V26: 213) Ash-Shu’araa’


Perkataan “ALLAH” dalam Al-Quran Al-Kariim itu khusus termulia dan teragong bagi zat ALLAH ‘Azza Wa Jalla - ALLAH Yang Maha Tinggi.  Maka perkataan “ALLAH  tidak boleh sekali-kali disamakan, disetarafkan dan diterjemahkan kepada semua bahasa di muka bumi ini hingga ke hari Qiamat. 

Sebaliknya perkataan “ILAH” pula adalah perkataan umum yang bererti “tuhan” yakni segala tuhan lain daripada “ALLAH”.


SALAH GUNA PERKATAAN “ALLAH

Apabila perkataan “ALLAH” diboleh gunakan dalam tulisan dan pertuturan oleh agama lain seperti Yahudi, Kristian dan lain-lain, maka perkataan “ALLAH bila disalah gunakan atau digunakan dengan tujuan menyeleweng atau menghina, ianya boleh menimbulkan fitnah yang wajib dipertahankan oleh semua umat Islam.

Penghinaan seperti menggunakan perkataan “ALLAH” pada tempat-tempat, objek-objek yang tidak selaras dengan kesucian perkataan “ALLAH”, adalah suatu muslihat bertujuan menipu umat Islam.   

Di samping itu, ianya menjadi satu kesulitan untuk mengenali seseorang itu yang belum dikenali agamanya samada orang itu Islam atau orang Kristian atau lain-lain orang yang bukan Islam.

Justeru itu, ia akan lebih menyulitkan atas perkara-perkara yang berkaitan dengan amal ibadat-amal ibadat yang khusus untuk orang-orang Islam dan orang-orang yang beriman kepada ALLAH sahaja, seperti urusan perkahwinan, kematian dan lain-lain.


Allah (الله)
 
الله  “ALIF-LAM-LAM-HA”  TERCEMAR

Selain daripada kecelaruan tersebut di atas, perkataan “ALLAH” itu akan tercemar jika digunakan bukan pada tempat yang suci. 

Lebih-lebih lagi apabila perkataan “ALLAH” ditulis dengan huruf  hija-iyah Al-Quran Al-Kariim iaitu “ALIF-LAM-LAM- HA” dilukis, dibentuk dengan logam-logam, plastik, kaca dan lain-lain, digantung di gereja, atas salib, atas gambar atau patung Jesus, atas gambar atau patung Mary, di atas menara gereja, di kedai, di rumah atau dipakai di leher artis yang mendedah aurat, atau dipakai ketika berdansa, atau ketika berbogel atau sedang melakukan maksiat atau dibawa masuk ke dalam tandas dan lain-lain tempat yang hina dan kotor, atau dipijak-pijak orang.


KEPUTUSAN MAHKAMAH SIVIL

Mahkamah Rayuan (Sivil) pada hari Isnin, 14 Oktober 2013 telah memutuskan bahawa perkataan “ALLAH” dilarang untuk digunakan oleh orang-orang Kristian dalam kitab Injil yang telah dipinda dan dalam apa-apa penerbitan mengenai hal ehwal Kristian. 

Namun begitu perkara itu masih lagi diperkatakan orang.  Ada di antaranya pro dan ada pula yang kontra atas keputusan Mahkamah Rayuan (Sivil) itu.  Masing-masing mempunyai pandangan dan hujah-hujah mereka sendiri.

Akhir-akhir ini, banyak kritikan yang di buat oleh orang-orang orientalis Islam dari dalam dan luar negara. 

Melihat kepada tulisan-tulisan mereka itu mengenai perkataan “ALLAH” dengan kata-kata yang dibawa untuk mempertahankan hujah mereka adalah merewang mengikut logik akal dan penggunaan bahasa bukan mengikut keilmuan ‘aqidah Islam Agama Tauhid, Agama ALLAH Yang Maha Esa.

Orientalis-orientalis Islam itu mempunyai berbagai-bagai bawaan fahaman yang ditopengkan dan disadurkan dengan Islam. 

Di antara bawaan mereka ialah fahaman Ahmadiyah, fahaman Bahai, fahaman Wahhabi, fahaman Syiah, fahaman ateis dan lain-lain fahaman lagi.

Oleh itu, maka tidak hairanlah bahawa pertelagahan pandangan dan fahaman mengenai penggunaan perkataan “ALLAH” dianalisakan melalui pandangan-pandangan yang mengikut sudut-sudut yang berbeza dalam kecelaruan, kekeliruan dan kesesatan fahaman-fahaman yang dibawa oleh orientalis-orientalis itu.

Segala tulisan-tulisan dan pandangan-pandangan orientalis-orientalis  itu dijadikan bahan liputan dan publisiti yang luas oleh media massa-media masa tajaan Yahudi dan Kristian.  Ianya secocok dengan perancangan jahat mereka untuk memadamkan cahaya ALLAH yakni Agama Islam, Agama Tauhid.


ALLAH TA’ALA berfirman dalam Surah At-Taubah, Ayat 32, maksudnya:

“Mereka hendak memadamkan cahaya ALLAH (Agama Islam) dengan mulut mereka, sedang ALLAH tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya (Agama Islam), sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”  Ayat 32


ALLAH says:

“They (the disbelievers, the Jews and the Christians) want to extinguish ALLAH’s Light (with which Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam has been sent – Islamic Monotheism) with their mouths but ALLAH will not allow except that His Light should be perfected even though the kafiruun (disbelievers) hate (it).”  (V9: 32)  At-Taubah


400 TAHUN TIADA PERKATAAN “ALLAH” DIGUNAKAN

Semenjak Portugis, Belanda dan Inggeris menakluk dan memerintah Tanah Melayu dari tahun 1511 Masihi iaitu kurang lebih 446 tahun, meskipun banyak kitab Injil telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, perkataan “ALLAH” tidak dimasukkan sebagai ganti perkataan “god” atau “lord”, sedangkan penjajah-penjajah tersebut mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat demikian tanpa perlu mendapat kebenaran dan kelulusan mahkamah.


ALLAH YANG MAHA AGONG

Sesungguhnya sebarang keputusan mana-mana Mahkamah, samada Mahkamah itu di negara-negara umat Islam atau negara Kafir, yang menggunakan undang-undang jahiliyah rekaan manusia mengenai perkataan “ALLAH” itu, sama sekali tidak dapat mengurangkan atau menambah taraf atau mengesahkan atau membatalkan ketinggian dan kemuliaan ALLAHU AHAD, ALLAH YANG MAHA ESA, ALLAHU ‘AZZA WA JALLA, ALLAH YANG MAHA TINGGI, ALLAH Yang memerintah segala makhluk yang berada di langit dan di bumi dan semua yang ada didalamnya.


WALLAHU A’LAMU BISSAWAAB



Hari Juma’at
10 Safar 1435 Hijriyah
13 Disember 2013