“MAT SALEH”
Semasa melancong ke beberapa negara dalam Kesatuan Eropah
(EU), beberapa tahun yang lalu, ternampak ramai orang dalam negara-negara Eropah
tersebut mempunyai berbagai-bagai warna kulit;
ada hitam, putih, kuning langsat dan sawo matang.
Bukan semuanya pelancong tetapi kebanyakan mereka yang
berbagai warna kulit itu memiliki gedung-gedung perniagaan dan ada yang bekerja
makan gaji.
Pelancong-pelancong pun ramai juga, di antaranya ada yang “Caucasians”
dan ada yang datang dari benua Afrika, Jepun, China dan dari Asia Tenggara
termasuklah dari Malaysia.
Menjadi hairan kerana semasa masih kanak-kanak, telah
digambarkan orang bahawa orang-orang di negara barat yakni negara-negara di
Eropah, orang-orangnya berkulit putih belaka.
Mereka juga disebut dengan gelaran “Mat Saleh” oleh
orang-orang Melayu Malaysia. Entah macam
mana sebutan “Mat Saleh” itu termasuk dalam pertuturan Bahasa Melayu, sedangkan
mereka itu bukan baik akhlaknya.
BERKULIT WARNA
Setelah sampai di sesetengah negara di Eropah, maka sedikit
demi sedikit terhapuslah tanggapan yang sebelum ini gambaran dan pemikiran
bahawa orang-orang di Eropah itu berkulit putih belaka.
Rakyat negara-negara di Eropah itu sebenarnya terdiri dari
berbagai warna kulit sama ada yang bekerja dengan kerajaan atau lain-lain
sektor dan mereka serupa sahaja dalam aspek kehidupan mereka dengan orang-orang
yang berkulit putih.
Mereka yang berbagai-bagai warna kulit itu adalah keturunan orang-orang dari luar
benua Eropah yang telah lama berpindah dan menetap di negara-negara Eropah.
Cerita-cerita sesetengah daripada mereka yang berkulit warna
itu yang sempat di dengar, adalah bahawa mereka sudah beberapa generasi tinggal
di Eropah. Didapati gaya dan cara hidup
mereka seperti cara pemakaian, pemakanan lebih kurang sama dengan orang-orang
berkulit putih.
Apapun gaya dan cara hidup mereka, mereka tetap berkulit
warna, “coloured” gelaran yang diberi oleh “Mat Saleh” orang-orang yang
berkulit putih itu.
KACANG SOYA
Ada sesetengah orang-orang Melayu khususnya wanita-wanita yang
terikut-ikut dengan kepercayaan yang
dikutip daripada kaum-kaum Cina, Hindu, Sikh dan lain-lain kaum yang ada di
Malaysia ini bahawa untuk mendapatkan anak-anak yang berkulit putih, ibu-ibu yang
mengandung hendaklah banyak minum susu, air soya dan makan keju.
Sekiranya orang-orang Melayu yang mempercayai hal-hal
tersebut, mempunyai alasan yang kukuh berdasarkan kajian saintifik dengan meminum
susu, air soya dan makan keju boleh menjadikan anak-anak mereka putih, maka
adalah dicadangkan supaya semua ibu-ibu yang mengandung melakukan yang demikian
supaya semua generasi rakyat Malaysia
menjadi putih dan tiada lagi kulit-kulit yang berwarna hitam, gelap atau sawo
matang.
Sekiranya semua rakyat Malaysia menjadi putih dengan meminum
susu, air soya dan makan keju seperti yang tersebut di atas, maka bagaimana
pula ibu-ibu yang mengandung di Malaysia yang makan kicap hitam pekat yang juga diperbuat dari ramuan kacang soya? Mungkinkah anak-anak mereka yang lahir nanti
berkulit hitam pekat lebih hitam daripada orang-orang yang berkulit hitam?
SUARA DAN GAMBAR
Ada lagi tahayul orang-orang Melayu, bagi sesetengah ibu-ibu
yang mengandung dan juga segolongan orang-orang perempuan Melayu menganggapkan
bahawa jika mereka mahukan anak-anak perempuan dalam kandungan mereka menjadi
cantik dan elok rupa parasnya, ibu-ibu yang mengandung itu hendaklah menonton
atau selalu menatap gambar-gambar orang-orang yang cantik seperti artis-artis
dan lain-lainnya.
Begitu juga jika mereka mahukan anak-anak mereka mempunyai
suara yang merdu, mereka hendaklah
selalu mendengar nyanyian lagu-lagu yang dinyanyikan oleh orang-orang yang
mereka anggap merdu suaranya pada pendengaran mereka.
PERBUATAN SYIRIK
Tahayul-tahayul sepertimana tersebut di atas yang dibawa
oleh ahli keluarga atau sahabat handai atau orang-orang luar yang
menyampaikannya dengan penuh keyakinan membuat sesetengah ibu-ibu Melayu yang
mengandung itu terikut-ikut melakukan kepercayaan tersebut tanpa mengambil kira
perbuatan mereka itu adalah perbuatan syirik.
Hari Jumaat
10 JamadilAwwal 1434 Hijriyah
22 Mac 2013
No comments:
Post a Comment