KAWAN KARIB YANG RENDAH AKHLAK
Setiap orang
sama ada lelaki atau perempuan hidup berkawan.
Apabila ia berkawan ia hendaklah berwaspada supaya ia tidak tersalah
berkawan sampai tertipu dengan kata-kata
manis dan penampilan seseorang kawan yang boleh menjerumuskan dirinya ke jalan
yang sesat dengan perbuatan-perbuatan keji dan maksiat.
Betapa
ramainya orang-orang yang dikelabui oleh kawan-kawan yang jahat dan akhirnya
akan menyesal, kerana mereka terseret ke jurang kemusnahan kehidupannya.
Sifat atau
tabiat buruk seseorang kawan karib boleh menular kepada kawan-kawannya yang lain secara sedar atau tidak.
Sering kali
terdengar berita-berita bahawa orang-orang yang lemah pendirian dan kurang akal
dapat dikuasai oleh orang-orang yang
kuat pengaruhnya, sehingga ramai yang tertarik dan mengikuti cetusan-cetusan
yang muncul dari daya tarikan orang-orang yang berpengaruh itu.
Dapat disaksikan
pula bahawa perkara-perkara atau hal-hal yang buruk lebih cepat dan lebih hebat
penularannya daripada perkara-perkara atau hal-hal yang baik.
Misalannya, bagi
seseorang yang tidak pernah menghisap rokok, jika ia berkawan dengan kumpulan
orang-orang yang menghisap rokok, ia akan diajak atau diberi rokok untuk
sama-sama menghisapnya.
Lama kelamaan
ketagihan rokok akan menular kepadanya dan ia sendiri akan mula membeli rokok
dan menghisapnya.
Selain
daripada itu, terdapat berita-berita mengenai penularan perkara-perkara dan
hal-hal yang lebih buruk lagi, yang merosak akhlak dan minda seseorang bila
berkawan dengan teman-teman yang gemar kepada perkara-perkara lucah seperti
memuat turun gambar-gambar lucah dan disebarkan diantara kawan-kawan melalui
telefon bimbit atau komputer.
Bila
seseorang itu telah sebati dengan kelakuan kawan-kawannya yang telah rosak akhlak
mereka, maka ia pun berkelakuan seperti mereka tanpa ada perasaan segan dan
silu.
Begitu juga
dengan tabiat berjudi, minum arak dan lain-lain, ianya tidak datang sendiri
kepada seseorang itu kecuali setelah diperkenalkan atau dibawa oleh kawan-kawannya
ke tempat-tempat judi, arak dan tempat-tempat maksiat yang dilanggani
kawan-kawan tersebut.
Bila
seseorang itu telah tercemar akhlak dan akalnya dengan gejala-gejala maksiat
yang dijangkiti daripada kawan-kawan rapatnya, maka ia akan terus menerus melakukan
perkara-perkara maksiat tanpa merasa dirinya bersalah.
Apabila
seseorang itu mula terikut-ikut dengan cara dan gaya hidup kawan-kawannya, maka
lihatlah betapa cepatnya ia mudah mengikut arah yang dikehendaki oleh
kawan-kawan karibnya itu.
KAWAN
SEJATI
Pengaruh
kawan terhadap kawannya memang besar.
Oleh sebab itulah, setiap orang Islam dituntut berhati-hati dalam
memilih kawan.
Maka seseorang
itu harus menguji kawannya dengan baik supaya dapat diketahui sama ada yang
ingin dijadikan kawan itu baik akhlaknya atau sebaliknya agar dapat merasa
senang dan tenang berkawan dengannya.
Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:
“Seseorang
tergantung pada agama (bawaan gaya hidup) kawan karibnya. Oleh kerananya setiap orang dari kamu supaya
memperhatikan siapa yang menjadi kawannya.”
Abu Daud
Jika
orang-orang yang menjadi kawan karib seseorang itu membantunya dalam menunaikan
kewajiban agama, menjaga hak-hak orang lain, dan mencegahnya dari perbuatan
buruk dan perbuatan dosa dan maksiat, maka mereka itulah benar-benar kawan baik
yang wajib dipertahankan dan dipelihara hubungan persahabatannya.
Kawan sejati
adakalanya dapat membimbing seseorang itu ke jalan bahagia di dunia dan akhirat.
Sedangkan kawan yang tidak terang sikap dan pendiriannya serta buruk
akhlaknya akan banyak menimbulkan kesulitan bagi kawannya.
KEWAJIBAN MEMILIH KAWAN
Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memerintahkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan pergaulan.
Dari Abu
Musa radhiallahu ‘anh, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sabda Baginda:
“Perumpamaan
berkawan dengan orang baik dan berkawan dengan orang jahat, tak ubahnya seperti
berkawan dengan penjual minyak kasturi atau dengan tukang tiup api dibengkel
tukang besi.
Jika berkawan
dengan penjual minyak kasturi, adakalanya engkau diberi minyak kasturi atau
engkau membeli daripadanya atau setidak-tidaknya engkau dapat tercium bau
harum.
Dan jika
berkawan dengan peniup api di bengkel tukang besi, adakalanya pakaianmu boleh
terbakar atau setidak-tidaknya engkau tercium bau busuk.”
Muslim
KEINDAHAN IMAN
Oleh kerana
cinta demi kerana Allah itu merupakan iman dalam bentuknya yang tertinggi, maka
hasilnya akan dapat dinikmati pada saat orang-orang yang berkenaan benar-benar
telah merasai keikhlasan cintanya itu.
Gelojak
rasa cinta yang sedemikian besarnya itu
merupakan petanda kesempurnaan dan kejernihan iman seseorang yang memang patut
sekali memperoleh imbuhan pahala setinggi-tingginya.
Mengenai hal
ini, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:
“Dua
orang yang saling bercinta kasih demi
kerana Allah, sekalipun dalam keadaan tidak saling bertemu, maka di antara dua
orang itu yang paling dicintai Allah ialah yang paling mencintai
sahabatnya.” At-Tabrani
Dan, dalam
sebuah Hadis yang lain, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,
mafhumnya:
“Ada tiga hal
yang di dalamnya orang akan menemukan keindahan iman dan merasakan
kemanisannya:
(Pertama): jika orang itu lebih mencintai Allah dan
RasulNya lebih daripada yang lain.
(Kedua): jika orang itu mencintai atau membenci sesuatu
demi kerana Allah semata-mata.
(Ketiga): jika ia lebih suka terjun di dalam kebakaran api yang menyala-nyala daripada
berbuat menyekutukan Allah dengan yang lain.”
Muslim
Maka
berkawan dengan orang-orang yang taqwa dan berfikiran matang dapat meningkat
sampai ke puncaknya yang paling indah.
Hari Jumaat
3
JamadilAwwal 1434 Hijriyah
15 Mac 2013
No comments:
Post a Comment